Membaca perkembangan terkini berkenaan Covid-19 sepertimana yang dilaporkan di Harian Metro, pastinya membimbangkan.
Dikatakan jangkitan Covid-19 bukan lagi boleh dianggap sebagai kes import sebaliknya ia sudah merebak dalam kalangan komuniti.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia susulan ada individu mempunyai jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dikesan positif Covid-19.
“Seperti kes pertama di Kuantan, dia tiada sejarah. Dia ada penyakit SARI dan apabila kita saring didapati positif. Apabila kita lihat semula sejarahnya, beliau hadir ke perhimpunan di Seri Petaling.
“Sekarang ada kes SARI pun positif Covid-19,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah penting bagi mengurangkan penyebaran wabak.
Menurutnya, matlamat utama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika ini adalah untuk mengurangkan kes jangkitan sekaligus membolehkan KKM memberi rawatan terbaik kepada pesakit.
“Kalau sehari ada 2,000 (pesakit) masuk, kemampuan kita (beri rawatan) tak cukup. Bila tak cukup, pesakit tidak dapat diberikan rawatan yang terbaik,” katanya.
Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya terus duduk di rumah dan dapat membantu mengurangkan penularan wabak berkenaan.
sumber : HMetro