Membaca petikan berita dari BERNAMA ini pasti sahaja kita sebagai rakyat Malaysia turut tumpang berasa bangga dengan pengiktirafan yang diberikan kepada wira kita Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.
Rangkaian televisyen China Global TV Network (CGTN) menyenaraikan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebagai antara tiga doktor terbaik dunia.
Betapa kita bukanlah daripada negara maju namun berjaya menangani wabak Covid-19, musuh halimunan yang digeruni jauh lebih baik daripada negara-negara kuasa besar dunia yang lainnya.
Dalam laman webnya semalam, CGTN menyatakan ia “menobatkan” Dr Noor Hisham sebagai antara doktor terbaik di dunia berikutan pendekatannya yang berterus terang dan tenang dalam mengendalikan wabak COVID-19 di Malaysia.
Manakala memetik berita di Astro Awani, Datuk Dr Noor Hisham menerima pujian masyarakat kerana menjadi sumber maklumat paling dipercayai berhubung penularan COVID-19.
Pengiktirafan itu diberikan oleh sebuah stesen televisyen China, Global TV Network yang turut menyenaraikan Dr. Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Dr. Ashley Bloomfield dari New Zealand.
Ketiga-tiga mereka menerima pujian masyarakat sejak beberapa minggu ini kerana menjadi sumber maklumat paling dipercayai dan berjaya menenangkan orang ramai di negara masing-masing ketika panik melanda akibat penularan wabak berkenaan.
Dr. Noor Hisham, 56 tahun, yang memegang jawatan Ketua Pengarah sejak 2013, dilabel sebagai individu paling dipercayai oleh rakyat Malaysia kerana kekerapannya mengemas kini situasi semasa berkenaan COVID-19 di platform media sosial.
Beliau juga dipuji kerana sentiasa sabar menjawab apa sahaja persoalan yang diajukan wartawan semasa sidang media.
Dr. Fauci dan Dr. Bloomfield juga disifatkan sebagai individu berpengaruh di negara masing-masing apabila secara konsisten mengemas kini maklumat terbaharu, selain sering dilihat bertugas dalam tempoh masa yang lama.
sumber : BERNAMA & Astro Awani