Semua rakyat Malaysia melahirkan kegembiraan pada minggu lepas setelah bayi Ainul Mardhiah. selamat menjalani pembedahan yang amat berisiko buat dirinya yang masih bayi. Kejayaan para doktor yang menguruskan perubatan di London termasuk Dr Amalina turut menjadi isu hangat apabila segelintir netizen mempertikaikan kehebatan doktor-doktor di Malaysia.
Malah ada juga komen yang menuduh ibu bapa bayi berkenaan melakukan rawatan kepada Ainul mengikut hawa nafsu semata.
Biarpun, pelbagai perkara yang dijadikan bahan komen oleh warga net di laman sosial, bagi ibu bapa Ainul Mardhiah, apa yang dilakukan inginkan yang terbaik buat anak tersayang.
Menerusi perkongsian terbaru mengenai Ainul Mardhiah, Ahmad Saifuddin Ahmad Razak, 24, berkata keputusan yang dilakukan bukan mudah malah pelbagai risiko yang perlu diambil, bukan untuk kepentingan diri tetapi demi masa depan Ainul Mardhiah.
Apa yang pasti keputusan berisiko itu mendatangkan kebaikan terhadap Ainul Mardhiah yang kini selamat dibedah dengan bantuan doktor pakar dan izinNya.
Selain pembedahan yang terlalu berisiko, untuk membawa ainul ke sini juga adalah salah satu risiko yang besar perlu untuk ainul tempuhi.
Tahukah anda, 3 hari selepas ainul tiba di sini, Dia terus dimasukkan ke PICU kerana infection? Bacaan oksigennya dari 100% turun ke 50% serta merta, Ainul tiba tiba jadi sesak nafas dan keluar darah dari mulutnya.
Ya, mengikut kata doktor, Ainul kena infection disebabkan perjalanan yang panjang dan berada lama di dalam kapal terbang.
Keputusan Xray mendapati seluruh tubuh badannya dipenuhi virus ( 80% putih ) bermaksud dalam badannya tidak ada udara kerana telah dipenuhi virus.
Jadi, jika kami dikatakan membuat keputusan untuk ke sini kerana mengikut hawa nafsu kami, maka tuduhan itu adalah tidak berasas kerana untuk membawa ainul ke sini pun satu risiko yang besar buat dirinya.
Alhamdulillah, seminggu pertama ainul betul betul struggle lawan infection berkenaan dan dia berjaya!
TIDAK LUPA JASA DOKTOR DALAM NEGARA DAN LUAR NEGARA YANG MERAWAT AINUL
Terdahulu beliau juga dalam posting terbaru di facebooknya turut menjelaskan bahawa tidak bermaksudh untuk mengecilkan usaha doktor di Malaysia. Namun, anaknya diberi peluang untuk menjalani rawatan di luar negara.
Sebelum ainul dibedah, Doktor yang merawatnya pun tidak pasti sama ada boleh dibedah atau tidak walaupun MRI telah dibuat. Hal ini berlaku kerana kes ainul ini terlalu complicated.
Sehari sebelum hari pembedahan berlaku, Doktor telah memberitahu tentang risiko-risiko yang sedia menanti.
1. Hilang banyak darah
2. Darah masuk ke paru-paru
3. Paling utama, boleh menyebabkan kematian.
Sebelum masuk ke dewan bedah, Doktor memberitahu, boleh jadi selepas mereka buka ” Kulit ” ainul dan mendapati ianya terlalu kompleks (kerana tempat berkenaan banyak salur darah utama) mereka akan menghentikan serta merta pembedahan tersebut dan ainul tidak akan dibedah.
Ya, bermacam risiko yang ainul perlu ambil sehingga lah risiko melibatkan kematian.
Tapi kami sebagai ibu bapa boleh buat apa?
Jalan yang ada cuma bedah dan buang sahaja.
Dan mereka (doktor) sedar, mahu bedah ainul yang kecil ini bukan sedikit risikonya, tapi mereka juga sedar bahawa itu sahaja jalan yang ada. Mahu tak mahu, risiko itu perlu diambil untuk kebaikannya.
Alhamdulillah, Allah izinkan pembedahan itu berjaya tanpa sebarang komplikasi. Salur darah utama yang paling dirisaukan doktor bedah itu pun tidak rosak akibat pembedahan.
Post ini tidak lah bermaksud saya mengangkat tinggi usaha doktor di sini dan merendah-rendahkan doktor di malaysia, sebaliknya jika kami diberi peluang dan ruang, kami mahu mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua doktor yang telah merawat ainul sepanjang sembilan bulan ini.
Percaya lah, anda semua adalah Doktor yang hebat dan anda adalah Doktor Ainul Mardhiah yang terbaik kerana sentiasa mahu yang terbaik buat ainul.
Harapan kami, mudah mudahan ketumbuhan itu tidak lagi datang menganggu kehidupan puteri sulung kami ini.
Dan,
Mudah-mudahan Allah memberikan kesembuhan secara total buat Ainul Mardhiah.
Rakyat malaysia pun sangat baik hati. Tanpa sumbangan dan doa kalian, mungkin Ainul tidak akan sampai ke tahap ini ( dengan izinNya ).
Akhir sekali, sepanjang saya menulis kisah Ainul di media sosial, saya mohon maaf jika ada kata kata saya telah menyebabkan anda semua terguris hati.
Saya cuma insan biasa, seorang lelaki, suami dan seorang ayah yang mahukan terbaik buat anak kami ini.
Dan saya yakin, ibu bapa di luar sana juga akan buat perkara yang sama untuk anak mereka.
Selagi Allah izin, kami akan usaha sedaya upaya. Jika Allah berkehendak sebaliknya, maka tiada satu tangan pun dapat mengubahnya.
Redha. Itu perkara yang paling terbaik kerana Allah jua lah yang Maha Mengetahui.
Ainul, besar nanti jika boleh ( tanpa mama dan walid paksa ), Ainul jadi lah Doktor supaya Ainul boleh bantu ramai orang seperti mana orang membantu Ainul hari ini.
Atau jika tidak doktor, jadi lah insan yang sentiasa memberi manfaat dan memudahkan urusan orang lain.
Mudah-mudahan Allah beri mama dan walid peluang untuk membesarkan ainul menggunakan kaki dan tangan kami sendiri.
Moga adik Ainul dapat membesar dengan sempurna kanak-kanak lain.