Sebelum ini bekas penyanyi dan juga aktivis, Mizz Nina mengumumkan bahawa dia telah ijab kabul dengan penyanyi rap berdarah kacukan Maghribi-Amerika Syarikat, Essam Muhammad berlangsung secara tertutup di luar negara pada suku tahun kedua tahun ini.
Baru-baru ini, Mizz Nina telah memuat naik beberapa video bersama suami tersayang, ketika mengunjungi lokasi bulan madu di Santorini, Greece.
Pemilik nama Shazrina Azman mendedahkan beliau dan Essam telah mengunjungi banyak negara.
“Apabila anda membiarkan hati berusaha untuk mencari kedamaian, kesyukuran dan kepuasan, setiap saat dihabiskan dengan bermanfaat.
“Masa berlalu tetapi tanpa penyesalan kerana anda melakukan sesuatu dengan niat untuk menggembirakan ALLAH dan itu akan sentiasa khayr (lebih baik).
“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur dan bertuah kerana dapat menjelajah dunia bersama suami tercinta.
“Kami kunjungi empat negara dan enam bandar dalam masa dua minggu. Reel ini,adalah rakaman hari i yang kami habiskan di Istanbul, Turkiye.
“Suami (Essam) memberi kejutan dengan membawa saya ke lokasi rahsia di atas bumbung dengan pemandangan indah 360 darjah bandar dan Selat Bosporus,” titipnya.
Menurut Mizz Nina, ia juga adalah lokasi Essam merakam videonya, On the Road pada 2021.
Tidak hanya mengunjungi semata-mata, Mizz Nina dan Essam melakukan pelbagai aktiviti santai dan berlibur.
Di sana beliau meluangkan masa menunggang basikal elektrik meneroka bandar.
Lebih istimewa lagi, ini adalah pertama kali mereka menyambut hari raya sebagai suami isteri.
Beliau dan Essam meluangkan masa mengunjungi masjid pada hari raya pertama baru-baru ini.
Jelasnya, menunjukkan kasih kepada orang yang dicintai bukan sesuatu yang keterlaluan. Berjalan dan mengembara bersama memupuk kasih sayang.
“Tidak bermakna perlu mengembara beribu batu jauhnya, kadangkala anda hanya perlu meneroka di sekitar bandar sendiri atau bandar berdekatan di negara sendiri.
“Melancong adalah sunah kerana dengannya kita akan belajar tentang budaya lain di dunia. Ia juga yang membuatkan kita memahami diri dan orang lain.
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu berkenal-kenalan.
”Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali.” (41:13),” titip Mizz Nina.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata turut perasan wajah Mizz Nina yang kelihatan sangat berseri dan gembira. Malah, mereka juga tidak melepaskan peluang untuk meninggalkan doa buat pasangan baharu ini.
Terdahulu, Mizz Nina mengumumkan akan mengadakan majlis resepsi perkahwinannya di ibu negara.
Pada Ogos tahun lalu, Nina mengejutkan ramai apabila mengesahkan sudah bercerai dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga.
Mereka bernikah pada 2 Julai 2011 namun tidak dikurniakan cahaya mata.
Namun, pada Mac 2022, beliau dan Noh mengumumkan kehadiran anak angkat lelaki mereka yang diberi nama Musa.
Sumber: Instagram @officilmizznina