Tip Kawal Anak Suka Online. Awas, Guna 5 Cara Ini Jika Tidak Mahu Mereka Jadi Mangsa Pedofilia.

Share

Sebelum ini, dunia digemparkan dengan berita pesalah pedofilia, Richard Huckle, seorang warganegara Britain dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di London selepas didapati bersalah terhadap 71 pertuduhan berkaitan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia.

Memandangkan golongan pedofilia sering mencari mangsa-mangsa mereka melalui ruang siber dan anak-anak kita sejak kecil lagi didedahkan dengan aktiviti alam maya adalah penting untuk kita menyedarkan mereka tentang bahaya ini.

Lebih daripada itu ibu bapa sendiri perlu bertindak melindungi mereka daripada anasir negatif alam siber dengan langkah berikut.

1. Jika anak mengadu ada orang cuba mendekatinya di atas talian, segera catat seberapa banyak maklumat termasuklah nama skrin atau alamat e-mel individu yang menghubungi anak anda. Catatkan URL chat room berkaitan dan catatkan tarikh serta masa individu berkenaan menghubungi anak anda. Kemudian, segera laporkan kejadian itu kepada polis atau CMCF.

2. Alihkan komputer ke ruang keluarga dan jangan diletakkan di dalam bilik mereka. Jangan biarkan anak melayari Internet atau peranti mudah alih tanpa pengawasan. Awasi dengan menetapkan kod akses untuk wifi.

3. Beritahu anak tentang bahaya yang boleh berlaku di atas talian seperti penipuan, ancaman, ugutan, cacian dan penganiayaan seksual. Pastikan mereka sedar tentang kewujudan bahaya berkenaan dan tempat di mana mereka boleh membuat aduan atau laporan bagi menangani jenayah Internet.

4. Sentiasa ingatkan anak supaya Internet dan laman sosial memang menarik, tetapi hati-hati dengan apa yang mereka tulis dan muat naik ketika atas talian. Ia mungkin memberi kesan buruk pada diri sendiri.

5. Wajibkan anak menjadikan anda sebagai rakan di laman sosial supaya anda mudah mengawasi aktiviti mereka.