Terserlah Keayuan! Salamiah Hassan Akui Dah Berhijab Di Usia 72 Tahun

Share

Siapa sahaja yang tidak mengenali penyanyi veteren, Salamiah Hassan yang terkenal dengan salah satu lagunya, ‘gelombang’.

Baru-baru ini, penyanyi berusia 72 tahun ini membuatkan ramai peminatnya berasa ‘sejuk hati’ apabila dia tampil dengan imej baharu, iaitu kini sering berkongsi foto berhijab di laman Instagram miliknya.

Malah, Salamiah yang juga ibu kepada selebriti bertubuh genit, Atilia Haron mengesahkan bahawa dirinya kini sudah berhijab, namun enggan membesarkan isu penghijrahannya kerana keputusan bertudung itu adalah kerana pilihannya sendiri selain sudah sampai waktu untuk memakainya.

“Tiada apa yang perlu saya komen. Saya memang nak pakai tudung. Saya tak suka perkara ini menjadi satu isu besar,” ujarnya.

Jelas peserta Bakat TV 1971 anjuran Radio Televisyen Malaysia, dia tidak mempunyai sebarang sebab atau punca tertentu dalam mengenakan hijab sepenuhnya.

“Rasanya anda pun mengenali saya seorang yang menjaga privasi. Jadi, apa yang boleh saya katakan saya pakai tudung baru-baru ini sebab saya sendiri nak memakainya, bukan pasal apapun.

“Lagipun saya baru habis tempoh edah dan mahu kembali aktif bekerja. Sekali lagi saya tegaskan, saya enggan perubahan ini menjadi isu besar,” katanya lagi.

Sementara itu, Salamiah memberitahu dirinya dalam keadaan baik sahaja meskipun tidak mampu menutup kesedihan selepas pemergian suaminya akibat kanser kolon di Tasmania, Australia pada November tahun lalu.

“Saya okey saja. Kita tiada kuasa dengan apa yang sudah Allah tentukan. Kita harus reda dan terima hakikat serta teruskan kehidupan.

“Nak kata saya kuat, saya ini hanya manusia biasa. Pastilah masih ada rasa sedih itu.

“Lagipun boleh ke kesedihan itu hilang begitu saja, melainkan saya sendiri yang kena mengawalnya dengan kekuatan yang Allah berikan. Apa yang saya lalui sama seperti orang lain yang kehilangan insan tersayang,” katanya.

Sekadar info, Salamiah mendirikan rumah tangga dengan Gery Hughes pada 1 September tahun lalu selepas 15 tahun mengenali antara satu sama lain.

Bagaimanapun, selepas dua bulan berkahwin, Salamiah dikejutkan dengan pemergian Gerry akibat kanser kolon.