Berita

Terperangkap Dalam Lif Lebih 10 Jam, 2 Kanak-kanak Menangis Sampai Tertidur, “Pau Kegemaran Pun Tak Sempat Beli”

Share

Terperangkap dalam lif lebih 10 Jam, dua kanak-kanak menangis sampai tertidur, “Pau kegemaran pun tak sempat beli.” Misteri kehilangan dua kanak-kanak lelaki selama lebih 10 jam selepas keluar rumah untuk membeli pau, akhirnya terjawab apabila mereka ditemui terperangkap dalam lif yang sedang diselenggara di pangsapuri didiami mangsa di Desa Petaling.

Terperangkap Dalam Lif Lebih 10 Jam, 2 Kanak-kanak Menangis Sampai Tertidur, “Pau Kegemaran Pun Tak Sempat Beli”

Mangsa dikenali sebagai Faiq Adiwira, 11, dan seorang rakannya berusia 10 tahun turut tertidur dalam lif itu sebelum dijumpai semula dalam keadaan selamat pada jam 12.45 tengah malam setelah kelibat mereka berjaya dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh, berkata terdahulu pihaknya menerima dua laporan berhubung kehilangan dua kanak-kanak terbabit oleh waris masing-masing, petang semalam.

“Berdasarkan maklumat, dua kanak-kanak berkenaan dikatakan keluar rumah kira-kira jam 2.30 petang semalam untuk membeli pau di kedai berdekatan simpang sebuah sekolah menengah sebelum mereka terperangkap dalam lif itu,” katanya. 

Sementara itu berdasarkan maklumat penduduk pangsapuri terbabit, kedua-dua mangsa berusaha meminta bantuan sebelum keletihan lalu tertidur dalam lif berkenaan.

Difahamkan, pihak pengurusan penyelenggaraan kemudian melakukan kerja membuka pintu lif itu untuk menyelamatkan mangsa yang dilaporkan tiada mengalami sebarang kecederaan.

Ibu Faiq Adiwira, Fospaliza Md Sariff pula berkata anak kelima daripada enam beradik itu ditemui berada dalam keadaan lemah serta tidak bermaya susulan terperangkap berjam-jam tanpa makanan dan minuman selepas keluar untuk membeli pau di kedai berdekatan.

“Pau itu memang makanan ‘favourite’ (kegemaran) anak sampaikan peniaganya pun sudah kenal dia sebab selalu beli.

“Dalam kejadian semalam, dia turun dari rumah kami di tingkat sembilan sebelum terperangkap di tingkat empat bersama seorang kawannya… pau pun tak sempat beli,” katanya. 

Fospaliza berkata, dua kanak-kanak berkenaan dikatakan cuba meminta tolong melalui butang interkom tetapi didakwa tiada respons, dan mereka hanya mampu menangis sehingga tertidur beberapa kali.

Pada mulanya, beliau berkata, mereka tidak menyangka dua kanak-kanak itu terperangkap dalam lif berkenaan, sebaliknya disangka hanya pergi bermain.

“Biasanya, anak pergi bermain dengan kawan-kawan dan saya sudah tetapkan dia mesti berada di rumah sebelum jam 7 malam.

“Oleh itu, saya tidak menyangka mereka terperangkap dalam lif kerana ingatkan pergi bermain selepas membeli pau di bawah blok kami,” katanya yang sudah menetap di pangsapuri terbabit selama 12 tahun.

Beliau berkata, mereka sekeluarga bersyukur tiada perkara tidak diingini berlaku ke atas Faiq, malah kanak-kanak itu sudah kembali bersemangat dan hadir ke sekolah, hari ini.

Sumber: Berita Harian  Sinar Harian 

Baca artikel lain juga: Kanak-kanak Termakan Keropok Ada Racun Tikus, Muhammad Akil Syauqi, 3 Tahun, Meninggal Dunia

Tragedi Pemandu Van Sekolah Langgar Kanak-kanak Perempuan 5 Tahun, Ibu Mangsa Harap Rakaman CCTV Dapat Bantu Siasatan

 

 

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my