Tumit Pecah-pecah, Rawat Dengan Bahan Semulajadi. Barulah Kulit Kembali Lembut!

Share

Masalah tumit kaki kering, pecah-pecah dan mengulapas pastinya membuatkan kita kaum wanita tidak selesa. Bukan sahaja kerana kurang cantik untuk dipandang malah boleh membuatkan kurangnya keyakinan diri.

Usaha untuk merawat tumit kaki yang merekah tersebut perlu dilakukan segera agar tidak menjadi lebih serius keadaannya.

Selain nenggunakan losyen untuk melembutkan kulit bermasalah, ada juga beberapa petua yang boleh diamalkan dalam merawat tumit kaki.

Nak tahu detail, ini perkongsiannya dan selamat mencuba.


Bahan ‘Semulajadi’ Ini Bantu Merawat Tumit Pecah Dan Melembutkan Kaki

1. Masukkan beberapa keping asam keping ke dalam besen mandian yang berisi air suam. Rendamkan tumit kaki pecah tersebut selama setengah jam. Lakukan dengan kerap sehingga memperoleh tumit kaki yang halus dan cantik.

Gambar hiasan

2. Tumbuk bawang putih dan campurkan dengan perahan air limau nipis. Kemudian sapukan pada tumit kaki anda yang pecah. Amalkan selalu sehingga menampakkan hasilnya.

3. Geselkan tumit kaki anda yang pecah pada rumput yang berembun pada waktu awal pagi. Lakukan setiap hari dan anda akan merasa perubahannya.

4. Sapukan tumit kaki anda yang pecah dengan bawang merah yang telah dibelah dua sehingga kering. Lakukan setiap hari sehingga sembuh dan anda berpuas hati dengan hasilnya.

5. Anda juga boleh menyapukan tumit kaki yang pecah dengan campuran gambir dengan air ataupun disapu dengan minyak lebihan mengoreng ikan. Hendaklah di amalkan selalu supaya anda menampakkan hasilnya.

6. Selain itu, anda boleh juga menggunakan belimbing buluh. Dengan cara menggosok tumit kaki pecah dengan buah itu. Kemudian guna berus lembut untuk menyapu belimbing buluh di permukaan tumit kaki yang pecah.

7. Lumur sedikit asam jawa di tumit kaki kemudian rendam kaki dalam air suam berisi garam (seelok-eloknya anda menggunakan garam bukit).

8. Lakukan selalu sehingga tumit kaki anda yang pecah menjadi licin.Masukkan beberapa keping asam gelugur dan beberapa sudu cuka ke dalam baldi kecil berisi air sejuk. Kemudian rendamkan kaki anda selama 10 minit. Amalkan setiap hari sehingga tumit kaki pecah anda hilang.

Gambar hiasan

9. Gosok getah betik muda pada tumit kaki. Biarkan kering selama 10 minit dan bilas dengan air bersih. Amalkan dua kali seminggu dengan konsisten sehingga mendapat hasil yang diinginkan.

10. Petua ini sangatlah mudah untuk anda lakukan. Hanya sapukan losyen di tapak kaki sekurang-kurangnya dua kali sehari dan lakukan sehingga kaki sembuh.

Sumber : Ana Mahabu