Wanita yang parah selepas dirempuh kayu balak dalam kejadian di lampu isyarat Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, Selasa lalu, sudah mula meminta makanan dan bertanyakan khabar adik-beradiknya sebaik sedarkan diri.
Kakak mangsa, Roslinda Jusoh, 40, berkata, mereka sekeluarga bersyukur dengan perkembangan terkini adiknya, Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, selepas enam hari tidak sedarkan diri.
“Alhamdulillah sebaik sahaja sedar semalam, dia terus bertanyakan khabar kami adik-beradik dan meminta untuk makan nasi air.
“Siti Norelyana juga meminta kami supaya tidak meninggalkannya sendirian di hospital.
“Melihatkan keadaannya hari ini yang mampu bercakap, seolah-olah ia satu keajaiban buat kami sekeluarga,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut katanya, sehingga kini doktor yang merawat adiknya memaklumkan tiada sebarang pembedahan akan dilakukan dalam masa terdekat.
“Buat masa ini, perkembangan keadaan adik saya semakin baik dan doktor memaklumkan sebarang rawatan lanjut bergantung kepada keadaan. Untuk masa terdekat tiada sebarang pembedahan.
“Pihak hospital juga meminta kami sekeluarga supaya tidak bertanyakan kepada adik mengenai kejadian rempuhan balak itu, memandangkan dia baru sedar.
“Kami juga tidak memaklumkan keadaan kesihatannya yang patah tulang punggung dan tulang rusuk. Apa yang kami tekankan adalah supaya adik kuat dan tidak terlalu berfikir,” katanya yang adiknya kini menerima rawatan di Hospital Raya Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.
Dalam kejadian pada Selasa lalu, Siti Norelyana parah dirempuh kayu balak dari lori yang terbalik di Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai.
Dalam kejadian pada 11.23 pagi itu, sebuah lori membawa muatan kayu balak dikatakan terbalik ketika melalui persimpangan lampu isyarat itu menyebabkan Siti Norelyana yang menunggang motosikal tercampak dirempuh kayu balak yang terjatuh.
Sumber: myMetro
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my