TMJ Tunai Hasrat Adik Adam Yang Menghidap Penyakit Jantung Terbalik Ke Legoland

Share

Kisah adik Mohd Adam Amsyar yang disahkan menghidap penyakit jantung terbalik dan dikatakan jangka hayatnya  tidak panjang sepertimana yang dimaklumkan oleh doktor kepada ayahnya, menjadikan ramai yang tersentuh hati. Apatah lagi bila mengetahui ada impiannya belum tertunai.

Menurut bapanya Abd Rahman Ahmad, 47, impian anaknya itu untuk ke Legoland mustahil dipenuhi memandangkan dia tidak lagi bekerja tetap.

“Penyakit jantung terbalik Adam dikesan doktor ketika usianya tujuh tahun selepas dia kerap sesak nafas, bengkak di bahagian muka serta anggota badan dengan tubuhnya akan menjadi kebiruaan.

“Apa yang lebih membuat saya sedih apabila doktor memaklumkan tidak dapat melakukan pembedahan bagi membetulkan keadaan jantung Adam kerana ia amat merisikokan nyawanya.

“Saya sebak apabila doktor menyatakan tiada apa-apa yang dapat dilakukan dan berpesan supaya sering datang ke hospital untuk melakukan pemeriksaan susulan selain menjaga Adam betul-betul, terutama jangan biarkan dia keletihan dan sentiasa menggembirakannya.”

TMJ Taja Ke Legoland

Memetik berita yang dikongsikan di Kosmo, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menaja adik Adam dan keluarganya untuk ke taman tema Legoland, Johor Bahru.

Perkara itu dikongsi Tunku Ismail menerusi laman Twitter @HRHJohorII.

“Alhamdulillah jumpa nanti adik Adam,” ciap Tunku Ismail.

Mohd Adam Amsyar, 9, meluahkan hasrat itu ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Parit Haji Ahmad, Sanglang di sini semalam.

Bapa kanak-kanak itu, Abd. Rahman Ahmad, 47, bagaimanapun terpaksa memendam hasrat tersebut kerana tidak berkemampuan.

Rata-rata orang ramai merasa terharu dengan budi baik TMJ dan segala kebaikannya yang dilakukan terhadap kanak kanak itu dan keluarganya.

“Alhamdulillah. Untuk yang ini saya mendoakan Allah memberikan sebanyak-banyak rahmat dan berkat ke atas Tuanku sekeluarga,” jelas @chubb.

“Alhamdulillah. Terima kasih @HRHJohorII pantas dan tanpa mengira masa membantu rakyat Johor. Semoga tunku dan seluruh kerabat diRaja Johor sentiasa dlm lindungan Allah,” ujar @m_nuqman.

“Alhamdulillah. Semoga anak istimewa tersebut bergembira di Legoland dan didoakan agar segala berjalan lancar buat anak tersebut dan keluarga,” kata @DanialMDMY

 

Sumber : Berita Harian, Kosmo & Twitter @HRHJohorII

 

ARTIKEL MENARIK : “Jual Murah Niatkan Atas Nama Arwah Anak Yang Kemalangan Di Kawasan Ini…” -Lelaki Ni Jual Roti Canai 50 Sen!

Baca Ini Juga : Umur 40an Aim Nak Badan Langsing. Pakar Dietitian Ni Kongsi Caranya Perlu Praktik!