Terima Kasih Buat Anak Sulung Kerana Selalu Mengalah. Nad Masrom Selalu Ucap 3 Perkataan Keramat Ini!

Share

Anak sulung sememangnya permata hati yang dinantikan kehadirannya oleh ibu dan ayah. Dia banyak mengajar ibu dan ayah ilmu keibubapaan dari tidak tahu apa-apa kepada serba tahu.

Ibu dan ayah menatang anak sulung bagai minyak yang penuh. Dijaga dan diberi segala keperluan yang cukup dan terbaik hanya untuk anak sulung.

Semakin membesar anak sulung dan tiba saat ibu dan ayah dikurniakan cahaya mata kedua, anak sulung dianggap sudah mampu untuk berdikari.

Tetapi tanpa sedar kita terlupa kadangkala anak sulung yang berusia kanak-kanak masih memerlukan perhatian dan belaian kasih sayang ibu ayah.

Walaupun hakikatnya tiada ibu bapa yang tak sayangkan anak namun tanpa sedar sikap dan layanan yang diberikan kepada anak sulung mengguris perasaan mereka.

Ikuti luahan perkongsian daripada Nad Masrom, Kaunselor Laktasi terkenal yang mungkin boleh sama-sama ibu ayah jadikan peringatan bersama.

Terima Kasih Anak Sulung

Foto: IG Nad Masrom

Anak pertama, banyak mengajar kita sebagai seorang ibu.
Dia anak yang paling banyak mengalah. Dia anak yang banyak memendam rasa. Sekecil itu dia belajar untuk hadamkan banyak perkara.

Tak mudah. Sebab itu sekali-sekala berilah dia ruang masa. Untuk dia bebas menjadi kanak-kanak, bukan sekadar kakak yang perlu memikul tanggungjawab seperti orang dewasa.

Kita sebagai ibu kadang-kadang terlupa. Anak sulung kita hanya kanak-kanak yang bisa melakukan kesalahan juga. Dan adakalanya kita lupa jasa mereka mengajar kita banyak perkara. Terutama cabaran menyusu yang luar biasa.

Hati mereka hati seorang kanak-kanak yang sentiasa jujur meluah rasa. Bila mereka gembira, mereka akan tertawa besar. Bila mereka duka, boleh terlihat dengan mata kasar kita.

Mereka hargai setiap butir bicara kita.
Maaf dan terima kasih sudah buat jiwa mereka terasa besar.

Terima kasih buat semua anak-anak sulung kita.
Yang sentiasa sabar memberi peluang kepada kita.
Sebagai ibu dan ayah mereka.
I ❤️ U kakak!

Sentiasa Ucap 3 Perkataan Keramat

Menurut Nad, kadang-kadang kita sebagai ibu, bukan kita tak nak ekspresikan penghargaan itu. Ia ada di lubuk hati paling dalam, cuma tak terluah.

“Saya sendiri memaksa diri untuk sentiasa bercakap tentang maaf, terima kasih dan ‘I love U’ setiap hari bukan kerana saya ibu yang baik, tapi saya tahu saya sendiri perlukan semua ayat ni dulu dan saya tak nak terlewat tidak dapat melakukannya sekarang.

Foto: IG Nad Masrom

“Kami anak-beranak memang dah terbiasa dengan tiga perkataan ni. Sejujurnya waktu saya dan suami nak memulakan dulu pun agak kaget. Rasa pelik. Tapi kami cuba latih perlahan-lahan. Dari solat bersama (kadang-kadang terskip juga sebab alasan dunia), berdoa bersama, makan bersama dan saling minta maaf.

“Mungkin bagi sesetengah orang, bila diucap selalu sudah tak jadi sesuatu yang istimewa. Tapi itu barangkali lebih baik dari tak mencuba langsung kan.

“Apatah lagi jika terlewat untuk menyebutnya sampai bila-bila. Jadi, marilah kita cuba pecahkan tradisi ‘ketidakbiasaan’ ini menjadi sesuatu yang didambakan oleh anak-anak kita.”

Menurutnya impak amalan ini sangat luar biasa. Katanya lagi cukuplah kita menjadi anak yang kuat dari dulu kerana ujian untuk anak-anak kita menjadi kuat pada zaman sekarang mungkin berbeza.

Sumber: Nad Masrom