Cenderung berkongsi kisah di sebalik tabir berkaitan kerja-kerja kebajikan yang dilakukan, terkini pendakwah bebas terkenal Ustaz Ebit Lew dengan segera telah menghulurkan bantuan kepada seorang ibu tunggal yang gambarnya tular di media sosial sedang menghantar makanan menaiki motor sambil mengendong anak oku buta.
“Hadiahkan kereta buat ibu tunggal Azimah Rahim yang tular kerja menghantar makanan sambil mengendong anak oku buta.
“Menangis akak terharu dalam kereta hadiah untuknya sambil peluk anaknya dan kata,ya Allah anak rezeki kita. Tak sangka dapat rezeki begini.
“Sebak sayu hati bila ziarah akak ni tadi. Kuatnya seorang ibu demi membesarkan anak dengan kerja menghantar makanan dengan mengendong anaknya,” cerita ustaz Ebit Lew di akaun facebooknya.
Difahamkan bantuan yang diberikan itu, bukan kali pertama. Ini sebagaimana dijelaskan oleh Ustaz Ebit Lew lagi.
“Syukur pada Allah , 11 bulan lalu kami carikan rumah dan kami bayarkan sewa bulanan rumah akak ini dan anak kecilnya sehingga kini. Kami cuba bantu nak carikan pengasuh tetapi anak ini aktif dan tidak mahu orang lain. Beberapa pengasuh tak dapat menjaganya kerana dia perlu perhatian 24 jam oleh ibunya.
“Menangis bila jumpa akak ni. Katanya dari arwah maknya ingin jumpa saya. Setiap hari doakan saya.
“Hari ini kami hadiahkan sebuah kereta supaya akak ni boleh kerja menghantar barang dan makanan menggunakan kereta. Kadang mengambil tempahan membuat mee kari dengan laksa untuk rumah yang inginkan. Beliau pandai masak juga.
“Ya Allah semoga Allah beri kekuatan buat kakak ini bersama anak kecilnya,” doanya diakhir perkongsian.
Sumber : Ebit Lew