Masalah jerebu yang melanda di negara kita mengundang banyak masalah termasuklah pada kesihatan diri. Ada yang sesak nafas, pening kepala dan tak kurang yang muntah-muntah.
Justeru, penjagaan kesihatan termasuk memakai topeng ketika berada di luar sangat penting. Tetapi ramai yang salah memilih topeng yang betul untuk dipakai.
Kebanyakannya memilih topeng muka jenis nipis yang sering dipakai oleh para doktor sewaktu pembedahan. sebenarnya, topeng ini tidak sesuai digunakan untuk menghalang asap jerebu masuk ke dalam rongga pernafasan.
Ads
Menerusi laman sosial Twitter, seorang pakai jantung dari Institut Jantung Negara, Dr Beni Rusani berkongsi maklumat tersebut untuk kebaikan bersama.
“Hi guys, ‘topeng muka pembedahan’ tidak berkesan terhadap jerebu. Ia dicipta untuk tumpahan cecair dan darah. Topeng muka yang berkesan untuk jerebu adalah N95. Maklumkan kepada keluarga dan rakan-rakan anda,” tulis Dr Beni menerusi satu tweet.
Ads
Ads
Hi guys, ‘surgical mask’ doesn’t work against haze. It is designed for fluid & blood spills. The mask that works is N95. Tell your family & friends.
Perkongsian tersebut mendapat reaksi ramai. Rata-rata berterima kasih kepada Dr Beni atas maklumat yang disampaikan. Malah, kicauan Dr Beni sehingga kini telah melebihi 50,000 ulang kicau dan 30,000 tanda suka.
Sudah hampir tiga minggu semenanjung Malaysia dan Sarawak mengalami masalah jerebu yang membahayakan kesihatan rakyat. Semoga masalah ini akan menemui jalan penyelesaian.
Vitamin C merupakan nutrisi penting yang diperlukan tubuh badan bagi meningkatkan imunisasi tubuh. Jadi tidak hairanlah ramai antara kita mahu memastikan vitamin C sentiasa dibekalkan untuk tubuh badan seisi keluarga agar kekal sihat.
Mengambil jalan mudah, biasanya kita juga selesa untuk membeli suplemen vitamin C, pun begitu terkadang keliru juga untuk membeli yang mana satu memandangkan banyak dijual di pasaran.
Kalau boleh biarlah kita beli yang terbaik!
Melalui perkongsian dari Dr Kamarul Ariffin, tidak menafikan bahawa dia juga sering diajukan soalan yang sama dalam menentukan mana satu yang terbaik untuk diambil dalam diet harian oleh pesakitnya.
“Supplemen Vitamin C apa yang bagus, doktor?”
Ini soalan yang setiap hari saya jawab. Bila saya beri cadangan saya, ada pesakit macam tak boleh terima dan mungkin sebahagian kalian juga begitu. Tak apa, mari baca.
Satu hari, tubuh kita perlukan sekitar 70-90mg vitamin C. Itu sahaja yang diperlukan oleh tubuh yang sihat. Jika kita ambil lebih, tubuh kita akan buang semula melalui air kencing.
Kebanyakan tablet vitamin C yang dijual di pasaran, mengandungi 500-1000mg vitamin C dalam sebiji tablet. Jauh lebih tinggi daripada keperluan harian. Sekitar 7-10 kali ganda.
Tak salah untuk kalian ambil tablet vitamin C, namun sebenarnya kita boleh dapatkan vitamin ini dari sumber alami yang murah dan mudah dimasukkan dalam diet harian.
Tahu tak, hidangan 100g sayur-sayuran ini, mengandungi jumlah vitamin C yang cukup untuk keperluan harian kita?
▪️Pucuk ubi = 192mg
▪️Cekur manis = 136mg
▪️Lada Benggala = 112mg
▪️Kailan = 107mg
▪️Sawi = 89mg
▪️Brokoli = 85mg
Jika mahukan lebih banyak vitamin C, boleh makan buah-buahan. 100g buah-buahan ini mengandungi jumlah vitamin C seperti berikut:
▪️Jambu batu = 152mg
▪️Longan = 72mg
▪️Betik = 71mg
▪️Oren = 53mg
Sayur dan buah juga garam mineral dan serat yang diperlukan oleh tubuh. Malah boleh disediakan dalam pelbagai bentuk hidangan yang lazat.
Ia juga tidak mahal dan mudah didapati di pasaran tempatan. Sayur dan buah ini ada dijual di gerai, kedai runcit, pasar, dan pasar raya di sekitar kita.
Sekarang ni, lagi mudah. Sudah ada usahawan yang hantar sayur-sayuran dan buah-buahan segar terus ke rumah mengikut langganan mingguan atau bulanan.
Jadi, apa supplemen vitamin C yang bagus?
Betul!
Sayur dan buah!
Keluarga kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, Muhammad Harraz Aryan Mohd Hafizi yang meninggal dunia selepas ditinggalkan dalam kereta di sebuah tadika di Taman Ria, Sungai Petani, dekat sini pada Selasa reda dengan kejadian berkenaan.
Ibunya, Nor Azira Abdul Halim, 36, mengakui terkejut menerima berita kejadian yang menimpa anak bongsu daripada dua beradik itu daripada gurunya kira-kira jam 12.25 tengah hari. Dia diminta datang ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani.
“Saya tahu ALLAH SWT lebih menyayanginya dan meminjamkannya hanya sekejap untuk kami sekeluarga.
“Pada mulanya, saya ingat anak terlibat dalam kemalangan kerana tadika berkenaan terletak berdekatan dengan jalan raya sebelum dimaklumkan Muhammad Harraz tidak sedarkan diri.
Dia kemudiannya memaklumkan kejadian kepada suami, Mohd Hafizi Husin, 36, yang bertugas sebagai anggota tentera di Kem Tentera Sungai Petani supaya bergegas melihat keadaan anak mereka dengan segera.
Katanya, dia berdoa tanpa henti supaya anak bongsunya itu selamat dan tidak berlaku kejadian tidak diingini sepanjang perjalanan pulang.
Bagaimanapun menurutnya dia menerima panggilan suaminya yang memaklumkan supaya terus ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk melihat keadaan anak mereka.
“Bila saya sampai, suami hanya telefon kata pergi hospital terus. Saya pun bergegas balik. Bila saya balik, suami kata pergi terus ke hospital. Mereka tak beritahu apa-apa dekat saya.
“Saya sampai hospital, saya tak tahu apa-apa. Cuma saya hairan kenapa ramai yang bagi laluan suruh saya masuk, sampailah saya nampak arwah atas katil Unit Forensik dah kena balut.
“Masa itu baru saya tahu anak saya dah tak ada. Wajah dia macam tidur, tapi naluri ibu, saya dapat rasa yang dia sakit sampai dia mati. Saya dapat rasa air muka dia tu sebab bibir dia gelap,” kata Nor Azirah.
Nor Azirah ditemui ketika menuntut jenazah anaknya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Menurut Nor Azira, anaknya telah mengikuti pembelajaran di tadika berkenaan sejak tahun lalu dan dijemput kakitangan tadika di rumah yang terletak berdekatan pada jam 7.45 pagi hari kejadian.
Katanya, tiada sebarang reaksi perubahan ditunjukkan, malah sebelum keluar bekerja lepas subuh semalam, Nor Azirah melihat anaknya masih tidur dan meninggalkan anaknya disiapkan nenek untuk ke tadika.
Jelas ibu kepada tiga anak itu, sebelum ini, petugas tadika menjemput anaknya setiap pagi. Tetapi selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka hanya menjemput anaknya pada Selasa dan Rabu sahaja. Selebihnya, dia sendiri akan menghantar anaknya kerana bekerja pada hari tertentu sahaja.
Menurut Nor Azira, anak bongsunya itu seorang yang ceria di rumah, namun agak pendiam apabila berada di sekolah. Dia dalam pada itu menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk tindakan lanjut mengikut prosedur sekiranya berlaku kecuaian atau unsur jenayah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil maklumat awal, mangsa dan seorang kanak-kanak lain telah diambil oleh pengetua tadika pada jam 7.45 pagi.
Menurutnya, mangsa diletakkan di tempat duduk penumpang belakang manakala seorang kanak-kanak lima tahun berada di tempat duduk penumpang hadapan.
“Mangsa ketika itu dalam keadaan sihat dan duduk di tempat duduk belakang bahagian kiri.Apabila sampai di tadika, seorang petugas lain telah mengambil kanak-kanak lima tahun bagi memulakan sesi pembelajaran.
“Pengetua terus parkir kereta di tepi luar tadika dan mematikan enjin kereta,”katanya.
Menurut Adzli, mangsa berada dalam kereta dengan keadaan pintu dan cermin tertutup serta tiada ruang pengudaraan antara jam 8 hingga 12.15 tengah hari.
“Ketika pengetua mahu hantar semula mangsa ke rumah, dapati mangsa tiada dalam kelas dan guru kelas memberitahu kepada pengetua yang mangsa tidak hadir ke sekolah.
“Pengetua terus menuju ke arah kereta miliknya yang diletakkan di tepi jalan berhampiran dengan tadika dan dapati mangsa dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri. Mangsa dibawa ke hospital dengan ambulan dan hasil pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia semasa sampai di hospital dan tiada kesan kecederaan luaran,”katanya.
Ketika kecil dia sering diejek sumbing, senget dan sengau. Semuanya kerana dia dilahirkan sebegitu. Hasnoradiah Abu Hassan yang mengalami masalah lelangit rekah dan mulut sumbing.
Tidak mahu nasib yang sama dialami oleh pesakit lelangit rekah dan mulut sumbing membuatkan wanita berusia 55 tahun ini menghasilkan sebuah buku bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan masalah kecacatan muka tersebut.
“Segelintir masyarakat tahu perkara yang dipanggil cleft lip and palate ini (lelangit rekah dan mulut sumbing). Tetapi mungkin tidak ada sebarang kesedaran terhadapnya.
“Niat saya bercerita mengenai kisah hidup dalam buku yang dihasilkan ini adalah untuk memberi inspirasi kepada mereka yang mengalami masalah yang sama seperti saya. Saya mahu masyarakat peka terhadap masalah sumbing mulut ini, ” terangnya yang mesra disapa dengan panggilan Nora.
Pembedahan pertama usia 3 bulan
Bagi memastikan mulut dan hidungnya seperti sekarang, Nora perlu melakukan hampir 10 pembedahan.
“Seawal usia tiga bulan saya telah melakukan pembedahan pertama. Bagi kanak-kanak yang dilahirkan dalam keadaan sebegini, bukan satu pembedahan sahaja sudah cukup. Masih banyak lagi proses pembedahan yang perlu dilakukan. Tidak mudah untuk membetulkan hidung dan mulut saya.
“Bila dilahirkan dengan lelangit rekah, ia memberi kesan pada muka. Hidung dan mulut saya tidak dilahirkan sempurna. Ia memberi kesan pada percakapan kerana lelangit pecah. Jadi sebelum pembedahan berlaku apabila bercakap, suara saya akan nyata sengau,” kata Nora tentang dirinya.
Sejak kecil diejek
Dilahirkan sebegini rupa, banyak perkara telah mengusik jiwanya. Sejak kecil dia sering diejek.
“Saya merana dalaman. Saya memang telah menjangkakan perkara sebegitu akan berlaku pada diri saya. Sering diejek dan dibuli ketika saya sekolah rendah sehinggalah saya berumur 17 tahun. Di sekolah, mereka akan panggil nama-nama tidak elok pada saya. Sumbing, senget dan sengau. Itulah nama saya yang mereka panggil. Diejek juga telah menyebabkan saya hilang keyakinan dalam diri.
“Ketika umur 30-an, saya berhenti melakukan pembedahan. Saya langsung tidak bercerita tentang masalah sumbing saya ini kerana terlalu malu. Kenapa saya malu?Sebab masa kecil kita telah diejek dengan pelbagai nama. Saya tiada keyakinan diri.
“Pada mulanya saya sendiri tidak boleh terima keadaan ini pada diri saya. Saya tertanya-tanya kenapa diri saya dilahirkan begini. Hanya beberapa tahun yang lepas barulah saya terima kenyataan bahawa inilah Allah hendak beri pada saya. Saya terima dengan hati yang terbuka.
“Setelah saya menerima keadaan diri ini, barulah saya terfikir, apa yang saya boleh lakukan? Saya mula berfikir-fikir untuk bercerita dan menulis buku tentang diri saya. Salah satu sebab sya ingin menulis buku kerana merasakan dalam masyarakat Malaysia ini tidak ada orang yang bercerita mengenai struggle dan accept mereka yang dilahirkan dengan kecacatan muka ini,” ujarnya lagi dan hasil peratusan jualan buku bertajuk Born To Smile itu akan disumbangkan kepada Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM) serta Kiwanis Malaysia.
Mahu beri inspirasi
Bersandarkan kepada pengalaman hidup sebagai pesakit lelangit rekah dan mulut sumbing, mantan Presiden Kelab Kiwanis Ampang Jaya, Selangor ini mahu memberi inspirasi kepada kanak-kanak yang dilahirkan dengan masalah yang sama.
“Saya tahu bagaimana keadaan mereka apabila diejek. Saya tahu sebab saya merasa. Insya Allah dengan keizinan Allah, saya harap cerita saya akan memberi semangat kepada kanak-kanak yang dilahirkan begini dan kepada kanak-kanak yang ada perasaan rendah diri.
“Banyak orang dalam dunia ini ada perasaan rendah diri. Saya hendak beritahu bahawa kita tidak perlu rasa rendah diri kerana kita ada cara-cara untuk overcome perasaan rendah diri itu. Perasaan rendah diri itu adalah masalah utama untuk kita pergi ke hadapan.
“Jadi sekarang ini saya tidak mahu bersembunyi lagi. Saya tidak mahu menyorok di belakang kejadian saya dilahirkan begini. Tetapi saya mahu menggunakan kisah saya untuk memberi inspirasi,” kataya dengan penuh semangat.
Beban bahu ringan
Setelah tidak menyorok mengenai keadaan dirinya, Nora merasakan seperti beban di bahunya telah ringan.
“Mungkin apabila saya berjumpa dengan orang mereka lihat wajah saya setelah disolek. Apabila solekan dibuang mereka akan nampak wajah asal saya. Apa perasaan mereka setelah melihat wajah asal saya?
“Saya juga mahu orang suka saya sebab apa ada dalam hati bukannya sebab apa yang saya tunjukkan di luar. Saya sedar masyarakat sekarang ini akan lihat luaran. Jika kita cantik, apa yang boleh kita berikan kepada mereka? Apa status dan kedudukan kita? Saya tidak mahu ada perasaan sebegitu lagi.
“Kalau ada orang nak kata kenapa muka saya begini. Saya tidak mahu ada tanda tanya. Jika kamu suka pada saya, ini adalah saya. Saya tidak malu untuk menyatakan sekarang bahawa saya dilahirkan begini.
“Tetapi saya mahu menggunakan cerita saya sebagai satu harapan dan inspirasi kepada kanak-kanak yang dilahirkan begini. Kadang-kadang kita tidak tahu mengapa Allah berikan cabaran. Tetapi setiap cabaran ada hikmah di sebaliknya. Ini cabaran saya,” ujar nenek kepada seorang cucu ini mengakhiri perbualan.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di