Cuba lihat keadaan peti ais yang telah kita gunakan puluhan tahun lamanya, mesti keadaan luarannya nampak ada kekurangan. Jika hendak ditukar baharu terasa sayang pula sebab masih berfungsi dengan baik.
Kalau ikutkan hati teringin juga memiliki peti ais yang cantik sempena sambutan hari raya yang bakal tiba tidak lama lagi. Barulah ruangan dapur nampak bergaya. Tapi bukankah cara ini merugikan?
Alangkah baiknya jika ibu-ibu mencuba lebih kreatif dengan memberikan ‘solekan’ pada peti ais dengan menggunakan teknik tampalan yang mampu bukan sahaja menjadikan peti sejuk nampak lebih menarik malah terlihat cukup unik.
Mencetuskan gaya ruangan dapur nampak lebih faminin, olahan stiker berbunga seperti ini pada bahagian pintu peti sejuk cukup memberi impak yang hebat. Biarpun ringkas namun cukup mempersona.
Gaya sepertinya ini amat sesuai buat anda yang mempunyai karakter yang periang. Melihat rekaan sebegini cukup mencuit hati dan tentu sahaja anak-anak juga suka dengan sentuhan sebegini di ruangan dapur.
Wujudnya garisan-garisan dengan ritma warna senada memberi impak rekaan peti sejuk dan sekali gus menyumbang pada gaya ruangan dapur. Cukup istimewa.
Sememangnya mencuri tumpuan. Peletakan stiker aiskrim pelbagai warna ceria secara bebas aturannya cukup luar biasa. Anak-anak tentu sahaja akan suka dengan hiasan sepertinya ini.
Paling ringkas dan mudah untuk digayakan. Letakkan sahaja gambar ahli keluarga di sini.