“Trauma! Cuba Tanggalkan Guna Sabun & Minyak Tidak Berjaya.” Kongsi Momen Cincin Tersekat Di Jari, Ning Baizura Sebak & Berterima Kasih Pada Bomba

Share

Sering kali kita mendengar atau membaca kisah bomba membantu kes menanggalkan cincin tersekat pada jari. Terbaru penyanyi Ning Baizura berkongsi momen mencemaskan apabila cincin berbentuk ikan yang dipakainya ketika membuat persembahan  tersekat di jari tengah tangan kirinya.

Disebabkan itu, jarinya membengkak hingga ibu kepada Ryan Sky Dalton  itu mendapatkan rawatan di klinik dan balai bomba berdekatan kediamannya.

“Saya ingin berkongsi kepada semua, hari ini merupakan hari yang traumatik dalam hidup saya. Ketika mahu membuat persembahan semalam, saya dalam keadaan sangat tergesa-gesa memaksa diri untuk memakai sebentuk cincin. Namun, ia sukar untuk ditanggalkan.

“Jadi, saya biarkan semalaman sehingga ibu dan suami saya menyuruh saya berjumpa dengan doktor untuk rawatan sewajarnya.

“Saya mencari pelbagai solusi di Internet untuk menanggalkan cincin. Saya cuba menanggalkan ia dengan sabun dan minyak tetapi tidak berjaya.

“Kemudian, doktor menyarankan saya ke balai bomba kerana pihaknya tidak mempunyai kelengkapan yang sepatutnya untuk menanggalkan cincin terbabit,” kata Ning menerusi Instagram TV.

Ning kemudiannya bergegas ke Balai Bomba Jalan Pantai untuk mendapatkan tindakan lanjut. Dalam video terbabit, Ning dibantu oleh sepasukan anggota bomba menggunakan beberapa peralatan memotong logam bagi menanggalkan cincin terbabit.

Dengan perasaan gemuruh dan gementar, selepas melalui beberapa peringkat akhirnya cincin tersebut berjaya ditanggalkan.

Dalam sebak, Ning turut berterima kasih kepada pasukan bomba yang profesional dan bertindak pantas untuk membantunya mengeluarkan cincin di jarinya.

 

Sumber: Astro Gempak