Hiburan

Tiada Lagi Celoteh Mak-Mak, Kak Rara Ucap Selamat Tinggal Setelah 7 Tahun Bersama

Share

Tiada lagi celoteh ceria mak-mak di Suria FM! Pasti ramai yang akan merinduinya. Terkini, penyampai radio dan pengacara popular, Sharifah Shahirah atau lebih dikenali sebagai Kak Rara, mengumumkan pengundurannya dari stesen Suria FM selepas tujuh tahun menghiburkan pendengar.

Figura ceria yang sentiasa menceriakan pagi pendengar ini memilih untuk tidak menyambung kontraknya, yang akan tamat secara rasmi pada 15 Februari ini. Keputusan ini pastinya meninggalkan kesan buat peminat setianya yang sudah terbiasa dengan celoteh spontan dan humor segarnya di udara.
Menerusi kenyataan media Suria FM, Shahirah mengambil keputusan itu atas sebab ingin berehat selain memberi tumpuan kepada perkara berkaitan peribadi.
“Kami menghormati keputusan dibuat dan yakin Shahirah akan terus berjaya dalam apa juga bidang diceburinya,” katanya.
Suria FM menghargai khidmat cemerlang Shahirah sepanjang menjadi tonggak penting dalam stesen terbabit sepanjang dia bersama mereka.
“Kami amat menghargai segala usaha dan dedikasi beliau dalam menceriakan hari pendengar. Pihak Suria FM mengucapkan terima kasih kepada Shahirah atas kerjasama yang baik sepanjang tempoh perkhidmatannya,” katanya.
Shahirah mula bertugas di Suria FM pada 2018 menerusi segmen Suria Pagi di Suria FM bersama Fizi Ali dan Zulin Aziz.
Kemudian, dia bertukar mengendalikan segmen Suria Petang bersama Chiwan dan Kai Hassan yang bersiaran pada pukul 3 petang hingga 7 malam, setiap Isnin hingga Jumaat.
Sumber: Harian Metro