Tiada angin, tiada ribut tiba-tiba nama pelakon dan usahawan, Zarina Zainuddin menjadi buah mulut orang selepas dilaporkan sudah meninggal dunia oleh sebuah portal berita di media sosial.
Perkara ini bukan sahaja mengejutkan orang ramai, malah tuan badan sendiri dan tertanya-tanya apa tujuan sebenar yang cuba dilakukan pihak berkenaan.
Memetik laporan Harian Metro, Zarina, 53 berkata dia mengetahui mengenai perkongsian berita tidak berasas itu pada pagi ini daripada seorang adik angkatnya di Johor dan ia diakui cukup memeranjatkan.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana saya masih lagi sihat dan boleh bekerja. Saya berada di lokasi penggambaran drama Bukan Puteri Lindungan Bulan untuk slot Samarinda TV3 dan perlu menyiapkan lakonan yang belum selesai.
“Tapi, saya amat terkejut dengan berita tidak betul yang disebarkan itu dan saya juga tidak faham apa niat sebenar mereka. Sebenarnya mereka nak minta kita popularkan laman sesawang ke atau blog ke, itu yang saya tak faham.
“Apapun, mohon doa-doakan saya agar panjang umur, sihat dan keluarga saya diberi perlindungan,” katanya mengakui bimbang jika berita itu dilihat dan dibaca anak istimewanya, Azal yang kini berada di Singapura.
“Sejak semalam, Azal berada di Singapura membantu saya menguruskan jualan pulut kuning dalam karnival di sana. Saya risau kalau dia terbaca dan terus bimbangkan saya juga. Dia (Azal) di sana sehingga 10 April ini.
“Saya tidak boleh menyertai karnival jualan itu sekarang kerana terikat dengan penggambaran drama. Jadi, Azal dan beberapa orang lain ke Singapura dulu untuk membantu jualan kami,” katanya.
Menurut Zarina, berita kematian yang mengaitkannya itu baru kali pertama terjadi.
Katanya, dia mendoakan agar mereka yang tidak bertanggungjawab itu diberikan kesedaran dan keinsafan pada bulan mulia ini.
Terdahulu, Zarina membuat hantaran di Instagram miliknya dengan memaklumkan dia kini di lokasi menjalani penggambaran drama dan meminta semua mendoakan dirinya panjang umur dan murah rezeki.
Perkongsian dibuat Zarina itu mendapat perhatian ramai dan rata-rata netizen menyifatkan ia perbuatan biadab dan tidak bermoral dilakukan pihak terbabit yang dianggap tiada akhlak apabila orang hidup dikatakan meninggal dunia.
Sumber : harian Metro