Tepati Ramalan Juara Dewi Remaja 2018/19, Haneesya Hanee Buktikan Dislesksia & Warna Kulit Bukan Penghalang Untuk Berjaya.

Share

Siapa sangka gadis yang selalu menjadi mangsa kutukan dek kerana warna kulitnya kini menyerlah apabila dipilih sebagai Juara Dewi Remaja 2018/2019 malam tadi.

Malah, pemilihan Hanee sebagai juara menepati ramalan apabila gadis manis berusia 18 tahun itu berjaya menewaskan empat finalis lain iaitu Affie Rania, Anna Jobling, Tia Sarah dan Sherin Amiri.

 

Tia Sarah menyandang gelaran naib juara manakala Sherin Amiri berada di tempat ketiga.  Tempat keempat disandang oleh Anna Jobling manakala Affie Rania berpuas hati di tempat kelima.

Berdarah kacukan Melayu-Arab,Hanee atau nama sebenarnya Sharifah Haneesya Sayed Sahlan antara peserta Dewi Remaja yang paling menonjol.  Kemenangan tersebut membolehkan pelakon drama Cik Reen Encik Ngok Ngek  ini membawa pulang RM10,000 beserta trofi.

Kekurangan diri yang mempunyai masalah disleksia sejak kecil bukan penghalang untuk anak gadis ini membuktikan keupayaannya. Akuinya, kehidupan sebagai pelajar disleksia sangat mencabar.

Malah, kemenangan tersebut membuktikan kecantikan bukan sekadar berkulit putih. Dan  berkulit hitam bukan ukuran tidak mampu mencapai impian di dalam sesebuah pertandingan.

Sebaliknya bergantung kepada kemampuan dan personaliti diri individu tersebut. Nyata Haneesya membuktikan dirinya layak kerana wajahnya yang unik dan ‘beauty with brains’. 

Sementelah dia perlu mengikuti pengajian di sebuah sekolah khas sebelum ke sekolah harian biasa, namun dia berjaya menempuhinya.

“In 2008 I went to a special school. Dislexsia Center Ampang.

“Sekolah khas untuk orang istimewa macam saya. Hanee memang ada masalah pembelajaran tapi Alhamdulillah very mild.

“Hanee dekat sekolah khas selama dua bulan dan selepas itu masuk ke sekolah harian biasa.

“Hanee berjaya ikut rentak pembelajaran di sekolah. Alhamdulillah result UPSR tak mengecewakan,” tambahnya yang memperoleh keputusan 2A, 2B dan 1C dalam UPSR ketika itu.

Tegas Hanee, individu yang menghidap disleksia bukannya bodoh namun perlu mengikuti cara pembelajaran yang tepat untuk berjaya. Selain Disleksia, Hanee juga mempunyai masalah  scoliosis 

dan thalasemia.

“Saya tak bodoh, dyslexics people tak bodoh.

“Sebenarnya kami genius cuma dengan cara pembelajaran yang betul kami boleh jadi lebih cerdik dari orang biasa,” ujar Hanee sambil mengakui ibunya adalah pendorong utama pada dirinya.

Haneesya yang kini berjinak-jinak dalam dunia lakonan rupanya mewarisi darah seni daripada moyangnya, Seniwati Zaharah Agus yang terkenal menerusi watak Latifah sebagai isteri pertama P. Ramlee dalam filem Madu Tiga.

Sumber: Astro Gempak & Majalah Remaja