Kesihatan itu amat penting untuk semua golongan tanpa mengira usia. Jangan kata golongan muda pasangan suami isteri tidak hadapi ancaman penyakit ini. Jika terjebak, seumur hidup makan ubat.
Sebagaimana perkongsian ini mengingatkan kita bahawa menjaga kesihatan dan ubah cara hidup dapat mengelak penyakit tekanan darah tinggi. Tentu kita tidak mahu mendapat penyakit ini pada usia yang muda. Ikuti lanjut penjelasan Dr ini.
TEKANAN DARAH TINGGI DI KALANGAN ORANG MUDA; ANCAMAN DALAM DIAM.
Tekanan darah tinggi (Hypertension) di kalangan orang muda lebih mencabar untuk dikenal pasti (diagnosis) dan dirawat. Kerana usia muda itu sendiri mengurangkan kesedaran untuk seseorang individu membuat pemeriksaan tekanan darah secara berkala untuk diagnosis awal dengan anggapan usia muda kebal dari penyakit kronik sebegini. Analisa saya kepada 40 orang lelaki usia bawah 45 tahun yang mempunyai tekanan darah melebihi 140/90 mmHg pada dua bacaan dalam dua sesi pertemuan yang berbeza mendapati:
1. Purata body mass index (BMI) adalah 30.1 kg/m2 dengan 70% dari mereka memiliki BMI pada kategori obesiti (BMI > 27.5 kg/m2). Berbanding subjek yang mempunyai tekanan darah normal purata BMI adalah 24.8 kg/m2 dan kadar obesiti adalah 20%.
2. Purata tahap kolesterol adalah 6.09 mmol/L, dan 80% daripada mereka mempunyai tahap kolesterol melebihi tahap kolesterol normal iaitu 5.2 mmol/L.
3. Tekanan darah tinggi di kalangan orang muda turut berkait rapat dengan tahap BMI dan kolesterol yang tinggi. Tiga kondisi ini ; tekanan darah tinggi, obesiti dan kolesterol yang tinggi adalah tiga faktor penting yang menyumbang kepada penyakit jantung yang dikenali sebagai metabolik sindrom.
TAHUKAH ANDA?
1. Diagnosis tekanan darah tinggi memerlukan sekurang-kurangnya dua bacaan tekanan darah tinggi melebihi 140 and/or 90 mmHg pada dua sesi pertemuan yang berbeza.Tekanan darah akan meningkat sekiranya anda dalam situasi terkejut, tertekan, sakit atau selepas aktiviti fizikal yang lasak. Justeru, sebelum disahkan seorang itu mengidap tekanan darah tinggi, beberapa bacaan diperlukan oleh doktor untuk memastikan bacaan tekanan darah yang tinggi itu konsisten dan tidak dipengaruhi oleh faktor luar.
PESANAN PENTING : Setiap janji temu (follow up) klinik adalah penting, walaupun sekadar untuk mengulang bacaan tekanan darah anda. Kegagalan anda untuk hadir, akan merencatkan proses diagnosis.
2. Tekanan darah yang tinggi terutamanya di kalangan orang muda adalah ‘reversible’ dan sepatutnya lebih mudah dikawal kerana kebanyakannya masih bebas dari penyakit lain seperti kencing manis, komplikasi jantung dan buah pinggang. Rawatan awal sekiranya seorang itu dikenalpasti mempunyai tekanan darah tinggi adalah ‘lifestyle modification’ atau mengubah gaya hidup kepada yang lebih sihat. Berhenti merokok, melakukan aktiviti senaman tiga kali seminggu, mengurangkan pengambilan garam dan kolesterol, mengurangkan berat badan adalah langkah pertama untuk mengawal dan mengurangkan tekanan darah tinggi sebelum pengambilan ubat.
PESANAN PENTING : Jangan ambil mudah arahan doktor untuk mengubah gaya hidup anda. Tekanan darah tinggi boleh dirawat tanpa anda perlu menelan sebarang ubat. Yang perlu adalah perubahan sikap!
3. Sehingga hari ini, tekanan darah yang tinggi hanya boleh dikenalpasti melalui pemeriksaan tekanan darah, kerana pengidap ‘hypertension’ biasanya tidak merasakan apa-apa simptom kecuali apabila tekanan darah sudah terlalu tinggi. Kerana itu, bagi seorang yang berusia 45 tahun ke bawah yang mempunyai tekanan darah normal ( < 120/80 mmHg), dicadangkan untuk melakukan pemeriksaan sekurang-kurangnya setahun sekali. Bagi mereka yang berada dalam kategori pra-hypertensi (prehypertension (120-139/80-89 mmHg), disarankan memeriksa bacaan tekanan darah sekurang-kurangnya enam bulan sekali.
Kredit: Dr Norbaiyah Mohamed Bakrim