Siapa kata hanya rumah yang besar dan mewah sahaja dapat dijelmakan menjadi ruang yang cantik dan selesa kepada penghuninya. Lihat sahaja perkongsian fb daripada Kasih Abadi ini, siapa menduga dekorasi indah kediaman tersebut adalah merupakan sebuah rumah kayu yang dihias sempurna dengan konsep Inggeris.
Ingin mengenali keluarga ini, ayuh baca perkongsian penuh daripada Puan Fazilawati.
“Saya tinggal di sini bersama suami dan 3 orang anak. Rumah yang disewa oleh kami anak beranak ini rupanya diam tak diam, 22 tahun lamanya. Bermula tahun 1997, dari sewa RM180 sebulan hinggalah sekarang menjadi RM500, dari berdua hinggalah berlima, apa yang pasti di sinilah syurga kami anak beranak.”
Nyata rumah kayu yang disewa oleh puan Fazilawati Besah bersama keluarganya ini mampu mencuri tumpuan. Cantik dan rapi terhias indah dengan konsep Inggeris yang ringkas sekali gus memberikan suasana kediaman yang cukup selesa buat lima beranak ini.
Rumah Kampung Dalam Bandar
Kami pilih rumah sewa ni sebab lokasinya cukup strategik, ia terletak di tengah-tengah bandar. Pertama kali masuk rumah ini dulu, apa yang kami ada adalah hanya almari tv dan peti ais sahaja. Kemudian adalah sikit-sikit kelengkapan dapur yang asas.
Ruang tamu pula tiada perabot, maklumlah baru hendak mulakan hiduplah katakan. Perlahan-lahan, saya cuba cantikkan rumah ini. Rail langsir pun saya pasang sendiri, suami pergi kerja, saya memanjat pasang railing. Sebab rumah papan senang la nak pasang. Bila suami balik kerja, tengok rumah sudah dipasang langsir.
Cat pun saya buat sendiri. Jarang minta tolong suami. Bukan sebab apa, saya rasa lebih puas kalau buat sendiri. Rumah ini masa mula-mula masuk warna krim. Lama juga kekal dengan warna itu. Kemudian tukar warna oren dan kuning. Kekal lama juga dan yang terbaru hingga sekarang warna biru muda. Senang cakap dalam hal mengecat, suami sumbang tenaga cat siling rumah sahaja.
Konsep
Menyentuh tentang konsep, ibu kepada tiga orang cahayamata ini diberi kuasa penuh oleh suaminya untuk merencana ruangn kediaman mengikut kreativiti peribadi.
“Menghias rumah ini memang saya yang tentukan. Suami dan anak-anak ok saja. Jiwa saya sukakan yang cantik dan tenang dan ini mempengaruhi gaya dekorasi yang saya terapkan untuk rumah kami.
Tip Rumah Terurus Rapi
Tidak ada apa-apa tip istimewa pun daripada saya, cuma apa-apa pun kalau hendak rumah kita terlihat kemas dan rapi, rahsianya kena rajin. Mungkin satu tip yang boleh saya kongsikan untuk penjagaan rumah papan, kadang-kasang saya akan lap dinding rumah dengan air sabun untuk nampk cat kembali cantik. Umur pun sudah meningkat, tidak larat sangat nak buat tapi masih juga buat perlahan-lahan.
sumber : Kasih Abadi