Terkini: Kawalselia Padi dan Beras (KPB) membuka kertas siasatan terhadap kes pelupusan beratus-ratus kampit beras berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur – Kampung Gunung Senyum, Pahang, yang membabitkan bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.
Ketua Pengarah KPB, Datuk Azman Mahmood berkata kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 kerana pelupusan beras tanpa prosedur ditetapkan.
Katanya, jika didapati bersalah, pihak berkenaan boleh dikenakan denda maksimum RM15,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kita sudah membuka kertas siasatan dan dalam proses untuk mengambil tindakan, namun semuanya terpulang kepada Peguam Negara untuk mendakwa.
Azman juga menambah, sepatutnya untuk melupuskan stok beras itu ia perlu melalui prosedur tertentu dan tidak sepatutnya dibuang di tempat pelupusan sampah seperti yang dilakukan oleh Ismail.
“Untuk nak lupuskan beras kena dapatkan prosedur tertentu, tidak boleh melalui kaedah itu (buang di kawasan pelupusan sampah), kalau beras berkenaan kita dapati tidak boleh digunakan, selalunya kita nasihatkan salah satu caranya untuk dijadikan makanan haiwan ternakan,” katanya.
Terdahulu tular lambakan beras dan barang keperluan dapur lain di buang di tapak pembuangan sampah.
Bekas MP Kuala Krau mengaku bertanggungjawab
“Saya bertanggungjawab penuh dan sangat menyesali perkara ini, dan memohon maaf kepada semua pihak atas kekhilafan dalam memantau cara pelupusan barangan dapur yang viral di media sosial semalam.
“Saya ambil maklum dan terima kasih atas keprihatinan serta sensitiviti rakyat Malaysia terhadap isu yang tular berkaitan pelupusan beras dan barang dapur di tempat pembuangan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur-Gunung Senyum, Temerloh Pahang,” kata bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.
Gambar itu menjadi tular selepas dimuat naik oleh beberapa pengguna media sosial di Facebook dan juga Tik Tok yang kebetulan melalui jalan berkenaan.
Sumber: Berita Harian