Melalui satu tempoh berpantang selama 44 hari bukanlah satu waktu yang singkat. Apa lagi bila terpaksa melaluinya dalam keadaan tidak selesa seperti orang lain.
Sebenarnya memilih untuk berpantang di rumah mentua bukanlah satu kesalahan jika ruang peribadi ibu berpantang terjaga, lebih-lebih lagi untuk menyusu. Di sinilah suami perlu memainkan peranan.
Perkongsian Kaunselor Laktasi, Pn Nad Masrom ini membuatkan hati kita tersentuh. Sebaiknya elakkan ketidakselesaan ketika waktu pantang. Biar di rumah sendiri asalkan kita selesa dan bebas untuk menyusu dengan baik.
Saya teringat kepada satu kisah pengalaman saya menyantuni seorang ibu yang tertekan kerana anaknya keliru puting. Ibu minta saya datang bantu beliau beberapa tahun lepas. Bila saya datang, suasana di rumah nampak tegang.
Suami sekejap-sekejap keluar masuk. Seolah nak dengar apa luahan isteri kepada saya sedangkan saya masa tu sedang gigih pujuk bayi beliau menyusu semula.
Melihat keganjilan sikap suami, saya ajak isteri untuk berlatih menyusu di bilik memandangkan isteri nampak tak selesa nak menyusu di ruang tamu.
Dalam bilik, isteri teresak-esak menangis. Dari ceritanya, isteri merupakan seorang surirumah yang bergantung harap kepada pendapatan suami.
Sepanjang bercerita, sekali-sekala bahu isteri terhinjut-hinjut menahan sebak. Kisah bayinya keliru puting adalah kerana bayinya telah diberikan botol susu oleh staf kesihatan hospital. Dan staf kesihatan itu ialah suaminya sendiri!
Isteri diminta berpantang di rumah mertua. Dipaksa berpantang di ruang tamu (berbentangkan tilam) untuk tidur dan menyusu bagi memudahkan ibu mertuanya memantau sepanjang masa berbanding di dalam bilik.
Dalam rumah mertua ada adik-beradik suami yang lain. Isteri kepanasan. Perlu menutup aurat dalam pantang yang masih lagi baru berusia 2 minggu. Tak bebas nak buat apa-apa dan sangat tertekan nak menyusukan bayi dalam keadaan terbuka. Dan saya tanya, apa respons suami bila dia dipaksa pantang sebegitu.
Isterinya jawab, suami penat kerja. Isteri dah pernah minta untuk berpantang di rumah ibunya sendiri tapi ditentang suami dengan alasan rumah ibu suami lebih dekat dengan tempat kerja beliau. Kami dalam bilik tak lama. Masa suami keluar rumah, itulah peluang isteri masuk ke dalam bilik sekejap bersama saya.
Suami yang memang ambil cuti khas sempena saya nak datang menyantuni isterinya, kedengaran balik dan masuk ke rumah. Saya nampak ibu tadi panik dan ajak saya ke ruang tamu semula. Masa tu sudah tengahari. Saya datang dari jam 10 pagi. Saya nampak suami mundar mandir. Seolah beri isyarat.
Isteri minta izin sekejap dari saya, dan minta saya bantu jagakan bayi. Saya terpinga sekejap. Isteri yang sedang berpantang 2 minggu, yang masih kelam kabut uruskan bayinya yang tak pandai menyusu, yang tak selesa dipaksa berpantang di ruang tamu, rupanya kena ke dapur hidangkan makanan kepada suami pula.
Ruang tamu tempat saya berada dan dapur tak jauh. Ruang makan dapur pula terbuka. Jadi saya nampak suami duduk sambil isteri tadi ambil air basuh tangan, tuangkan air basuh tangan untuk suami, sendukkan nasi beserta lauk serta tuangkan air untuk suami menjamu selera. Tah kenapa, saya rasa sebak kasihan pada ibu berpantang itu.
Patutlah ada ayat seperti ‘SUAMI BERMUTASI MENJADI BAYI YANG PERLUKAN PERHATIAN’. Saya tahu segala apa yang dilakukan isteri pasti diredai suami. Tapi melihat keadaan isteri, saya rasa empati sebab suami tidak menunjukkan simpati.
Isteri tidak disantuni untuk berpantang dengan tenang dan menyusukan bayi dalam keadaan selesa dan bebas dalam keadaan isteri boleh buka tudung dan pakai baju yang selesa.
Malah saya tak nampak sejak tadi bila ibu ini makan. Biasanya ibu menyusu ni kan kerap lapar. Dah tengah hari, ibu ini pula perlu hidang makan pada orang yang tak berpantang dan ada kudrat nak angkat senduk sendiri. Tapi, tetap si isteri menjalankan TUGAS UTAMA demi suami.
Selalunya saya akan lihat (sewaktu home visit), ahli keluarga akan bantu ingatkan ibu berpantang makan atau hidangkan makan tengahari kepada mereka mengikut waktunya. Tapi ini terbalik pula.
Hakikatnya, sesi hari itu tidak berjalan lancar. Namun, isteri kelihatan sedikit lega kerana sekurangnya ada teman untuk mendengar apa yang dia rasa. Bayinya yang keliru puting tidak dapat dibantu sehingga saya minta izin undur diri.
Banyak kekangan sewaktu sesi kaunseling bersama ibu. Dan kekangan paling besar yang saya lihat ialah TIADA SOKONGAN SUAMI kepada si ibu.
Saya rasa ralat dan sedih sebab tak dapat bantu ibu. Tapi apakan daya, itulah limitasi saya sebagai kaunselor penyusuan susu ibu. Kita membimbing dan selebihnya bergantung kepada usaha si ibu.
Cuma bersyukurnya suami benarkan isteri panggil saya datang ke rumah. Tapi isteri perlu berjuang sendiri. Walaupun suami staf kesihatan, belum tentu suami ada empati kepada isteri sendiri.
Mungkin kerana ‘beras suami yang beli’. Jadi, suami rasa lebih penat dan perlu dihargai. Tahlah. Saya tak berani nak komen lebih-lebih. Bimbang saya mengajar ibu-ibu jadi isteri menderhakai suami. Bukan itu maksud saya. Cuma saya merujuk kepada common sense dari cerita ini.
Sedih bila melihat kaum sendiri tidak dilayani. Dan menyimpan duka dalam hati yang saya rasa suaminya juga tidak berusaha untuk mengerti.
Ini baru satu kisah. Ada juga beberapa kisah yang meruntun hati, saya simpan sekian lama tak pernah kongsi di sini.
Itulah cabaran seorang wanita yang duduk di rumah bergelar ISTERI. Yang ramai lihat seperti hamba abdi. Tanpa perlu dikasihani. Kerana mereka fikir, golongan ini sudah banyak berehat sendiri.
Seolah-olah kerja sebagai suri tidak layak mendapat cuti. Walaupun berpantang, tetap perlu menjadi SURI. Walaupun hati mungkin penuh DURI.
P/s: Gambar ni ialah saya ketika berpantang Ali waktu pandemik. Kami berpantang sendiri. Syukurlah kami walaupun masa ni serba serbi tak sempurna, tapi suami berusaha yang terbaik semampunya.
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club