Terpisah Dengan Anak Kandung! Wanita Ini Minta Netizen Buat Lakaran Terkini Guna Gambar 14 Tahun Lalu Sewaktu Usia 7 Hari

Share

Ibu mana yang tidak sayangkan anak? Walaupun terpisah berapa lama sekalipun, ibu akan tetap kasih dan ingat anak yang telah dikandungnya selama 9 bulan. 

Seperti yang terjadi pada seorang wanita bernama Asrul Hidayu, dia telah terpisah dengan anak kandungnya sewaktu bayi tersebut berusia 7 hari. 

Menurutnya dia terpaksa menyerahkan anak lelakinya itu, Muhammad Danial Hazmi kepada keluarga angkat selepas melahirkannya pada 22 Ogos 2009.

Atas kerinduan yang amat mendalam kepada anaknya itu, wanita itu telah meminta netizen untuk membuat lakaran atau gambaran terkini anaknya dengan menggunakan satu-satunya gambar anaknya yang diambil ketika berusia 7 hari. 

“Assalamualaikum. Bolehkah tolong editkan gambar anak akak yang terpisah 14 tahun ni? Agak-agak macam mana wajah dia sekarang?

“Walaupun wajah dia mungkin sangat-sangat berbeza. Sekurang-kurangnya mampu mengubati rindu yang tiada kesudahan,” ujar wanita itu.

Tambahnya, gambar yang ada dalam simpanannya dirakam ketika anaknya baru berusia tujuh hari.

“Dia ada dengan keluarga angkat yang akak tak tahu keadaan dan keberadaan dia dekat mana.

“Sampai sekarang masih berharap dapat dipertemukan dengan dia. Rindu sangat-sangat. Sekarang dia dah ada empat adik. Adik dia tahu kewujudan dia,” tulis wanita itu lagi.

Walau bagaimanapun, wanita ini tidak menyatakan kenapa anak lelakinya itu diserahkan kepada keluarga angkat. Namun ada yang beranggapan mungkin atas faktor kekangan hidup sewaktu ini. 

Perkongsian wanita itu menerusi group Facebook Edit Apa Hari Ni? turut meraih pelbagai reaksi netizen.

Malah, seorang pelayar Facebook dikenali sebagai Shabikan Manan turut berkongsi ilustrasi wajah seorang budak lelaki yang diinspirasikan daripada wajah bayi tersebut.

“Sekadar mencuba dari wajah asal bayi. Wallahualam. Moga dipermudahkan urusan pencarian puan. Amin,” tulis lelaki itu.

Dalam pada itu, ramai netizen turut menzahirkan rasa simpati dan mendoakan wanita itu dapat disatukan semula dengan anaknya.

“Semoga dipermudahkan urusan pencarian. Memang elok dicari. Lagipun anak lelaki, antara wali kuat untuk adik-adik perempuannya.

[TIPS]

Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA  dan join keluargagader club