TECHLYMPICS –Pupuk Minda Kreatif Generasi Muda Dalam Bidang Sains, Teknologi Dan Inovasi

Share

Artikel yang ditulis ini adalah daripada YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)

Pandemik Covid-19, telah menunjukan bahawa kita perlu berinovasi untuk mengatasi sebarang cabaran.

Inovasi telah membolehkan kita meneruskan kehidupan kita semasa pandemik ini dengan penghasilan vaksin, kemudahan digital dan transaksi atas talian. Malah kita harus terus menggunakan sains dan teknologi bagi mengatasi pelbagai cabaran masa kini dan masa hadapan seperti perubahan iklim, kemerosotan biodiversiti, sekuriti makanan dan penyakit zoonotik.

Sehubungan itu, dalam memacu ekonomi dalam era pemulihan ini, inovasi adalah sangat penting. Malah dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (2021-2030), ia telah menggariskan untuk negara beranjak kepada pencipta teknologi dari pengguna teknologi dengan hasrat menjadikan Malaysia negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

Ke arah mencapai hasrat ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Kerajaan. Salah satu komponen penting ialah untuk meningkatkan minat pelajar dan belia berkaitan sains, teknologi dan inovasi (STI).

Justeru, MOSTI melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memperkasakan dan membudayakan STI bermula daripada peringkat akar umbi. MOSTI dengan kerjasama agensinya Malaysia Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) dan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia telah menganjurkan Malaysia Techlympics 2022. Program Techlympics telah diperkenalkan pada tahun ini untuk menyokong pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam satu suasana tidak formal dan menyeronokkan. Usaha ini penting kerana bilangan pelajar yang mengikuti aliran sains semakin menurun saban tahun. Maka melalui program seperti Techlympics, ia di harap dapat mencetus minat dan kreativiti di kalangan pelajar dan belia.

Techlympics telah di olah supaya ia adalah satu pendekatan holistik yang bukan sahaja membolehkan pelajar dan belia bersaing malah membolehkan mereka berhubung untuk mewujudkan kerjasama dan sama-sama berjaya dalam menonjolkan hasil inovasi mereka. Ekosistem Techlympics juga memberi latihan berkaitan komunikasi dan perniagaan supaya generasi muda kita turut dilengkapi dengan keupayaan untuk membawa idea mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Melalui program Techlympics ini, MOSTI menyasarkan penjanaan lebih kurang 2,000 idea yang mempunyai potensi untuk dibangunkan ke arah pengkomersialan. Usaha ini dapat menyokong pelbagai usaha MOSTI seperti melahirkan 5,000 syarikat pemula (start-up) menjelang tahun 2025.

Malaysia menduduki tangga ke-36 daripada 132 buah negara mengikut Laporan Global Innovation Index (GII), 2022 yang dikeluarkan oleh World Intellectual Property Organization (WIPO). Malaysia juga merupakan negara ke-2 paling berinovasi di kalangan negara ASEAN. Walaupun kedudukan ini memuaskan, usaha menjana inovasi perlu terus diperkasakan melalui usaha sama serta kolaborasi strategik pelbagai pemegang taruh dalam memacu prestasi daya saing negara di peringkat global dan penghasilan kekayaan baru, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam.

MOSTI percaya menerusi penerapan serta pembudayaan STI di kalangan rakyat khususnya generasi muda, golongan ini mampu menjadi tulang belakang dalam merancakkan sektor ekonomi khususnya menerusi bidang inovasi dan teknologi sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara bersaing dan lestari. Maka Program Techlympics yang julung kali diadakan diharapkan akan dapat merealisasikan hasrat ini.

Program Techlympics ini berlangsung dari bulan April sehingga November dengan sasaran 1 juta penyertaan daripada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi serta golongan belia. Program ini turut melibatkan aktiviti Jangkauan Keterangkuman Malaysia Techlympics di mana latihan berkaitan teknologi terkini telah didedahkan kepada para pelajar serta guru-guru. Aktiviti ini telah dijalankan di 66 lokasi di seluruh Malaysia menerusi pelbagai aktiviti sains di reruai pameran. Program ini telah melibatkan para pelajar dan belia di kawasan bandar, luar bandar, orang asli serta warga kurang upaya

Para pelajar dan guru telah didedahkan kepada teknologi dan aplikasi terkini seperti teknologi robot, dron serta aktiviti interaktif secara amali atau praktikal (hands-on). Sepanjang tempoh pelaksanaannya, hampir 6,000 guru telah dilatih melalui kursus Latihan Tenaga Pengajar atau Training of Trainers dalam usaha meningkat kemahiran para guru dalam bidang-bidang terkini STI dan pendidikan tidak formal STEM.

Sebanyak 25 buah pertandingan telah diperkenalkan di bawah Malaysia Techlympics melalui lima (5) tema iaitu Kecerdasan Buatan dan Sains Data, Eksplorasi Angkasa, Dron dan Aplikasinya, Teknologi Sohor serta Inovasi Untuk Kesejahteraan Rakyat dan Kelestarian Alam. Pertandingan telah dibahagikan kepada dua (2) peringkat iaitu peringkat zon dan juga peringkat akhir kebangsaan.

Bagi peringkat zon, pertandingan telah dilaksanakan di seluruh Malaysia melibatkan enam (6) buah zon iaitu zon utara, tengah, selatan, timur, Sabah dan Sarawak. Manakala, Malaysia Techlympics Peringkat Akhir Kebangsaan akan berlangsung pada 26 dan 27 November 2022 bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil melibatkan 5,000 penyertaan para pelajar, belia dan guru-guru seluruh Malaysia.

Sepanjang tempoh penganjurannya, Malaysia Techlympics 2022 telah melakar beberapa pencapaian yang tersendiri. Antaranya, Malaysia Techlympics telah mencatat sejumlah 1.03 juta penyertaan terdiri daripada peserta berumur 7 hingga 30 tahun. Program ini turut mencapai 26.9 juta jangkauan digital menerusi laman sesawang Techlympics dan pelbagai platform media sosial meliputi Facebook, Instagram dan Tik Tok. Pencapaian ini adalah amat memberangsangkan dan menunjukkan bahawa minat generasi muda negara terhadap bidang STI masih tinggi dan ini telah menguja MOSTI untuk meneruskan program ini pada tahun depan.

Tuntasnya, MOSTI percaya bahawa minat terhadap bidang STI perlu diterapkan dari peringkat awal agar dapat membentuk asas yang kukuh dalam diri para pelajar dan belia dalam bidang ini. Ia harus diikuti dengan proses pembudayaan serta pendidikan formal dan tidak formal yang berterusan untuk mengasah bakat serta kreativiti anak muda negara dalam bidang STI. Usaha berterusan ini amat perlu dalam membina negara berasakan STI dan melahirkan generasi Malaysia yang berinovasi untuk terus memacu kemajuan negara ini secara mampan dan holistik.