
Pepatah ada mengatakan nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Walau apapun halangan andai kita berusaha pasti ada jalannya.
Demikian juga perkongsian seorang guru Adly Razali di sebuah sekolah di Kota Bharu ini. Baru-baru ini, beliau memuat naik hasil kerja anak muridnya di laman Facebook.
Menurutnya, keluarga ini tidak mempunyai alat pencetak tetapi hasil kerja yang diberikan tetap sama kerana mereka melukis sendiri. Usaha ini telah membanggakan ramai para pendidik di sekolah tersebut.
Kerja sekolah PKP tempoh hari. Murid saya tahun 1 tiada printer. Tapi bagus keluarganya siap tolong lukis. Arahan kerja asalnya tak perlu lukis hanya tulis sahaja (bagi yang tiada printer) tapi abe-abe (abang) kak-kak dio (dia) tolong lukis.
Banggo cikgu! Semoga menjadi insan hebat suatu hari nanti anok (anak) weyh…
Menurut guru ini lagi, pelajar yang bernama Zuhair ini, mempunyai azam yang tinggi untuk berjaya walaupun keluarga ini serba kekurangan tetapi sifat kasih sayang antara keluarga ini tinggi tiada bandingnya.
Mereka saling membantu menyiapkan kerja sekolah murid ini menunjukkan betapa biar serba kekurangan namun pelajaran tetap diutamakan.
Takde jumpa lagi setakat ni yang family tolong lukiskan untuk adik dia
Kata Adly lagi, pelajar ini merupakan salah seorang penerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan bukan daripada keluarga yang senang. Jika ada insan yang berhati mulia untuk meringankan beban keluarga ini turut dialu-alukan.
Saya sebagai cikgu seni memang nak anak murid saya minat seni. Saya sendiri pelukis juga, pernah wakil Malaysia ke China dan Kanada. Semoga menjadi inspirasi kepada murid dan ibu bapa dalam mengambil cakna pembelajaran anak-anak. InshaAllah.
“Tak Ada Sebab Untuk Saya Menyerah Kalah Pada Takdir” Hidap Kanser Tahap 4, Ibu Ini Mahu Gembira Sentiasa!

Satu kelegaan yang maha hebat bilamana disahkan oleh doktor bebas sepenuhnya daripada menghidap penyakit kanser yang pernah dihidapi sejak tahun 2014. Tenang dan bersyukur dengan ujian yang maha darsyat ini.
Tapi ketenangan bukan lagi miliknya kini. Semakin perit dan terhimpit kala diberitahu oleh doktor bahawa kanser yang menyerangnya dua tahun lalu kembali menyerang tubuhnya kini.
Bagi Wan Musfirah Aimi Wan Sufian, 34 tahun, yang juga merupakan ibu kepada dua model dan pelakon kanak-kanak, Nik Harraz Danish dan Nik Hadiff Dani, serangan kanser kali kedua tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang malah dia tidak pernah menyalahkan takdir. Dia tahu Allah memilihnya untuk merasai semua ini dan pasrah dengan laluan yang dilaluinya ini.
“Menyebut kanser memang tidak mudah, namun itulah yang dilalui saya. Semuanya bermula selepas wujudnya ketulan di kedua-dua payudara saya setiap kali saya mengandung. Memang ketiga-tiga kandungan saya, saya mengalami masalah yang sama, adakalanya ketulan di sebelah kiri dan adakalanya di sebelah kanan payudara pula.
“Bila berdepan dengan masalah ini setiap kali mengandung, saya jangkakan ia tidaklah mendatangkan bahaya. Masa mula mengandung anak pertama, sebaik melahirkan anak saya menjalani pembedahan membuang ketulan tersebut dan begitulah rutinnya sehingga anak ketiga.
Ia tidak sakit malah saya tak rasa apa-apa sehinggalah tahun 2014 bila mana saya rasakan seperti ada urat membengkak di bahagian ketiak kiri saya.
Tidak mahu terus bertanda tanya, saya rujuk masalah saya ke Hospital Gleneagles, Jalan Ampang. Saya menjalani ujian ultra sound dan hasilnya tidak ada apa yang merisaukan saya. Namun doktor menyarankan saya untuk mencuba ujian mammogram pula. Namun hasilnya tetap sama, tiada sebarang komplikasi yang tidak diingini kepada masalah urat di payudara kiri saya. Saya lega seketika.
Namun selepas dua minggu, saya kembali ke hospital semula dan menjalani ujian Core Needle Biopsy’ atas saranan doktor yang merawat saya. Empat hari selepas menjalani ujian, saya ke hospital semula dan ketika itulah saya diberitahu saya menghidap kanser payudara.
Semuanya telah terjawab. Saya ingat lagi tarikh itu, 24 Januari 2015. Saya redha dan pasrah,” ujar anak sulung daripada lima adik beradik ini lagi.
Tidak mudah bagi kita namun wanita ini menerimanya dengan tabah hati kerana sudah menjangkakan semua perkara sebegini sejak awal lagi.
Kanser Kali Kedua
Ibu tiga anak ini juga mengakui tidak mudah menerima keputusan doktor sekali lagi selepas bebas selama dua tahun daripada sel kanser.
“Disember 2017 akan menjadi tarikh keramat sekali lagi buat saya. Selepas mengadu sakit kaki iaitu pada bahagian pinggul, saya buat pemeriksaan seperti biasa. Saya buat rawatan fisiologi tetapi masih sakit. Akhirnya doktor sarankan untuk saya buat scan dan ketika itulah baru saya tahu kanser saya menyerang sekali lagi.
Hampir gugur jantung apabila doktor memberitahu sel kanser saya sudah merebak ke tulang kaki. Saya rasa kecewa yang teramat sangat. Tekanan akibat suami diberhentikan kerja pada akhir tahun lalu buat saya jadi tertekan. Tekanan yang saya alami buat sel kanser kembali merebak pada saya. Itu yang doktor nyatakan kepada saya.
Kata doktor sel kanser menyebabkan tumor dalam tulang pecah dan terkeluar. Itulah yang menyebabkan saya sakit pada bahagian pinggul. Saya perlu menjalani rawatan radioterapi sebanyak 15 kali namun malangnya kesannya akan buat saya menapouse. Saya akur dengan kata-kata doktor walaupun pahit untuk menerima semuanya.
Pun begitu, walaupun selepas 15 kali menjalani rawatan, masih tiada sebarang tindak balas malah sel kanser mula menyerang tulang belakang saya. Doktor kemudiannya meneruskan rawatan kimoterapi sebanyak enam kali kepada saya,” luahnya lagi.
Mahu Teruskan Hidup Dengan Gembira
Bagi wanita yang berkhidmat dengan Maybank dan masih berada di dalam cutinya selama enam bulan ini lagi, bersedih dan mengenang nasib akan takdir hidupnya bukan lagi pilihan yang ada.
“Jujurnya saya mahu enjoy dan gembira dengan apa yang saya lalui setiap hari. Sebolehnya setiap kali bangun setiap pagi saya mahu gembirakan diri sendiri dan keluarga dan buat semua perkara yang menggembirakan hati saya.
Saya mahu terus bangkit dan bersemangat demi suami dan anak-anak yang saban hari menyokong kuat perjuangan saya. Merekalah tulang belakang sepenuhnya untuk saya terus kembali ceria.
Tak ada sebab untuk saya menyerah kalah pada takdir sedangkan suami dan anak-anak terus kuat menyokong saya. Setiap kali menjalani rawatan kimoterapi suami akan menguruskan anak-anak dan kesemua urusan rumah. Begitu juga dengan anak-anak yang akan behave dan sentiasa menjaga hati saya dalam segala hal. Sebolehnya mereka tidak mahu membebankan saya.
Jujurnya saya sudah penat untuk mengadu domba dengan sesiapa sahaja akan kesakitan yang saya alami. Saya hanya mahu lalui apa yang Allah sudah aturkan buat diri saya dengan sebaiknya.
Tak ada waktu untuk saya dari terus berfikir mengapa dan kenapa saya ditakdirnya untuk jadi begini. Makin bertambah stres dibuatnya. Saya redha dengan semuanya. Bagi saya kini hidup perlu lebih tenang dan gembira tanpa ada sekatan apa-apa,” ujarnya penuh semangat, positif dan yakin pada diri sendiri.
Sumber: Majalah Keluarga Isu Julai
“Hidap Tumor Di Kepala & Koma Selepas Pembedahan.” Ibu Ini Bersalin Dalam Keadaan Tidak Sedarkan Diri, Doktor Anggap Bayi ‘Ajaib’

Jika wanita lain bergembira saat mengetahui diri sedang berbadan dua, namun berbeza dengan Kamareeah Arwae, 36. Saat itu, dia disahkan menghidap ketumbuhan tumor dalam kepala disember lalu.
Akibatnya, dia terpaksa melalui proses rawatan termasuk proses imbasan sekali gus memberi kesan kepada janin ketika itu. Namun, tiada apa yang berlaku pada bayi tersebut.
Malah, ia dianggap satu keajaiban oleh pengamal perubatan, bayi perempuan itu pada awalnya dijangka tidak mampu diselamatkan namun ternyata kuasa Tuhan tiada siapa mampu menandingi.
Justeru, seawal usia dua bulan dalam kandungan, bayi perempuan ini hanya bergantung kepada susu yang dimasukkan melalui tiub di leher ibunya.
Suami Kamareeah, Fairol Haziri Rahim, 44, berkata, rawatan berterusan terpaksa dibuat terhadap isterinya yang berada dalam koma selepas kejang dan sawan kerana tumor semakin membesar Disember lalu.
Sebaik dilahirkan menerusi proses pembedahan, bayi pra matang yang diberi nama Farah Hanis Fairol Haziri yang kini berusia 41 hari belum merasa setitik pun susu daripada ibu kandungnya, kerana wanita itu koma sejak tujuh bulan lalu.
“Pada awal usia kandungan, saya sudah mengetahui isteri mengandung dan ketika menerima rawatan, doktor memaklumkan bahawa janin mungkin tidak dapat bertahan.

“Selepas menjalani dua pembedahan termasuk membuang tempurung kepala, isteri dibenarkan pulang dan dalam tempoh itu kandungannya masih tiada tanda negatif.
“Sehingga usia kandungan 33 minggu, dia semakin membesar dengan normal dan pembentukan sifat yang sempurna sekaligus menimbulkan rasa tidak percaya di kalangan pegawai perubatan dan mereka mengambil keputusan untuk melahirkan anak kami melalui pembedahan.
“Bayi perempuan pra matang kami ini menghadapi sedikit komplikasi ketika proses kelahiran dan ditahan di wad kira-kira tiga minggu sebelum dibenarkan pulang,” katanya yang sebelum ini menguruskan kedai makan sebelum premis itu ditutup selepas kejadian yang menimpa isterinya.
Farah Hanis sempat diberikan susu ibu oleh seorang ibu tumpang (susuan) selama dua minggu dan kini bayi ajaib itu bergantung kepada susu formula khas untuk bayi pra matang.
Selain Farah Hanis, pasangan itu mempunyai seorang lagi anak, Farras Hazim, 19 bulan, dan menurut Fairol Haziri, sebelum isterinya koma, anak sulung mereka masih menyusu badan.
“Selepas isteri koma, Farras terus terputus susu ibu dan dia juga enggan minum susu formula kerana sebelum ini dia memang menyusu badan sepenuhnya… mungkin ia berlaku dengan mengejut menyebabkan dia tidak mahukan susu formula,” katanya yang kini tidak bekerja dan hanya mengharapkan ihsan orang ramai serta beberapa pihak bagi pembelian susu khas dan lampin pakai buang isterinya.
Fairol Haziri berkata, mereka ada menerima bantuan kewangan dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan bantuan bulanan sebanyak RM200 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sedikit sebanyak meringankan bebannya.
Kepada yang ingin menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian dengan menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Fairol Haziri iaitu 0300141000081183.
Sumber: Harian Metro
3 Jenis Tepung Untuk Jadikan Askrim Kacang Merah Ni Sama Rasa Macam Kedai, Serius Sedap!

Petang-petang hari ni kalau dapat aiskrim untuk basahkan tekak layan juga kan. Nak-nak lagi kalau dapat yang kena dengan selera kita.
Aiskrim kacang merah nampak rumit untuk disediakan di rumah tapi sebenarnya nak menyediakannya teramatlah mudah. Sedap pulak tu.
Jom cuba resipi perkongsian Siti Nailah ini. Sedap tak terkata.
Aiskrim kacang merah…
Sebijik rasa mcm aiskrim potong yang kat kedai tu… Trust me.
Resepinya…
250gm kacang merah direndam semalaman.
Direbus empuk, disejukkan dan di kisar. Terpulang nak halus ke tak.
1 cwn gula
500ml air
Daun pandan
Masak hingga larut
2 sdb tpg ubi
2sdb tpg jagung
1sdb tpg gandum
Caranya:
1. Larutkan dengan sikit air lepas tu masukkan dalam air gula tadi. Teruskan kacau jangan berhenti.
2. Sambil tu masukkan 2 tin susu cair, 1/2 cawan susu pekat, sikit sirap kordial dan garam.
3. Kacau sebati…masukkan kacang merah yang dikisar tadi dan tutup api.
4. Dah suam masukkan dalam plastik aiskrim. Bekukan dan boleh di makan…
Kredit. Siti Nailah