Menghuni rumah yang bersih dan kemas tersusun rapi tentunya memberi satu kepuasan untuk seisi keluarga. Tambah lagi tenang, jika setiap kali menghirup udara disapa pula oleh bau-bauan yang menyegarkan seperti daun pandan, limau nipis, kulit kayu manis dan sebagainya.
Aroma semulajadi ini pula akan memberi kesan pada mood dan emosi untuk lebih tenang dan damai. Penyegar udara yang sedia ada dipasaran mungkin ada yang kurang selesa dan tidak sesuai kerana bimbang ada bahan kimia.
Jadi, ada baiknya anda gunakan bahan-bahan semulajadi ini untuk menghasilkan sendiri bahan pewangi udara bagi mencipta mood istimewa di kediaman anda. Jom semak.
DIY 1 : Daun Pandan
Ambil beberapa helai daun pandan kemudian racik atau hiris halus bersama beberapa kuntum bunga-bungaan.Jadikan seperti pot pouri. Kemudian letakkan di dalam bekas dan letakkan di sudut rumah agar wangian daun pandan merebak. Untuk bauan yang lebih kekal lama, titiskan juga minyak aroma terapi di dalam bekas berisi hirisan daun pandan tadi.
DIY 2 : Kulit kayu manis dan bunga cengkih
Ambil 5 batang kulit kayu manis beserta bunga cengkih dan rebus sehingga mendidih.Apabila sejuk,gunakan air rebusan tersebut untuk mengemop lantai dan kabinet. Rempah ratus ini mempunyai haruman dan kesegaran tersendiri.
DIY 3 : Buah Limau purut
Potong beberapa biji buah limau purut dan letak di dalam bekas berisi air. Biarkan begitu sahaja dan akan dapat rasakan haruman limau purut di segenap ruangan rumah.
DIY 4 : Daun pudina
Rendam beberapa helai daun pudina di dalam bekas dan letakkan di atas meja makan. Daun pudina akan menghasilkan bau yang segar.
DIY 5 : Serbuk Kopi
Masukkan beberapa sudu serbuk kopi dalam bekas kemudian tutup mulut bekas tersebut dengan kain net, ikat kemas. Selain mengharumkan udara di dalam rumah, boleh juga dijadikan sebagai hiasan menarik di atas meja jika dihiasi bersama bunga hiasan dan reben.
DIY 6 : Roti
Ambil beberapa keping roti putih dan letakkan di suatu sudut yang mempunyai bau contohnya boleh letakkan di dalam peti sejuk untuk menyerap bau yang kurang enak pada peti sejuk atau pun diletakkan bersebelahan dengan bekas kucing peliharaan. Sifat roti menyerap, jadi bau boleh dikurangkan.