Terlalu Penat & Banyak Berfikir Sampai Kena Masuk Hospital, Elfira Loy Syukur Beransur Sembuh

Share

Bergelar seorang ibu dan dalam masa yang sama mempunyai komitmen dalam kerjaya kadangkala membuatkan sesetengah wanita terlupa untuk menjaga kesihatan diri sendiri.

Wanita bergelar ibu sememangnya terkenal kuat fizikal dan sangat multitasking dalam menguruskan keluarga dan kerjaya. Tetapi adakalanya tanpa sedar ia boleh memberi kesan kepada kesihatan diri sendiri.

Selebriti Elfira Loy baru-baru ini berkongsi bagaimana pengalaman dirinya melalui fasa keletihan melampau sehingga memberi kesan kepada kesihatan dirinya sendiri.
Akhirnya dia akur yang dirinya perlukan masa untuk berehat.

Badan Perlu Rehat

Sudah tiba masanya untuk berehat.

Posting ini untuk mengingatkan diri saya sendiri yang badan saya perlukan rehat bila saya rasa saya perlu rehat dan terlalu banyak berfikir boleh menyakitkan saya juga.

Doktor cakap “awak ada fikir banyak sangat ke?”

Terus mata berkaca dan Ya saya cakap.

Stres? Ya

Kemudian doktor memberikan ubat “relax” iaitu Xanax/lorazepam dan ubat pening iaitu khusus untuk simptom vertigo.

Menurut ibu kepada sepasang cahaya mata ini simptom yang dia alami pada peringkat awal iaitu merasa tidak stabil setiap lima hingga 10 minit.

“Esok harinya saya ingat dah berasa lebih baik tapi saya secara tak sengaja terlanggar cermin sisi kereta tapi sempat tarik. Tak sedar pun macam mana jadi tapi saya teruskan juga pergi mesyuarat.

“Selepas selesai mesyuarat, saya balik rumah dan berehat dan sempat kemaskan barang sekejap. Kemudian saya balik ke rumah ibu dan beritahu dia apa yang berlaku.

Masa Isyak, saya rasa sakit perut. Lepas itu saya cirit-birit. Saya ambil wuduk cepat-cepat dan solat. Masa solat tu saya rasa susah nak bernafas dan sakit sangat bahagian abdomen kemudian tiba-tiba muntah.

Lepas muntah dua kali, saya minum banyak air dan terus tidur.

Menurut Elfira lagi, ketika tidur dia rasa dunia berputar dan macam dilanda ombak dan dia rasa nak terjatuh.

“Takut sangat sebab masa tu saya masih pegang Aria dan berpeluh-peluh sepanjang malam tu,” demikian tulisnya.

Disebabkan rasa yang sangat tidak selesa tersebut, Elfira mengambil keputusan untuk terus ke hospital dan disuruh berehat di wad.

“Nasib baik semua keputusan kesihatan yang keluar semua okay, Alhamdulillah.

Saya hanya perlu banyak berehat lagi dan minum banyak air.

Tapi kalau berterusan lagi dalam masa dua hari ini, saya kena buat pemeriksaan CT Scan, yang mana saya tak nak sangat, jadi tolong doakan saya ya”.

Bagaimanapun dalam update terbaharu yang di kongsi di Instagram Story, Elfira memberitahu keadaan dirinya semakin sihat dan mengucapkan terima kasih kepada semua doa yang dikirimkan dalam kotak mesej Instagramnya.

Untuk rekod, Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Faris Khairol Anuar pada 1 Januari 2019 dan dikurniakan sepasang anak Muhammad Rayyan Khalaf, dua tahun dan  Nur Aria Mikayla, tiga bulan setengah.

Untuk lebih banyak info terkini jom klik di SINI