Enam tahun melayari bahtera rumah tangga, pelakon kacak Izzue Islam dan isteri, Awin Nurin atau nama sebenarnya , Nurinafilah Waharudin tidak pernah berhenti berdoa yang suatu hari nanti bakal menyusul tangisan bayi dalam kehidupan mereka berdua.
Akui Izzue atau pemilik nama sebenar, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 29, mereka suami isteri tak pernah tertekan apabila sering diajukan soalan mengenai anak.
“Memang lumrah, setiap pasangan yang berkahwin pasti inginkan cahaya mata. Kata orang anak adalah pengikat kasih sayang suami isteri. Begitu juga dengan kami berdua. Tapi soal nak dapatkan anak, itu semua kita hanya boleh rancang yang menentukan adalah Tuhan. Memang saya akui kesibukan antara punca kami sukar untuk mendapatkan anak.
“Walaupun sebelum ini saya ada katakan tahun 2019 kami cuba untuk merancang dapat anak. Tetapi sehingga kini, saya belum ada masa lagi untuk berjumpa doktor bagi membuat pemeriksaan dan lihat apa masalah kami.
“Tapi saya bersyukur Tuhan tak bagi rezeki anak buat masa sekarang tapi dia bagi saya rezeki kerja. Kalau saya tolak, ibarat saya tolak rezeki. Jadi saya ambik positif dan kerja macam biasa. Kalau ada rezeki datang saya terima seadanya dan bersyukur dengan rezeki yang ada.
Dalam masa yang sama, akui Izzue dan dan Awin tidak berputus ada untuk terus berusaha. Dalam reda menerima ketentuan Tuhan dan percaya soal rezeki dari Allah, kedua-duanya yakin rezeki untuk menimang cahaya mata pasti akan tiba jua.
“Cuma kekangan masa yang membatasi kami ke arah itu. Memang ramai yang bagi cadangan buat itu ini, jumpa pakar, bidan sebagainya. Malah ada yang DM di twitter , instagram dan facebook. Mereka bagi tip, cadangkan tempat mana yang okey dan tak kurang juga yang suruh ambil produk itu ini yang kononnya boleh membantu kami.
“Tapi bila disuruh macam tu kita tak berapa nak yakin dan dalam masa yang sama tak sempat. Mungkin apa yang dicadangkan itu betul tetapi kita tak yakin takut kena tipu dan sebagainya,” jelas Izzue lagi.
Beliau ditemui dalam satu majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan selebriti anjuran Watie Collection baru-baru ini.
Ditanya sebagai suami cara dia menasihati isteri bila menyebut soal zuriat, jelas Izzue mereka sama-sama saling menasihati.
“Memang tak dinafikan, kalau bab anak isteri lebih tertekan berbanding lelaki. Namun, kami suami isteri lebih bersikap positif. Enam tahun kami berkahwin, macam-macam orang cakap tentang kami. Izue itu ini, Awin begitu begini, tapi kami anggap ini adalah rezeki. Mungkin belum rezeki kami untuk menimang cahaya mata.
“Kami positif dan walaupun orang cakap macam-macam kami okey sahaja. Yang penting, kami buat kerja sendiri dan tak peduli dengan kata-kata negatif dari netizen. Kami lebih suka dengar orang bagi pandangan dan nasihat. Daripada ambil port dan layan benda-benda tak berfaedah.
“Lagipun, kami sama-sama faham dengan kesibukan kerja dan tahu masa kami berdua begitu terhad. Jadi,sebolehnya kami akan ‘curi masa’ untuk berdua. Selain itu, kami juga menjaga bab pemakanan dan sebagainya. Malah, keluarga selalu nasihat kena jaga bab-bab makan dan jangan kerja terlalu berat.
Soal sambut raya rasanya tahun ini tak lama cuti. Awalnya nak seminggu cuti tapi nampak macam bakal dipendekkan, mungkin hanya 3-4 hari sahaja memandangkan sudah ada tawaran kerja.
“seperti yang saya katakan tadi, memang rezeki yang datang tu kita tak boleh nak tolak. Sementara orang nak bagi, kita ambil. Famili kami faham akan situasi kerja jadi tak ada sebarang masalah tentang itu,” ungkap Izzue lagi.