Kecoh dimedia sosial mengenai isu tidak hadir sekolah dengan alasan ‘urusan keluarga’ . Ia menjadi topik hangat apabila didakwa menjadi alasan biasa ibu bapa apabila anak tidak hadir ke sekolah.
Memetik laporan Sinar Harian, ibu bapa seakan menggalakan budaya ponteng dikalangan pelajar dengan hanya alasan sebegitu.
Laporan Sinar Harian menunjukkan ada segelintir ibu bapa sanggup memonteng anak atas nama urusan keluarga sedangkan sebaliknya. Ia antaranya seperti pergi melancong dan cuti awal persekolahn untuk balik kampung untuk mengelak kesesakan jalan raya.
Sementara itu, menerusi perkongsian di facebook, pemilik Nor Shazwani Shamshudin mempunyai pandangan tersendiri makna ‘urusan keluarga’.
Wanita itu yang juga seorang guru mendedahkan situasi sebenar di sebalik ketidakhadiran pelajar ke kelas dengan alasan ‘urusan keluarga’, terutama melibatkan pelajar berumur 18 tahun ke atas.
Menurut guru tersebut, alasan ini sering diterima namun jarang dibincangkan secara terbuka.
Beliau menyatakan bahawa selepas pelajar-pelajarnya tidak hadir, beliau akan bertanya pada minggu berikutnya.
“Kalau mereka mahu bercerita, saya dengar. Tapi kalau mereka tetap dengan alasan ‘urusan keluarga’, saya hormati keputusan itu,” katanya.
Namun, di sebalik alasan yang nampak umum itu, terdapat realiti pahit yang jarang diungkap. Guru itu menjelaskan bahawa tidak ramai pelajar sanggup berterus terang tentang sebab sebenar ketidakhadiran mereka.
“Ada yang tak datang kerana tiada duit belanja, ada yang perlu temankan ibu ke mahkamah, atau jaga adik sebab ibu atau ayah menghilangkan diri. Malah, ada yang perlu lindungi ibu mereka di rumah,” jelasnya lagi.
Beliau menekankan bahawa perkara-perkara seperti ini mungkin tidak berlaku kepada kita, tetapi itu tidak bermaksud ia tidak berlaku kepada orang lain. Justeru, sikap prihatin dan empati sangat penting dalam menghadapi situasi sebegini, terutama bagi guru dan pendidik.
“Prihatin di tempat yang sepatutnya dan empati adalah kunci.”
Tambahnya lagi, alasan ‘urusan keluarga’ bukan hanya ada di sekolah. Dan banyak sebabnya bukan sekadar percutian keluarga.