Pilu rasanya bila terpaksa berjauhan dengan keluarga, tak boleh digambarkan kesedihan lebih-lebih lagi bila berpisah antara negara lain.
Seperti kisah ibu dan bayi lelakinya ini terpaksa berjauhan selama 5 bulan akibat COVID-19 yang berpunca dari sekatan masuk keluar negara lain di negara masing-masing. Jom ikuti kisah mereka.
“Irfan, ini adalah ibu,” ungkapan pertama seorang ibu apabila dapat memangku anak bongsunya di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Songkhla hari ini.
Dengan linangan air mata, ibu muda Nurhalisa Jehawee, 18, mendukung bayi lelaki berusia lima bulan yang terpisah susulan penularan pandemik COVID-19 sekali gus menyebabkan penutupan sempadan Malaysia-Thailand.
“Saya sangat gembira. Akhirnya, dapat mendukung anak saya buat kali pertama selepas lima bulan. Saya dan keluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi membantu dan menderma kepada kami.
“Ia membantu kami melangsaikan bil hospital dan membawa pulang Irfan ke pangkuan kami,” katanya kepada Bernama.
Hasil bantuan dan derma orang ramai, Nurhalisa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kajang dan suaminya Muhammad Tifyoleah, 28, berjaya mengumpul wang untuk menyelesaikan bil hospital termasuk kos bersalin berjumlah hampir RM30,000.
Irfan dilahirkan ketika kandungan ibunya berusia tujuh bulan di Hospital Kajang pada 27 Feb lepas, namun terpaksa meninggalkan Irfan yang ketika itu di bawah pemantauan doktor, untuk memperbaharui visanya dan suami yang tamat tempoh pada 18 Mac lepas.
Susulan COVID-19 dan penutupan pintu sempadan Malaysia-Thailand, pasangan itu tidak dapat kembali semula ke Malaysia untuk mengambil anak bongsu mereka di Hospital Kajang.
Irfan diiringi dua jururawat dari Hospital Kajang bertolak pada pukul 8.45 malam tadi dan tiba di CIQ Sadao pada pagi ini, kemudiannya dibawa ke Hospital Pattani untuk pemeriksaan lanjut.
Bayi berkenaan akan menjalani kuarantin wajib bagi warga Thai yang pulang dari luar negara.
Sumber BERNAMA