Trauma Selepas Insiden Suami Dipukul, Uqasha Lantik Bodyguard Langkah Berjaga-Jaga

Share

Terdahulu tular satu insiden pukul yang melibatkan pelakon Kamal Adli di acara Hari Raya Mega Sale 2023 yang berlangsung di Singapura.

Isteri kepada pelakon tersebut yang juga merupakan selebriti terkenal iaitu Uqasha Senrose turut menjadi saksi kejadian pada ketika itu.

Trauma dengan kejadian itu, Uqasha mengambil keputusan untuk menggunakan khidmat pengawal peribadi demi menjaga keselamatan keluarganya lapor Utusan Malaysia.

“Kamal tidak dibiar berseorangan sebab kami telah menggunakan khidmat pengawal peribadi untuk menjaga keselamatan di rumah. Selain itu saya juga telah membuat laporan polis untuk meminta pihak berkuasa buat pemantauan setiap tiga jam di sekitar kediaman kami,” katanya.

Pada masa yang sama, Uqasha sempat mengulas tentang keadaan suaminya selepas insiden tersebut walaupun sudah stabil namun, Kamal masih lagi dalam tempoh berehat di rumah bagi merawat trauma yang dialaminya.

“Dia lelaki, tak akan tunjuk dia lemah. Tapi apabila emosinya tak stabil, nampaklah dia tak gembira. Bagaimanapun, dia tetap fahami saya yang penat bekerja. Kerana itu dia akan cuba untuk gembirakan hati saya walaupun keadaannya begitu.

“Situasi ini berat untuk saya. Tetapi saya tak mahu mengeluh sebab sedar ada orang lain yang berdepan dugaan yang lebih berat. Jadi kalau emosi Kamal tak stabil, saya kena faham dan tenang berdepan keadaan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, masih terkesan dengan kejadian tersebut, Uqasha menjelaskan bahawa dia dan keluarga hanya akan beraya di rumah bersama keluarga terdekat sahaja.

“Tahun ini akan menyambut Aidilfitri dengan keluarga terdekat sahaja. Mungkin kami akan berhari raya di rumah sahaja.

“Tambahan pula tahun ini giliran saya untuk menyambut Syawal bersama keluarga saya. Jadi akan lebih banyak bersama keluarga di rumah,” jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia