Tular Duduk Di Pelamin Sendirian, Kini Abang Bomba Mahu Penuhi Impian Isteri Sanding Kali Ketiga!

Share

Kisah pasangan ini pernah tular di laman sosial selepas si isteri, Badriyah Amirullah, 26, dari Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru terpaksa bersanding seorang diri pada kenduri menyambut menantu di Teluk Intan, 17 Mac lalu.

Pasangan ini bernikah pada 18 November tahun lalu. Kenduri di rumah pengantin perempuan diadakan pada hari sama, manakala majlis sambut menantu dan persandingan di kediaman Mohamad Syaiful Izwan ditetapkan pada 17 Mac lalu.

Namun, disebabkan Mohamad Syaiful mendapat tawaran dan perlu melapor diri  menjalani latihan sebagai anggota JBPM di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur Wakaf Tapai, awal Disember lalu, majlis persandingan terpaksa diteruskan tanpa pengantin lelaki.

“Mengikut perancangan awal, suaminya akan bercuti selama tiga hari untuk majlis persandingan itu dan akan kembali bertugas pada 19 Mac lalu, namun berlaku salah faham menyebabkan suami tidak dapat bercuti.

“Malu dan terkilan juga kerana terpaksa bersanding dengan berpakaian lengkap pengantin bersendirian, tetapi majlis sudah dirancang dan tetamu sudah diundang. Mahu tidak mahu terpaksa juga sanding sendirian.

Badriyah berkata, dia menganggap perkara itu sebagai ujian awal sebagai isteri anggota bomba dan persediaan untuknya melalui pelbagai cabaran lagi termasuk terpaksa berjauhan kerana dia bekerja di Johor Bharu, manakala Mohamad Syaiful Izwan mungkin bertugas di Selangor atau Perak.

Sementara itu, Mohamad Syaiful Izwan berkata, kejadian isterinya terpaksa bersanding sendirian berlaku disebabkan salah faham mengenai cuti pelepasan.

Katanya, semua pelatih tidak dibenarkan bercuti termasuk cuti perkahwinan, melainkan cuti kecemasan jika kedua ibu bapa meninggal dunia.

Badriyah  berkata suaminya bersetuju mengadakan majlis persandingan ketiga dan kenduri menyambut menantu sebaik bercuti selepas melaporkan diri di lokasi bertugas bulan depan.

“Apa pun kami memang bercadang mahu adakan majlis persandingan sekali lagi di Teluk Intan, tetapi hanya merancang majlis ringkas membabitkan keluarga dan jiran terdekat.

“Tarikh majlis pula akan ditetapkan selepas permohonan cuti diluluskan. Cuti hanya boleh dipohon selepas JBPM menetapkan negeri dan balai bertugas awal September depan.

Sumber: harian Metro & Badriyah Amir  (Gambar FB)