Uncategorized

Tengah Solat & Ibu Panggil, Apa Nak Buat? Ustazah Ni Jelaskan Agar Tak Keliru!

Share

Adab seorang anak salah satunya bila disahut namanya  segeralah menjawab dengan nada yang lembut dan menenangkan.

Pun begitu andai di dalam situasi sedang solat, bagaimana pula harus dilakukan oleh seorang anak. Hendak dijawab maka terbatallah solat, manakala jika terus tidak dihirau panggilan ibu, bimbang dianggap anak derhaka.

Memahami kekeliruan ini, ustazah Asma’ Harun berkongsi ilmunya untuk manfaat semua.

Ini perkongsiannya.

PANGGILAN ALLAH VS PANGGILAN IBU

“Assalamualaikum ustazah. Semoga ustazah sentiasa sihat walafiyat. Ustazah, boleh saya bertanya? Bila kita sedang solat, tiba-tiba ibu panggil, mana yang perlu saya utamakan? Adakah saya perlu menjawab panggilan ibu atau teruskan solat?”

JAWAPAN :

Waalaikumussalam. Subhanallah, terima kasih kerana mendoakan kesihatan buat saya. Moga doa ini berbalik buat Puan jua.

Masya-Allah, soalan yang sangat baik. Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu melihat kepada jenis solat yang didirikan.

Sekiranya kita sedang mendirikan solat fardhu, maka para fuqaha’ bersepakat tidak boleh untuk seseorang itu membatalkan solat fardhunya dengan sengaja tanpa ada sebarang keuzuran. Mereka berdalilkan firman Allah S.W.T :

وَلا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu membatalkan amalan-amalan kamu.”
(Surah Muhammad : ayat 33)

Namun begitu, jika panggilan tersebut adalah di dalam keadaan darurat, seperti meminta pertolongan kerana terjatuh, urusan kecemasan melibatkan bahaya seperti nyawa dan seumpamanya, maka dibolehkan untuk membatalkan solat fardhu tersebut.

Manakala bagi solat sunat, para fuqaha’ menetapkan boleh menyahut panggilan ibu dan membatalkan solat sunat. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA :

كَانَ جُرَيْجٌ يَتَعَبَّدُ فِي صَوْمَعَةٍ فَجَاءَتْ أُمُّهُ ‏.‏ قَالَ حُمَيْدٌ فَوَصَفَ لَنَا أَبُو رَافِعٍ صِفَةَ أَبِي هُرَيْرَةَ لِصِفَةِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أُمَّهُ حِينَ دَعَتْهُ كَيْفَ جَعَلَتْ كَفَّهَا فَوْقَ حَاجِبِهَا ثُمَّ رَفَعَتْ رَأْسَهَا إِلَيْهِ تَدْعُوهُ فَقَالَتْ يَا جُرَيْجُ أَنَا أُمُّكَ كَلِّمْنِي ‏.‏

فَصَادَفَتْهُ يُصَلِّي فَقَالَ اللَّهُمَّ أُمِّي وَصَلاَتِي ‏.‏ فَاخْتَارَ صَلاَتَهُ فَرَجَعَتْ ثُمَّ عَادَتْ فِي الثَّانِيَةِ فَقَالَتْ يَا جُرَيْجُ أَنَا أُمُّكَ فَكَلِّمْنِي ‏.‏ قَالَ اللَّهُمَّ أُمِّي وَصَلاَتِي ‏.‏ فَاخْتَارَ صَلاَتَهُ فَقَالَتِ اللَّهُمَّ إِنَّ هَذَا جُرَيْجٌ وَهُوَ ابْنِي وَإِنِّي كَلَّمْتُهُ فَأَبَى أَنْ يُكَلِّمَنِي اللَّهُمَّ فَلاَ تُمِتْهُ حَتَّى تُرِيَهُ الْمُومِسَاتِ ‏.‏ قَالَ وَلَوْ دَعَتْ عَلَيْهِ أَنْ يُفْتَنَ لَفُتِنَ

Maksudnya: Juraij adalah seorang yang sangat kuat beribadat di satu ruang khususnya. Pada satu hari, ibunya datang ketika dia sedang mendirikan solat. Humaid (perawi hadith ini) berkata, Abu Rafi’ menggayakan perbuatan ibu Juraij tersebut seperti yang ditunjukkan oleh Abu Hurairah yang digayakan oleh Rasullah SAW sendiri. Ibu Juraij memanggil anaknya dengan meletakkan tapan tangan pada keningnya dan mengangkat kepalanya seraya memanggil: “Wahai Juraij, ini ibumu, bercakaplah denganku.”

Ibunya mendapati Juraij sedang solat, dan Juraij berkata dalam hati: “Ya Allah, ibuku memanggilku ketika aku sedang khusyuk dalam solat”. Dia memilih untuk terus solat, lalu ibunya pulang dan datang pada kali kedua dan berkata: “Wahai Juraij, ini ibumu, bercakaplah denganku.” Juraij berkata dalam hati: “Ya Allah, ibuku memanggilku ketika aku sedang khusyuk dalam solat”. Dia memilih untuk terus solat.

Ibunya berkata: “Ya Allah, Juraij anakku ini, aku berhajat ingin bercakap dengannya, tapi dia enggan. Ya Allah, jangan Engkau mematikannya hinggalah dia berjumpa (digoda oleh) pelacur. Sekiaranya ibunya mendoakan balasan buruk ke atas Juraij, nescaya dia akan ditimpa balasan buruk tersebut.”
(HR Muslim)

Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam Kitabnya Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim bahawa para ulamak menetapkan tindakan yang sepatutnya dilakukan oleh Juraij ialah menyahut seruan ibunya. Ini adalah kerana, solat yang didirikan adalah sunat. Ulamak juga menetapkan, meneruskan solat sunat hukumnya sunat bukan wajib, sedangkan menjawab panggilan ibu adalah wajib, dan perbuatan tidak menyahut panggilan ibu adalah derhaka sehingga jatuh pada hukum haram.

Berbalik kepada soalan Puan, kita mestilah mengetahui jenis solat yang didirikan.

1. Sekiranya solat yang didirikan adalah solat fardhu, maka tidak boleh untuk membatalkan solat tersebut.

2. Manakala sekiranya solat yang didirikan adalah solat sunat, maka boleh diberhentikan solat dan menyahut panggilan ibu. Namun jika keadaan jika ibu boleh menunggu tanpa menimbulkan rasa marah dan kecewa, maka meneruskan juga dibenarkan.

Wallahua’lam.

Sumber : Asma’ binti Harun