Masih segar momen indah perkenalan pertama yang seterusnya melangkah ke jinjang pelamin pada penghujung tahun 2008. Kebahagiaan melayari rumahtangga serta kelahiran cahayamata pertama menjadi pelengkap kepada sebuah perkahwinan.
Bagaimana pun, keindahan itu rupanya sementara. Jodoh pertemuan, rezeki, ajal maut, ketentuan taqdirnya di sisi Allah. Sebagai seorang muslim yang beriman dengan qadha’ dan qadar. Ia bererti kita harus menerima segala ketentuan dan ketetapan Allah dengan hati yang redha termasuk hal kematian yang pasti bagi setiap manusia yang hidup.
Begitulah ranjau kehidupan yang dilalui oleh Intan Maizura Othaman, 39 yang merupakan isteri kepada pramugara pesawat pesawat MH370, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan yang merupakan salah seorang yang hilang terkorban dalam tragedi MH370.
Pesawat malang berkenaan adalah milik Sistem Penerbangan Malaysia yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014. Menurut laporan akhbar selepas 327 hari pesawat tersebut hilang akhirnya pada 29 Januari 2015 Kerajaan Malaysia mengisytiharkan bahawa semua 239 penumpang dan anak kapal MH370 yang hilang terkorban. Tragedi ini disahkan sebagai kemalangan mengikut Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa.
Wanita tabah ini yang berusia 39 tahun yang pernah bergelar pramugari selama 11 tahun, mengakui walaupun pahit untuk ditelan, dirinya perlu move on demi kelangsungan hidup bersama dua anaknya, Iman, 10 tahun dan Muhammad, 5 tahun.
Intan Maizura, menceritakan semula detik-detik kepada Majalah Keluarga, saat menerima berita memilukan itu yang pastinya dikenang sehingga ke hujung nyawa.
“Malam itu saya menghantar suami ke airport. Seperti biasa saya tahu waktu penerbangan dan waktu landingnya. Balik rumah dan saya tidur. Lepas solat subuh seperti biasa saya tengok telefon tiada whatsApp atau pesanan ringkas.
“Saya fikir mungkin sibuk menguruskan hal imigresen dan loading bag. Saya sambung tidur. Telefon berdering jam sembilan pagi. Kawan pramugari menelefon saya. Dia bertanyakan suami di mana. Saya beritahu suami dalam penerbangan ke Beijing.
“Menurutnya, pesawat yang suami saya naiki hilang. Saya terduduk apabila mendapat berita ni. Saya tahu selama menjadi crew cabin pesawat, any thing happen during flying, chance to survive very slim,” ujarnya.
Perkhabaran itu membuatkan dirinya menjadi tak keruan. Mengambil sikap bertenang agar waras untuk bertindak seterusnya selepas mendapat berita itu.
“Saya duduk kejap. Fikir nak buat apa. Orang yang pertama saya call adalah kakak sulung saya. Dia menasihati saya menghubungi ibu mertua untuk memberitahu berita duka itu. Namun saya ibu mertua ada masalah kesihatan, saya mengambil keputusan untuk memberitahu kepada ayah mertua,” ujarnya.
LIPUTAN MEDIA MASSA
Berita mengenai pesawat malang itu telah mendapat liputan meluas di media sosial dan elektronik. Pada masa yang sama, keluarga mangsa telah dihubungi oleh pihak pengurusan MAS datang memaklumkan berita berkenaan secara rasmi.
“Saya datang ke rumah mertua yang tidak jauh dari kediaman saya. Kami buka televisyen dan melihat berulang kali berita itu. Dan ia berita yang betul,” ujarnya dalam nada sebak dan mengakui menangis sepanjang hari dengan berita itu.
GAMBAR JADI PENGUBAT RINDU
Bukan mudah untuk menghadapi cabaran apabila suami disahkan terkorban. Lebih-lebih lagi mempunyai anak yang mempunyai pelbagai persoalan. Namun, jawapan harus diberi dengan penuh berhemah supaya tidak menggangu emosi anak.
“Ketika kejadian, saya hamil tujuh bulan dan ketika itu Iman berusia empat tahun. Iman rapat dengan papanya. Saya tahu, kejadian itu buat diri Iman merana. Biasanya Iman tahu papanya akan kerja luar kawasan selama tujuh hari. Dalam tempoh itu, saya perlu bersiap sedia dengan jawapan jika Iman bertanyakan papanya.
“Akhirnya saya dapat idea untuk menjelaskan kepada Iman bahawa ayahnya pergi bekerja tetapi kapalnya rosak dan tidak akan balik. Saya rasa ia jawapan yang lojik untuk tahap usianya.
Namun, setelah Iman makin membesar, dia mula bertanya seribu satu soalan. Antaranya, kenapa tak balik lagi, kenapa tak naik bas atau teksi. Sekarang pada usia lapan tahun sudah boleh menerima keadaan itu.
Iman memang setia dengan papanya. Malam dia akan tidur dengan gambar papanya. Dia peminat nombor satu papanya.
“Sekarang, soalan itu pula beralih kepada Muhammad yang semakin membesar. Dia juga turut bertanya soalan yang sama. Kini, Iman pula yang akan menjawab semua persoalan adiknya pula,” ujar Intan dengan penuh makna.
TINGGAL KENANGAN
Apabila ditanya mengenai perbualan terakhirnya dengan arwah suami, Intan memberitahu suaminya melahirkan kata sayang dan berpesan supaya menjaga Iman dengan baik.
“Nazrin ini seorang yang romantik dan suka tulis puisi. Juga merupakan seorang ayah yang penyayang dan anak yang baik kepada ibu bapanya.
“Bagai saya, apa yang kami lakukan bersama adalah special. Salah satunya last kami nyanyi lagi Frozen, Let It Go. Nyanyi karaoke di rumah bersama-sama. Last momen saya ingat sampai sekarang,” ujarnya.
SOKONGAN YANG KUAT
Benarlah kata perpatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Rasa kehilangan yang dirasai oleh Intan amat mencabar jiwanya. Namun mujur ada sokongan moral ahli keluarga, rakan dan masyarakat sekeliling.
Malah beliau juga sempat berpesan bahawa setiap isteri harus menghargai suami walaupun sekadar memohon maaf kerana ajal dan maut adalah rahsia tuhan.
“Pada pendapat saya, sebagai isteri yang ada suami penyayang, boleh kompromi, saling memahami dan sanggup melakukan apa sahaja kepada isteri, jika boleh seorang isteri perlu meminta maaf pada suami setiap masa atau sebelum tidur. Sebab saya sendiri tak sempat berbuat begitu.
“Kita sebagai manusia hidup tidak lama. Ujian Allah, kita tiada pilihan. Kena terima. Bila redha, baru kita akan move on demi anak-anak. Tepis segala ujian. Kena melangkah bukannya duduk bersedih. Semua ini untuk membesarkan anak-anak.
“Anak-anak, ahli keluarga dan kawan-kawan membuatkan diri saya kuat. Memang sukar tetapi saya tidak boleh biarkan anak-anak lihat saya sedih dan menangis.
“Arwah Nazrin merupakan anak tunggal lelaki daripada tujuh beradik. Sudah pastinya dia kesayangan ibu ayah dan adik beradiknya. Its hard for them. Mereka redha.
“Ia bukan mudah sebenarnya untuk kita cakap redha. Tapi ujian ini untuk teruskan hidup sebagai manusia. Kehidupan tak lama. Saya juga dapatkan sokongan ustaz, ustazah dan profesor yang boleh share. Semua ada hikmah. Ia buat saya jadi lebih tabah.
Kepada mereka yang mengadapi ujian dan musibah, take this as lesson. Don’t think as Punishment. Yang negatif tukar kepada positif. Di situ akan ada goodness. Daripada ujian ini akan membuatkan kita kuat di masa hadapan,” ujarnya yang bekerja menguruskan homestay dan perniagaan secara kecil-kecilan.
VIDEO THROWBACK
Ikuti rakaman perkongsiannya kepada Majalah Keluarga.
Sumber: Majalah Keluarga