Kebiasaannya tanaman nanas kita lihat diusahakan di kawasan perladangan. Paling tidak pun kita lihat mak-mak kita akan tanam sepokok dua di atas tanah lapang di halaman rumah.
Pun begitu, tiada salahnya jika pokok nanas ini di tanam di dalam pasu atau bekas seperti tayar lama. Hasil tuaiannya juga cukup hebat, ini sebagaimana yang dikongsikan oleh Azyan Abdullah. Jom semak bagaimana dia lakukannya.
“Tips Tanam Nanas MD2 Dalam Tayar & Berbuah Saiz XXL”
Petang Selasa minggu lepas, saya ada petik dua biji nanas MD2 yang ditanam dalam tayar terpakai.
Bila ditimbang, masing–masing berat 3.05 kg dan 2.8 kg. 2-2 buah ini dikira obesiti sebab standard buah nanas MD2 adalah antara 1.5 – 2.5 kg / biji.
Saya tanam nanas ni pada bulan Mac 2018 di dalam tayar terpakai. Media tanaman saya guna tanah campuran buatan sendiri. Awal Januari 2019 saya buat aruhan @ hormon. Masa tu pokok ada daun yang berfungsi lebih kurang 42 helai. Pada 21 Mei lepas, saya dah petik buahnya, kira-kira 14 bulan selepas tanam.
Susah ke tanam nanas MD2 dalam tayar terpakai ni?
Jawapannya. Sangat mudah bila kita tahu caranya.
Okey. Ini cara-cara saya tanam nanas MD2 dalam tayar.
*Penanaman*
1. Guna tayar terpakai sebagai bekas tanaman. Pastikan potong bahagian dalam @ “telinga” yang ada di kedua-dua belah tayar. Saya guna pisau cap “kiwi” yang harganya RM2 je. Tujuannya adalah supaya tidak bertakung air (bahagian bawah) dan tidak menjadi tempat serangga menyorok (bahagian atas).
2. Isikan tayar tersebut dengan tanah campuran hingga hampir penuh. Cara buat tanah campuran ni senang je. Ini cara yang paling simple. Ambil 2 bahagian tanah + 1 bahagian pasir + 1 bahagian kompos @ bahan organic, gaulkan hingga sekata. Letak EM sikit jika ada. Tak ada EM, cuka kayu pun boleh. Bila campuran dah sebati, masukkan ke dalam tayar dan biarkan sekurang-kurangnya 3 hari.
3. Selepas 3 hari, gali lubang lebih kurang 8 -10 inci ditengah-tengah tayar tersebut. Letak 10 gram baja lapik dan tutup semula lubang tadi. Saya guna baja NPK 15:15:15 sebagai baja lapik. Biarkan 3 hari lagi.
4. Pilih benih yang sihat dan besar. Lagi besar benih lagi cepat pokok kita berbua nanti. Tanam benih tersebut dengan cara menekannya di dalam media tanaman sehingga ianya tertanam lebih kurang 1/3 daripada ketinggian benih. Jika terlalu dalam, ianya boleh menganggu tumbesaran pokok. Pastikan bahagian akar pokok tak bersentuh dengan baja lapik ya. Jika bersentuh pokok akan mati.
5. Tanam ditengah – tengah bekas tanaman @ tayar. 1 pokok satu tayar ye.
*Pembajaan*
1. Tiga hari sebelum tanam, letakkan 10 gram baja NPK 15.15.15 di point yang kita nak tanam sebagai baja lapik. Biasanya kita letak di tengah-tengah tayar. Caranya gali lubang 8 – 10 inci dan masukkan baja tersebut, lepas tu timbus balik lubang tadi.
2. 30 hari lepas tanam, buat lubang @ poket di kiri dan kanan pokok lebih kurang 2-3 inci dari pangkal pokok. Letakkan 5 gram baja NPK 15:15:15 pada setiap lubang dan tutup kembali. Ini dinamakan pembajaan secara kaedah poket.
3. 60 hari lepas tanam, ulang langkah nombor 2. Cuma kuantiti baja ditambah sedikit iaitu 10 gram pada setiap lubang.
*Siraman Air Baja*
1. Tanam nanas MD2 ni kita tak perlu siram air kosong sebenarnya. Memadai dengan air hujan dan air embun sahaja.
2. Umur 30 – 60 hari, siram pokok dengan air baja strong @ NPK Larut Air 12:12: 36 + Mikro seminggu sekali pada kadar 500 ml sepokok. Kadar pencairannya adalah 1 gram baja strong dilarutkan dalam 1 liter air.
3. Umur 61 hari dan keatas, siram dengan air baja strong @ NPK Larut Air 12:12:36 + Mikro seminggu sekali pada kadar 1000 ml sepokok. Kadar pencairannya adalah 1.5 gram baja strong dilarutkan dalam 1 liter air.
4. Langkah nombor 4 perlu dihentikan bila pokok kita dah sedia untuk dibuat aruhan @ hormon . Berhenti siram baja 2 minggu sebelum buat aruhan.
*Aruhan @ Hormon*
1. Biasanya kita dah boleh hormon bila mana pokok kita mencapai 35 helai daun dan lebih. Lebih banyak daun, biasanya buah lebih besar sebab pokok pun besar. Macam yang saya punya, hormone semasa pokok ada 42 helai daun, hasilnya dua – dua buah dapat yang obesity (3.05 kg dan 2.8 kg).
2. Tujuan hormone adalah untuk menggalakkan pokok berbuah dengan cepat dan sekata. Jika tak hormone, boleh jadi umur 2 tahun pun pokok nanas kita tak berbuah lagi. Hihi.
3. Saya guna ethrel sebagai hormone. Kadarnya adalah 1.7 ml ethrel + 1 liter air + 10 gram urea. Kacau campuran bahan ini hingga sebati sepenuhnya. Lepas tu sembur atau siram di tengah – tengah pucuk nanas MD2 pada kadar lebih kurang 50 ml bagi setiap pokok. Seeloknya proses ini dibuat pada waktu petang dan jangkaannya tidak akan berlaku hujan pada hari tersebut.
4. Bila dah hormon, semua aktiviti pembajaan dan siraman baja dihentikan. Kita biarkan sahaja dan tunggu untuk ambil buah je nanti.
5. Biasanya buah dapat dipetik bermula 120 – 150 hari selepas hormon. Tahap kematangan @ masak mungkin sedikit berbeza disebabkan oleh kualiti anak benih semasa tanam dan cuaca pada masa tersebut.
Ada beberapa faktor yang perlu kita ambil berat untuk dapatkan buah yang obesiti macam ini. Antaranya jarak tanaman, jenis media tanaman, keperluan air yang bersesuaian, nutrien yang cukup & lengkap serta kedapatan cahaya matahari yang sempurna. Alhamdulillah dengan kaedah tanam dalam tayar seperti diatas, saya dah berjaya penuhi semua factor tersebut dan hasilnya memang ohsem, buah saiz XXL.
Kaedah ini bukan sahaja terhad untuk tanam dalam tayar sahaja. Ianya juga boleh di tanam dalam tong cat dan pasu dengan “copy paste” 100% kaedah di atas. Hasilnya telah terbukti bila mana 2 minggu sebelum ini, saya telah petik 2 biji nanas MD2 yang di tanam dalam pasu. Sebiji dapat 2.6 kg dan satu lagi dapat 2.4 kg.
Sumber : Azuan Abdullah