Dugaan yang cukup berat terpaksa dilalui oleh anak kecil ini. Dalam usianya belum memasuki 2 tahun, dia diuji dengan penyakit yang cukup menggerunkan.
Dalam satu perkongsian menerusi Sinarplus, Adik Nur Aqilah Adawiyah dikesan menghidapi ketumbuhan pada mata kiri sehingga terpaksa dibuang berikutan risiko merebak kepada organ lain.
apanya, Muhammad Shazuli Zaini, 31, ketika dihubungi SinarPlus menarik nafas lega apabila anak keduanya itu selamat menjalani pembedahan pada Jumaat lalu.
“Sekarang ini matanya masih dijahit. Mungkin dalam tempoh dua minggu lagi doktor akan letak ‘mata batu’ buat sementara waktu.
“Saya mohon doa orang ramai supaya dapat mendoakan Adawiyah cepat sembuh dan kembali aktif,” ujarnya yang bekerja sebagai penyelia pembersihan di Shah Alam, Selangor.
Berkongsi mengenai kutipan dana sebelum ini, bapa kepada dua cahaya mata itu terpaksa meminjam duit dengan adik-beradik bagi menampung kos pembedahan yang perlu disegerakan sebelum permohonan bantuan kewangan dengan agensi berkaitan.
“Sebenarnya, kami tidak tahu sinar pada mata hitamnya itu adalah kanser. Adawiyah pun tidak tunjuk sebarang kelainan. Bila periksa mata dengan doktor pakar, barulah kami tahu.
“Bila doktor cakap agak terlewat kerana mata kirinya sudah terjejas dan terpaksa dibuang, kami reda dengan ketentuan takdir,” katanya penuh sebak.
“Bapa manalah nak yang buruk-buruk untuk anak sendiri, kan? Saya akan cuba sebaik mungkin untuk memastikan Adawiyah bahagia dan sayangi dirinya.
“Kekurangan yang ada bukan halangan untuknya berjaya dan doa kami akan mengiringinya sehingga berjaya nanti…insya-ALLAH,” tuturnya penuh harapan.
Sama-sama kita doakan semoga dipermudahkan segala urusan keluarga ini dan diberikan kekuatan buat adik Adawiyah dalam mengharungi ujian yang cukup berat ini.
Sumber: Sinar Harian