” Tidak Semestinya Johan Antarabangsa, Kita Rasa Pandai” Qari OKU Malaysia Rangkul Juara Tilawah Lelaki!

Share

Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 25, tekad dan berazam untuk terus belajar mendalami ilmu al-Quran meskipun dinobatkan sebagai johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa, malam tadi.

Qari berstatus orang kurang upaya (OKU) penglihatan dari Kelantan itu menganggap bahawa ilmu taranum  al-Quran begitu banyak dan ia perlu dipelajari lebih mendalam.

“Tidak semestinya kita johan antarabangsa, kita rasa pandai.

“Jadi, saya akan terus belajar dengan guru saya dan akan terus berkongsi ilmu dan mengajar al-Quran pula kepada orang lain,” katanya ketika ditemui media malam tadi.

Terdahulu, Muhammad Qayyim dinobatkan sebagai juara kategori tilawah lelaki sempena Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-63 1445H/2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, malam tadi.

Muhammad Qayyim berjaya menewaskan pencabar lain selepas memperoleh markah sebanyak 94.96 peratus.

Munurut Muhammad Qayyim, beliau bersyukur kepada Allah atas kejayaan yang diterima itu.

“Saya tidak tahu bagaimana mahu ungkapkan, tidak boleh diucapkan dengan kata-kata, gembira ada, sebak pun ada.

“Bagi latihan, kalau formal dengan guru saya seminggu sekali setiap hari Jumaat malam. Saya juga ada buat latihan suara atau kita panggil latihan bermain dengan suara,” katanya.

Muhammad Qayyim turut menitipkan pesanan kepada golongan OKU penglihatan supaya belajar al-Quran.

“Dengan al-Quran ini cerah masa depan kita,” katanya.

Sumber : Berita Harian