Tiada Lagi Teka-Teki, Shuib Dan Watie Bakal Disatukan Jun Depan

Share

Setelah sekian lama berteka-teki tentang status hubungan antara pelawak, Shuib Sepahtu atau nama sebenar Shahmira Muhammad dengan Watie Hanifah, akhirnya mereka dikhabarkan bakal mendirikan rumah tangga pada Jun depan.

Memetik laporan Berita Harian, Shuib dikatakan telah mengaku bahawa dia dan Watie yang usahawan tempatan itu sudah bersetuju untuk berkahwin ketika ditemui di sebuah hotel dalam sidang media Melakar Pahala Warnai Raya Suria FM.

“Insya-Allah, majlis akan berlangsung selepas raya iaitu pada Jun depan. Nanti saya akan beritahu tarikhnya.

“Persiapan dari segi dewan sudah dilakukan. Saya akan menjalankan majlis pernikahan dan persandingan. Tetapi, dari segi busana belum lagi,” katanya.

Shuib turut berkongsi tentang persiapan perkahwinannya yang tidak akan dilakukan secara sederhana tapi bermakna buat mereka berdua. Katanya, persediaan perkahwinannya juga sedang berjalan sebanyak 30 peratus.

“Saya tak mahu majlis pernikahan terlalu meriah, tak mahu juga terlalu kecil-kecilan kerana memikirkan ahli keluarga. Ini adalah perkahwinan pertama Watie, jadi sudah tentu keluarga mahu majlis meriah meraikan kami.

“Saya harap dapat buat majlis sederhana dan bermakna, jadi semua akan gembira,” luahnya.

Sementara itu, Shui juga berkongsi tentang perasaan bakal isterinya itu tentang perkahwinan yang bakal berlangsung ini.

“Bakal isteri sangat gembira. Dengan apa yang dilalui, perjalanannya bagaimana. Dalam masa yang sama, berat juga untuk Watie berada di situ, tetapi saya berharap semoga Allah mempermudahkan.

“Anak-anak selesa dengan Watie. Alhamdulillah, keluarga pun selesa. Saya rasa itu salah satu anugerah,” ujarnya.

Walaupun ini perkahwinan kali keduanya, Shuib tetap rasa debaran, namun selepas pemergian Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, dia perlu seseorang untuk ada bersamanya demi anak-anak yang tersayang.

“Saya pula sudah tentu berdebar, tetapi bila saya tengok anak-anak, saya rasakan perlukan seseorang untuk ada bersama saya.

“Saya perlukan sistem sokongan yang baik kerana saya tak tahu bagaimana untuk berseorangan dan sendirian,” tambahnya.

Selain itu, sisi Watie yang hampir 20 peratus sama dengan arwah isterinya itu juga membuatnya lebih tertarik dan yakin pada pilihan hatinya kali ini.

“Arwah Siti Sarah tidak akan boleh diganti. Tetapi, hampir 20 peratus sisi Watie sama seperti arwah. Saya hargai bagaimana Watie menjaga anak-anak saya. Itu yang mahal.

“Saya nampak Watie boleh jadi ibu yang baik, insya-Allah. Saya nampak usaha yang Watie berikan kepada ibu saya, mentua dan anak-anak saya,” katanya.

Untuk rekod, Shuib dan Siti Sarah pernah disatukan pada 2011, namun pada 9 Ogos 2021, dia bapa kepada empat cahaya mata itu kehilangan arwah isteri tercinta, Siti Sarah akibat COVID-19. Hasil daripada perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 12, Dzahira Talita Zahra, 10, Ariq Matin, 8, dan Ayash Affan berusia setahun lima bulan.

Sumber: Berita Harian