Tujuh Kesilapan Besar Ibu Ayah Anggap Remeh Ketika Mendidik Anak

Share

Bukan mudah untuk mendidik anak zaman sekarang ini. Tanpa kita sedar terdapat pelbagai kesilapan dalam tempoh membesarkan anak-anak.

Dalam mendidik, anak-anak perlu diingatkan, didikan bukan melalui paksaan tetapi teladan. Anak-anak lebih percaya dengan apa yang dilihat daripada apa yang didengar.

Jadi ikuti panduan 7 kesilapan yang ibu ayah lakukan ketika mendidik anak.

1Membanding-bandingkan

Ibu bapa sering kali membanding-bandingkan kebolehan ataupun kelemahan anaknya dengan orang lain.

Ada ketikanya, perbandingan ini dibuat antara adik-beradik dan ada ketikanya dengan orang lain seperti anak jiran, saudara, sepupu, kawan sekelas atau sesiapa sahaja.

Memanglah tujaan perbandingan itu dibuat bagi mendorong ataupun memberi semangat kepada anak. Tetapi, kerap kali anak-anak menyalah tafsir tujuan ibu bapa berbuat sedemikian.

Sekiranya perbandingan itu dibuat antara adik-beradik, maka subur perasaan cemburu dan iri hati dalam diri anak-anak. Sekiranya perbandingan dibuat dengan orang lain, anak mudah merasa rendah diri dan hilang kekuatan bersaing.

Yang dikatakan membanding-banding itu adalah apabila kita mengambil contoh seseorang ataupun menyebut nama seseorang semasa kita rasa tidak puas hati dan sedang memarahi anak.

Faktor orang lain itu hanya dapat digunakan semasa tiada tekanan emosi antara ibu bapa dan anak. Contohnya semasa perbincangan berlaku secara terbuka. Waktu itu, barulah sesuai mengambil orang lain sebagai contoh teladan tanpa membandingkannya dengan anak kita. Barulah anak mudah menerimanya.

Cuba lihat contoh perbualan dibawah:

Contoh 1: “Apa hendak jadi kamu ini… Lihat si Ali itu, tiap petang pasti dia balik awal. Lepas itu terus mandi, solat dan belajar. Tidak macam kamu, entah apa hendak jadi nanti.”

Ini adalah contoh ibu bapa yang membuat perbandingan langsung antara anak dengan si Ali. Anak kita pasti tidak menggemarinya.

Contoh 2: “Orang berjaya adalah orang yang sentiasa menepati waktu. Waktu main, mainlah sepuas-puasnya tetapi bila tiba waktu belajar, waktu solat dan sebagainya, mereka lakukan secara seimbang. Jika kita balik ke rumah awal, sempatlah solat dan mandi sebelum belajar. Badan pun tidak penat, betul ataupun tidak?”

Ini adalah contoh yang tiada langsung unsuri perbandingan. Tujuannya tetap sama iaitu menegur kesilapan anak, malah diselit pula dengan alasan yang munasabah selain daripada meminta anak berfikir dengan menjuruskan perkataan, “Betul ataupun tidak?”

Jadi cubalah cari jalan supaya kita tidak lagi membuat perbandingan semasa memarahi anak. Seperti yang dijelaskan awal-awal tadi, contoh kejayaan orang lain sesuai diceritakan sewaktu tiadanya tekanan ataupun desakan emosi dalam diri anak.

2Kesilapan Merendahkan Kebolehan Anak

Seringkali tanpa sedar, kita merendahkan kebolehan anak secara tidak langsung. kerap kali ibu bapa yang resah mengenai masalah anak meluahkan keluhannya kepada orang lain di hadapan anak-anak.

Ada ketikanya ketika bertemu jiran, kita beritahu mereka mengenai kelemahan anak kita. “Anak saya ni Cik Jah.. entah apa lagi saya hendak cakap.. malas betul hendak belajar.”Itu salah satu contoh ungkapan.

Ungkapan ini pula dinyatakan dengan kehadiran anak. Maka, anak percaya apa yang didengarnya. Secara tidak langsung si ibu menyuburkan lagi sikap negatif dalam diri anak itu.

Ada ketikanya pula, ibu bapa merendahkan kebolehan diri anak-anak secara langsung apabila marah. “Kau ini besar nanti hendak jadi apa? Sudahlah malas, degil pula!”

Kata-kata sebegini mudah menghiris perasaan anak-anak dan tentunya apabila sentiasa diulang-ulang, ia menyebabkan mereka percaya itu sahaja kemampuan diri mereka.

Ibu bapa perlu sedar, setiap patah perkataan yang kita ucapkan kepada anak-anak kita merupakan doa. Jangan nanti kata-kata yang tidak baik pula yang dimakbulkan Tuhan.

Oleh itu, carilah kebaikan dalam diri anak-anak walaupun kecil. Subur-suburkanlah kebaikan itu.

Mendidik anak adalah proses yang berterusan. Jangan mengharapkan perubahan yang mendadak dalam diri anak. Sebagai pendidik, ibu bapa memerlukan kesabaran yang tinggi.

3Memarahi Anak Tidak Pada Tempatnya

Biasanya ibu bapa akan marah apabila didapati anak-anak melakukan kesilapan berulang, selepas dinasihati dan ditegur.

Tidak salah memarahi anak demi kebaikannya tetapi kita harus pastikan marah itu kana pada orang, cara, masa, tempat dan subjeknya. Kita tidak boleh marah secara melulu sahaja.

Sebab itulah, Nabi Muhammad dalam salah satu hadisnya berpesan, orang yang paling kuat itu adalah orang yang dapat menahan amarahnya ketika dia marah.

Ibu bapa sering kali memilih waktu yang salah bagi memarahi anak-anak. Ramai ibu bapa mengadu, anak-anak mereka tidak suka berterus terang ataupun berbincang masalah dengan mereka.

Sebenarnya kenyataan sedemikian adalah kurang tepat.

Anak-anak tidak mahu berbincang mahupun berterus terang dengan ibu bapa sendiri tanpa disedari menutup pintu berbincangan itu.

Waktu anak-anak masih kecil, sama ada dialam tadika ataupun sekolah rendah, mereka pernah mengadu hal kepada ibu bapa. Mereka mengadu segala-galanya kerana ibu bapalah yang dianggap sebagai pelindung. Misalnya anak kita mungkin pulang dari sekolah dan mengadu yang guru memarahinya.

Kita pastinya bertanya, “Kenapa guru marah?” Anak memberitahu yang dia dimarahi guru kerana mengejek, mengusik, memukul ataupun mengambil barang kawan.

Apa tindak balas kita?

Ramai ibu bapa segera marah anak itu sekali lagi apabila mengetahui guru memarahi anaknya itu disebabkan kesilapan anak itu sendiri.

Apa pula perasaan anak?

Tindakan mengadu hal tadi menyebabkan emosinya dua kali sakit. Apabila perkara ini berlaku berulang-ulang kali, maka anak tidak mahu berterus terang dan berbincang lagi.

Alasannya, kerana tahu tindakan berterus terang adalah suatu tindakan yang membawa padah. Sikap inilah kelak yang terbawa-bawa sehingga anak membesar

Oleh itu, jangan memarahi anak apabila mereka berterus terang. Jangan pula menyebelahi mereka. Jelaskan secara bijak, perbuatan mereka sememangnya salah dan tindakan guru itu wajar.

Dengan cara sebegini, anak-anak dapat belajar daripada kesilapan. Hubungan ibu bapa dan anak juga menjadi semakin akrab.

4Tidak Menjadi Pendengar Yang Baik

Ramai ibu bapa yang tidak rasa aspek ini penting bagi mereka. Menjadi pendengar yang baik bukanlah sukar dipraktikkan, cuma ibu bapa sahaja yang memperkecilkan peranan mereka sebagai pendengar.

Apabila anak-anak semakin dewasa, mereka cuba merahsiakan banyak perkara daripada pengetahuan ibu bapa. Antara sebabnya adalah disebabakan sewaktu kecil, luahan dan keluhan hati mereka tidak diberikan perhatian oleh ibu bapa.

Cuba perhatikan kehidupan kita dengan anak-anak.

Adakah kita berhenti membaca akhbar apabila anak kita datang dan bertanyakan sesuatu soalan? Adakah ibu berhenti menggoreng ikan apabila tiba-tiba anak datang ke dapur dan bertanyakan sesuatu?

Kemungkinan jawapanya adalah tidak.

Kita menjawab pertanyaan anak sambil membaca akhbar. Kita melayan anak sambil menggoreng ikan. Pada kita, apa yang ditanya itu tidak penting.

Memang soalan yang dikemukakan itu mungkin tidak penting, tetapi cara kita memberikan perhatian itu penting. Maka jangan salahkan anak-anak apabila mereka sudah dewasa, mereka tidak menganggap kita sebagai penyelesai masalah yang dapat diharap.

.5Tidak Mewujudkan Kemesraan

Ini juga satu masalah yang selalu timbul. Dapatkah kita bersabar sebelum memarahi ataupun menegur kesilapan anak?

Ramai ibu bapa mudah hilang sabar.

Apa tindakan kita apabila guru sekolah memaklumkan bahawa anak kita ponteng sekolah? Pastinya kita terus memarahinya tanpa terlebih dahulu cuba memahami situasi ataupun konflik emosi dalam dirinya.

Jika itu merupakan kesilapan yang pertama, maka kita perlu menasihatinya dengan baik. Ceritakan kepadanya bahawa kita juga pernah menjadi pelajar. Kita juga pernah merasa jemu belajar, tertekan dan sebagainya. Katakan pada anak kita memahaminya.

Tanya anak apa yang dia fikirkan sebelum dia mengambil tindakan ponteng itu. Selepas anak kita mula merasa selesa berbincang, jelaskan padanya betapa tindakan itu dapat mendatangkan malu dan merosakkan masa depannya.

Sekiranya anak terus ponteng, sekali lagi kita duduk berbincang. Sekali lagi kita cuba fahami perasaan dan fikirannya. Cunakan sentuhan bagi menambahkan kemesraan.

Pegang bahunya semasa berkata-kata. Lihat tepat ke wajahnya. Kalau anak kita masih kecil, maka melutut supaya kedudukan mata kita berada separas dengan matanya.

Selepas dia mula selesa, kali ini kita ubah pendekatan. Kita katakan sukar bagi kita menerima yang dia masih melakukan kesilapan yang sama.

Kita perlu memarahinya. Memarahinya bukan kerana kita mahu melepaskan geram tetapi memarahi anak kerana kita mahu mengajar dan membentuknya.

Terdapat perbezaan yang ketara antara dua keadaan marah itu. Anak-anak lebih menghormati kita sekiranya mereka tidak dapat menjangkakan apa tindakan kita pada kesalahan yang mereka lakukan.

6Terlalu Memanjakan 

Sebabnya, jika kita terlalu marah, maka anak mungkin katakan pada dirinya, “Ayah saya memang macam itu”. Lihat, walaupun kita benar-benar marah, kesannya tiada langsung pada diri anak.

Bak kata pepatah, alah biasa tegal biasa.

7 Suka Membebel Dan Mengkritik
Ada pula ibu bapa yang suka membebel pada anak. Sikap ibu bapa seperti ini membuatkan anak rasa hidup di rumah tidak selesa dan tiada ketenangan.

Oleh sebab itu, ramai diantara anak-anak lebih gemar menghabiskan masa di luar. Mereka berasa diri mereka bebas dan merdeka. Mereka menemui ketenangan setiap kali berada diluar rumah.

Cuba perhatikan anak-anak kecil kita setiap kali ada tetamu yang bertandang ke rumah, kenapa perangainya menjadi cukup berbeza? Mereka berani melakukan perkara-perkara yang kita larang.

Mereka melompat-lompat diatas sofa. Mereka membuat pelbagai ragam dan semua perbuatannya itu menaikkan darah kita. Ini kerana, mereka tahu diri mereka merdeka ketika itu.

Ibu bapa tidak mungkin memarahi mereka dihadapan tetamu yang hadir. Mereka ingin menunjukkan kebolehan dan kepandaian dihadapan tetamu. Mereka tahu kita tidak membebel waktu itu.

Ada ketikanya, kita membebel sehingga ke tahap mengkritik anak-anak. Kritikan yang tidak membina hanya membuatkan keyakinan diri anak-anak kita luntur.

Kita boleh mengkritik dengan syarat selepas itu tunjukkan kepada kepada anak apa yang perlu mereka lakukan.

Ini barulah dikatakan sebagai kritikan yang membina. Bukannya kritikan mencari salah semata-mata.

Membesarkan anak bukan satu perkara yang singkat, ianya satu proses yang panjang dan memerlukan kita memberi perhatian dan kosentrasi yang penuh dalam membentuk anak-anak yang CEMERLANG InsyaAllah dunia dan akhirat.

Sumber: Tudung Si Comel

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club