Tidak Berperikemanusiaan! Lelaki Gelandangan Warga Emas Melecur Teruk Dibakar Sewaktu Tidur

Share

Sudah jatuh ditimpa tangga, sudahlah tidak mempunyai rumah untuk berteduh, seorang lelaki warga emas yang hidup sebagai gelandangan mengalami luka melecur angkara perbuatan khianat individu yang tidak bertanggungjawab, selepas tilamnya dibakar.

Kejadian itu berlaku di Taman Kampian, Sungai Petani, Kedah.

Semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan, seorang penunggang motosikal datang ke lokasi dan berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang, dipercayai mabuk.

Suspek berjalan menuju ke arah lelaki gelandangan itu sebelum membakar tilam dan kaki lima bangunan itu, lalu segera melarikan diri dengan motosikalnya.

Akibat dari kebakaran itu, mangsa berusia 62 tahun melecur di bahagian kaki dan punggung. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk mendapatkan rawatan.

Kebakaran itu turut menyebabkan dua premis berdekatan mengalami kemusnahan 25 peratus dan kerugian kira-kira RM10,000.

Berdasarkan keterangan daripada mangsa dan pemilik, mereka tidak mempunyai masalah atau berhutang dengan sesiapa. Mangsa juga merupakan gelandangan sudah terbiasa tidur di kawasan itu sejak dua tahun lalu selepas mengalami kemalangan.