Makan

Tip Masak Rendang Supaya Tahan Lama, Lambat Basi

Share

Tip masak rendang supaya tahan lama, lambat basi. Selalunya sehari sebelum hari raya, mak-mak akan mula memasak rendang. Tak kiralah rendang ayam atau pun rendang daging, ia satu kemestian juadah untuk dihidangkan di pagi raya.

Bagaimanapun kerap juga terjadi kejadian bila mana rendang menjadi basi keesokan harinya. Tengahari bila nak makan, rendang sudah basi. Memang rasa ‘frust’ sangat bukan?

Itulah sebabnya kena tahu petua-petua untuk memastikan rendang yang kita masak ni tahan lama. Maklumlah masak dalam jumlah yang banyak, sayang sangat kalau basi. Jadi sebaiknya ikut lapan petua ini.

 

1. Pilih santan berkualiti

Hidangan yang menggunakan santan selalu yang paling cepat basi. Tapi jika kita menggunakan santan yang segar dan berkualiti, bukan saja rasa rendang pun lebih lazat tapi juga mampu membuat rendang tahan lebih lama.

2. Tunggu sejuk baru tutup

Selepas memasak rendang jangan tutup rapat periuk. Tunggu dulu sehingga rendang dan periuk sejuk. Jika periuk atau kuali berisi rendang terus ditutup rapat, wap air akan terkumpul pada tudung periuk dan akan jatuh ke dalam rendang.

Ini boleh menyebabkan rendang cepat basi. Sama juga dengan lauk dan makanan lain. Jadi, kalau nak tutup masa masih panas, biarkan ada sedikit bukaan (tak payah tutup rapat). Atau, tunggu hingga agak sejuk barulah periuk ditutup.

3. Pastikan betul-betul pecah minyak

Semasa menumis, pastikan bahan-bahan dah betul-betul garing dan pecah minyak. Pecah minyak ni tandanya warna tumisan menjadi sedikit gelap atau minyak tumisan akan terpercik sedikit daripada kuali. Selepas ada tanda begini, barulah masukkan ayam atau daging.

4. Masak sampai rendang kering

Salah satu cara untuk elakkan rendang cepat basi adalah dengan memasaknya hingga kering. Dengan cara ini, kandungan air dalam masakan akan dinyahkan dan ia dapat bertahan lebih lama. Daging pun akan jadi lembut!

5. Kurangkan santan

Sebenarnya tak semua resepi rendang menggunakan santan. Yang tak pakai santan tetap akan ada rasa lemak sebab dah guna kerisik. Kalau tetap nak guna santan, kurangkan sedikit kuantitinya kalau nak ia bertahan lebih lama.

6. Goreng ayam / daging separuh masak

Sebelum masak rendang, gorengkan dulu ayam hingga separuh masak atau masak ayam / daging atas api tanpa minyak atau air.

Boleh juga gaulkan dengan rempah-rempah dan bakar seperti ayam percik. Proses ini adalah untuk keringkan air daging atau ayam. Jadi bila air ayam / daging tu kering, barulah rendang lambat basi.

7. Pastikan bekas kering

Semasa menyimpan rendang dalam bekas, pastikan bekas telah dilap kering. Masa nak menceduk pun, kena pastikan juga sudip, sudu, atau senduknya kering.

Sebelum memasak atau panaskan atas periuk / kuali pun, keringkan dulu atas api supaya rendang yang dimasak tahan lama.

8. Sejukbeku & Asingkan

Sekiranya mahu menyimpang rendang dalam peti sejuk, asingkan dalam beberapa bekas kecil. Jangan simpan dalam satu bekas besar. Ini dapat mengelakkan rendang itu daripada asyik keluar masuk peti sejuk dan dipanaskan.

Jadi bila nak makan keluarkan satu bekas kecil untuk satu hidangan, yang lain tak disentuh.

Sumber: Sirap Limau  Foto: Julia Johari

Kredit foto (top image): RASA

Baca artikel lain juga: Resipi Rendang Daging Nenek Menggamit Nostalgia, Paling Padu!

Simple Je Tapi Sedap! Pulut Kuning Rendang Daging Ni Memang Ngam

Rendang Ayam Cili Hijau, Jarang Jumpa & Sekali Buat Memang Makan Tak Jemu!

 

 

Jom bawa anak-anak pergi Zoo Melaka, boleh tengok animals dan main games! Boleh menang banyak hadiah tau.

Klik sini untuk daftar: https://kliik.je/product-details/79?title=simpan-challenge-sspn

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my