Di era ini, tidak ramai yang menjadikan pendidikan sebagai kepentingan utama. Generasi kini lebih mementingkan kekayaan mudah tanpa perlu melalui fasa-fasa pendidikan tertinggi.
Malah ada yang bertindak untuk menamatkan persekolahan lebih awal kerana terpedaya dengan ‘kekayaan sementara’ yang kini menjadi ikutan ramai.
Sedar akan kepentingan pendidikan dalam kehidupan seseorang, Nurul Atieka Mohamad Zahari telah menubuhkan Pusat Tuisyen Online Stara demi membantu para pelajar lebih fokus dan berjaya.
Ditubuhkan sejak tahun 2020 lagi, Stara kini telah membantu lebih 25,000 pelajar sekolah rendah dengan bantuan guru-guru berdaftar di seluruh Malaysia.
“Saya sentiasa memegang pesanan dan nasihat keluarga tentang pentingnya ilmu dan pelajaran untuk mengubah kehidupan menjadi lebih baik.
“Saya tiada latar belakang sebagai pendidik, namun dari kecil saya telah diterapkan dengan pendirian bahawa hanya dengan pendidikan yang bagus dapat mengubah kehidupan seseorang. Dengan pendidikan kita boleh jadi apa sahaja yang kita mahu.
“Menjadi tanggung jawab saya untuk membantu para pelajar minat belajar dan fokus lebih-lebih lagi bagi subjek utama” katanya.
Sedar akan kejayaan perlu digilap dan dipupuk untuk menjadikan pelajar lebih berkeyakinan lebih-lebih lagi dalam era kini, yang tampil berkeyakinan, aktif dan agresif akan lebih menonjol berbanding lain.
Tidak hanya tekankan pada akademik semata, Nurul Atieka mahu pelajar-pelajar yang mendapat pendidikan di Stara mempunyai daya saing dan keberanian untuk menghadapi masa depan.
“Saya wujudkan platform belajar atas talian ini dengan mengumpulkan guru yang bagus untuk sebarkan ilmu dengan lebih meluas. Fokus saya ialah pelajar sekolah rendah kerana asas pendidikan sangat penting. Stara bermula dengan impian saya mahu setiap orang dapat pendidikan yang bagus.
“Di Stara, mahu membantu mereka untuk membina personaliti yang bagus daripada kecil. Dan perancangan untuk 2025, kami memberi fokus untuk pelajar membina keyakinan diri dengan beberapa siri kem berucap di khalayak, intonasi dan skil komunikasi, kem kuasai matematik dan sains,” tambahnya lagi.
Dengan menggabungkan teknologi dan kaedah pengajaran yang inovatif, platform seperti ini tidak hanya memberikan alternatif kepada pembelajaran tradisional tetapi juga membuka peluang yang lebih luas untuk generasi masa depan.
Tambahnya lagi, Majlis Anugerah Cemerlang Stara bertujuan untuk meraikan kecemerlangan murid-murid dan ibu bapa yang sentiasa menyokong. Bukan sahaja dari segi akademik, malah sahsiah terpuji juga turut menerima anugerah.
“Anugerah ini adalah yang pertama kali diadakan dan kami mahu para pelajar berasa seronok dan dapat memotivasikan diri mereka untuk lebih berjaya” katanya.