Penutupan sekolah adalah jalan terakhir sekiranya penularan Covid-19 di dalam sektor pendidikan semakin buruk.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ketika ini tiada jangkitan kategori empat dan lima dalam kalangan pelajar yang dijangkiti Covid-19.
“Penutupan sekolah memberi kesan yang besar terhadap pembangunan sama ada intelek dan sahsiah diri pelajar,” katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.
Menurutnya, penilaian risiko akan dilaksanakan di sekolah.
“Sekiranya ada keperluan, kita minta mereka yang positif (Covid-19) supaya tidak datang ke sekolah, diasingkan.
“Kedua, kita minta kelas itu ditutup, bukan semua satu sekolah ditutup. Itu jalan terakhir (tutup sekolah),” katanya.
Beliau berkata, keputusan untuk pelajar kembali berada di rumah merupakan langkah terkebelakang.
“Dengan adanya 90 peratus daripada remaja kita sudah divaksinasi, lebih 90 peratus guru sudah divaksinasi dan selepas ini kanak-kanak juga divaksinasi, apa lagi yang boleh kita lakukan?” katanya.
Khairy berkata, peningkatan kluster pendidikan disumbangkan oleh pelajar di sekolah berasrama.
Beliau bagaimanapun berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan berbincang dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengenai tindakan lanjut sekiranya berlaku penularan jangkitan yang serius di sekolah.