Pembukaan tahun baru 2022 disambut duka pelakon Anita Baharom apabila suami tercinta, Ismadi Ismail menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi.
Allahyarham Mohd Ismadi Ismail, 50, yang menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit kencing manis di kediamannya di Shah Alam, di sini, jam 8 pagi.
“Ujian demi ujian bertandang, terlalu banyak kisah. Saya reda atas pemergian arwah suami dan terima suratan takdir ini.
“Arwah suami sudah berbelas tahun mengidap penyakit kencing manis,” katanya kepada BH Online.
Anita turut memohon orang ramai menitipkan doa untuk arwah suami.
“Saya mohon doa sanak saudara, sahabat dan semua. Semoga roh arwah ditempatkan di kalangan insan yang beriman dan beramal soleh,” katanya ringkas dalam nada sedih.
Dia turut memuatnaik berita tersebut menerusi laman Instagramnya.
Bagaimanapun, Anita belum dapat mengesahkan butiran tepat waktu dan lokasi pengebumian.