“Tiada Orang Yang Kahwin Ingin Cerai.” Akui Anak Sedih & Sayang Bella, Erra Enggan Campur Hal Rumah Tangga Bekas Suami!

Share

Tiada mana-mana pasangan yang berkahwin mahukan rumah tangga yang dibina berakhir dengan penceraian. Namun, jodoh pertemu, ajal maut semuanya ditentukan oleh Dia Yang Satu. Tiada siapa yang mampu meneka apa yang berlaku pada masa depan. Sebagai hambaNya, kita harus reda dan tabah dengan segala ujian. Bak kata Erra Fazira setiap yang pahit pasti ada manis disebaliknya.

Demikian juga dengan rumah tangga selebriti terkenal Indonesia, Laudya Cynthia Bella bersama Engku Emran berakhir selepas hampir 3 tahun hidup bersama. Pasangan yang tidak dikurniakan cahaya mata ini tidak mampu menahan badai yang melanda yang membawa kepada keruntuhan bahtera rumah tangga.

.

Enggan campuri urusan rumah tangga
Mempunyai hubungan yang baik dengan Laudya Cynthia Bella, Erra Fazira walau bagaimanapun dalam nada tegas enggan mencampuri urusan rumah tangga pasangan tersebut.
“Saya tidak mencampuri urusan rumah tangga walaupun dia bekas suami dan bapa kepada anak saya. Kalau mereka tak buka mulut, saya akan zip mulut saya. Memandangkan Engku Emran juga tidak berkongsi apa-apa mengenai masalah rumah tangganya, jadi tidak manis untuk saya ‘menyibuk’ hal berkenaan.

“Saya tak campur hal rumah tangga mereka. Mereka pun tak pernah bercerita mendalam. Tipulah saya tak tahu pergolakan yang berlaku. Walaupun dia bekas suami dan bapa kepada anak saya, saya tak mahu korek. Cukup tahu sikit sikit di peringkat permukaan. Saya tak pernah tanya kenapa apatah untuk mengorek lebih lanjut,” ulas Erra menjawab pertanyaan media mengenai laporan perpisahan Engku Emran dengan Laudya Cynthia Bella.

Ada hikmah menanti
Hos rancangan Mingguan Wanita ini bagaimana pun percaya bahawa di sebalik keruntuhan rumah tangga Engku Emran yang juga bapa kepada anak mereka, Engku Aleesya dengan Laudya Cynthia Bella ada hikmah yang menanti.
“Dalam setiap pahit tu ada pasti hikmah dan manisnya. Allah uji kerana sayang. Ada ganjarannya itu. Jadi kena bersabar. Tiada pasangan yang berkahwin inginkan penceraian, mereka dah cuba tapi tak berjaya.
“Saya sedar anak saya pun sedih dengan berita itu. Dia pun sayang Bella. Rasanya dia lebih tahu tentang pergolakan rumah tangga ayahnya kerana ada bersama tapi nak buat macam mana. Malah, saya tahu bapanya pun bersedih dengan apa yang berlaku.

Kembali jatuh cinta
Sementara itu, Erra mengakui, dia kembali jatuh cinta, namun, perasaan itu bukanlah merujuk pada bertemu buah hati baharu, sebaliknya, kecintaan itu adalah pada produk penjagaan rambut Faith Fleur yang melantiknya sebagai duta.

Faith Fleur merupakan syarikat yang ditubuhkan sejak 2017 oleh pengasas bersama Siti Mariam Abd Samad dan Halim Bahadorisam. Syarikat ini mengeluarkan produk penjagaan rambut yang terdiri daripada syampoo, pelembab rambut, serum, pewangi rambut dan tonik.
Rezeki tak salah alamat
Kata primadona seni tanah air itu, tiada apa yang mampu diungkapkannya selain bersyukur kerana masih diberi kepercayaan untuk menjadi jurucakap bagi sesebuah produk.

“Saya percaya rezeki tidak salah alamat. Saya amat mensyukuri nikmat rezeki yang Allah panjangkan. Soal aktif atau tidak mahupun persaingan dengan artis generasi baru itu semuanya bersifat subjektif.
“Apabila rezeki berpihak kepada kita, maka saya sambut dengan hati terbuka dan syukur dengan nikmat yang diberi.
“Untuk masih dipandang relevan hingga diberi kesempatan menjadi wakil jenama produk, saya berterima kasih kepada mereka yang memberi kepercayaaan,” katanya.
Ditanya aktivitinya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, jelas pelakon Gerak Khas mengakui banyak masa dihabiskan bersama anak di rumah.