“..Tidak Pernah Ada Yang Mustahil Selagi Allah Izinkan..” – Ahmad Idham Syukur Anak Istimewa Boleh Berjalan!

Share

Kekurangan yang dihadapi oleh seseorang bukan penghalang untuk mereka berjaya. Apa yang penting, sokongan padu dari orang sekeliling yang menerima kekurangan dan sentiasa menyayangi mereka termasuklah ibu bapa. Sokongan padu dari ahli keluarga beri sangat memberi erti sehingga boleh beri impak positif pada seseorang.

Itulah yang dikongsikan oleh pelakon dan pengarah, Ahmad Idham bersyukur apabila anak istimewanya, Ahmad Firdaus, 21, kini sudah boleh berjalan meskipun memerlukan alat sokongan.

Melalui perkongsiannya di Instagram, Ahmad Idham berkata tiada perkara yang mustahil yang boleh dicapai kerana anak sulungnya itu telah disahkan mengalami focal encephalitis ketika kecil sehingga menyebabkan kesukaran untuk berjalan dan bertutur.

“Antara aktiviti hujung minggu, bawa Abang (Ahmad Firdaus) jalan-jalan untuk latihan kuatkan kaki Abang.

“Walaupun kadang-kadang ada benda kita rasa mustahil untuk kita capai, namun tidak pernah ada yang mustahil selagi Allah izinkan ianya untuk berlaku.

“Abang, ketika usia 2 tahun doktor mengesahkan dia mengalami focal encephalitis sehingga mengalami kesukaran berjalan dan bertutur.

“Namun, hari ini abang dah boleh berjalan walaupun memerlukan alat sokongan, tapi abang tetap berjaya lakukannya,” katanya.

Menerusi entri berkenaan dia memuat naik video yang disunting ketika melakukan aktiviti beriadah dan bercuti bersama keluarganya.

Menurut Idham yang juga menubuhkan Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus itu dia berbangga dengan anaknya serta berharap agar lebih ramai anak istimewa menjalani kehidupan seperti manusia biasa.

“Daddy bangga dengan abang!

“Semoga lebih ramai anak-anak istimewa mampu menjalani kehidupan seperti manusia biasa yang lain,” beritahunya.

Selain Ahmad Firdaus, Ahmad Idham dikurniakan tiga cahaya mata lain, Ahmad Aydeel, 18, Kintan Myra, 16, dan Ahmad Khaliff, 12.

Sumber : Ahmad Idham