Swee Bee, sebuah perusahaan bakeri terkemuka, dengan bangganya memperkenalkan tart nanas segi empat dengan inovasi cetak timbul, yang pertama seumpamanya di Malaysia. Dengan reka bentuk dan corak yang khusus, Tart Nanas Swee Bee bukan sekadar menjadi kudapan yang enak. Sesungguhnya, tart Swee Bee merupakan lambang warisan budaya di Malaysia yang kaya dengan limpah kurnia dan kemakmuran.
Keunikan Swee Bee bukanlah sekadar bentuk segi empatnya, hakikatnya ramai yang tertarik dengan perincian dan rasanya yang lazat. Saiz tart dihasilkan seteliti mungkin supaya memenuhi cita rasa, dengan pastri mentega yang cair di mulut, disulami rasa sekata manis dan masam pes nanas. Setiap tart diisi dengan inti nanas mengikut resepi turun-temurun, cukup membuai rasa.
Mengimbau zaman kanak-kanaknya, Pengasas Swee Bee, iaitu David Wong, terkenang akan gelaran ‘si perut besar’ oleh neneknya kerana selera makannya yang besar. Bak kata pepatah Cina “口大吃四方” (perut besar terisi empat penjuru), memori lucu ini menjadi inspirasi penghasilan tart nanas segi empat Swee Bee dengan cita rasa tersendiri. Pepatah ini juga bermakna rezeki ada di mana-mana bagi sesiapa yang mencari. Walaupun tart nanas segi empat boleh didapati di Taiwan, keistimewaan Swee Bee ialah cetakan timbul perkataan ‘福’ (Fortune) pada tart nanas.
Idea reka bentuk yang unik ini, ujar David, “Tercetus sewaktu pelancaran Tart Nanas Swee Bee pada tahun 2010 sempena perayaan, dengan aksara Cina berbunyi ‘Fortune’ tertera pada permukaan tart, khususnya bagi sambutan Tahun Baru Cina. Melalui cetakan timbul aksara ‘福’ (Fortune) pada tart nenas, kami melahirkan tart nanas pertama yang bukan sahaja berbentuk segi empat di Malaysia bahkan tart ini menjadi penyeri buat sesiapa sahaja yang membeli atau menerimanya sebagai hadiah.”
Pada tart segi empat ini, terdapat garis bulatan yang mengelilingi aksara “福” (Fortune) tersebut, melambangkan perpaduan dan jalinan kemesraan. Konsep ini menzahirkan misi Swee Bee untuk menyatukan masyarakat dari seluruh pelosok dunia, meraikan perpaduan dan kemakmuran yang dinikmati bersama dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan budaya di Malaysia.
Cetusan Idea Swee Bee
Ads
Perjalanan Swee Bee terlahir daripada pengasasnya, David Wong tatkala membantu ibunya, Swee Bee seawal usia 8 tahun untuk menyiapkan tart nanas sempena Tahun Baru Cina. Pengalaman sejak di bangku sekolah ini menjadi pendorong untuk beliau meneruskan minat belajar membuat pastri, sehingga berjaya menyambung pelajaran ke peringkat diploma dalam Pengurusan Hotel & Katering.
Selepas meninggalkan dunia korporat, David bermuhasabah, meneliti semula kehidupannya sehingga menemukan kembali cintanya dalam pembuatan pastri. Pada tahun 2009, berbekalkan resipi tart nanas tinggalan ibunya, David memulakan perniagaan dari rumah, suatu permulaan episod yang menjadikan Swee Bee sungguh istimewa.
Setelah bertahun-tahun, Swee Bee mengembangkan operasi pada tahun 2012 dengan membuka kedai Baker Dave di Sri Hartamas. Pada tahun 2014, kedai bakeri ini bertukar jenama menjadi Nooks by Baker Dave, sebuah kafe bakeri yang menawarkan aneka sajian Barat, pencuci mulut, dan kopi.
Setelah berkembang pesat, pada tahun 2019 Nooks melebarkan sayap dengan mempromosikan tart nanas sebagai produk utama, sebagai tanda penghargaan buat ibu David, iaitu Puan Swee Bee. Bertitik tolak daripada saat inilah, David memberanikan diri menukar jenama daripada Nooks kepada kafe Swee Bee, yang menyajikan hidangan tempatan dengan kudapan tart nanas sepanjang tahun, sebelum memperluas operasi dengan penubuhan kilang pengeluaran produk pastri yang diperakui halal.
Ads
Transformasi kafe ini siap sepenuhnya dan dilancarkan pada bulan November 2019. Sekalipun terpaksa mengorbankan sebahagian kecil pengunjung yang kerapkali datang atas perubahan hala tuju perniagaan, sokongan daripada pelanggan setianya kekal teguh.
Apabila negara dilanda pandemik COVID-19, operasi kafe terpaksa ditamatkan, namun ada hikmah di sebalik kejadian, musibah ini membolehkan David beralih arah menumpukan bisnes pada kilang pengeluaran produk pastri. Langkah ini membuahkan hasil apabila kilang produk Swee Bee akhirnya berjaya memperoleh perakuan halal pada tahun 2021.
Mengenang pahit manit usahanya selama ini, David berkongsi, “Saya memilih nama Swee Bee untuk mengenang jasa ibu, yang telah bersusah-payah membesarkan dan menghulurkan bantuan yang tak berbelah bahagi sepanjang saya menceburi bidang perniagaan. Swee Bee menandakan titik tolak tercetusnya minat saya dalam bidang pastri selain daripada tanda kasih buat ibu, insan yang amat saya sayangi.”
Keunikan Lebih Daripada Sekadar Tart Nanas
Ads
Rangkaian produk Swee Bee bukanlah terhad pada tart nanas, bahkan meliputi kuih bulan berperisa nanas, biskut, kek, jem nanas, kopi Nanyang, dan banyak lagi. Swee Bee komited menawarkan produk yang berkualiti tinggi, dengan rangkaian produk yang diperakui Halal seperti tart nanas, kuih bulan berperisa nanas, kek, dan biskut badam perisa espresso.
Walaupun tart nanas dikaitkan dengan tradisi musim perayaan, Swee Bee percaya bahawa semua orang boleh menikmati kelazatan produknya tanpa mengira masa. Falsafah “Kenikmatan Tak Kira Masa” membolehkan Tart Nanas Swee Bee dijadikan sebagai hadiah buat insan tersayang sepanjang tahun, serta sajian yang dihidangkan sewaktu majlis hari lahir, perkahwinan, ulang tahun, malahan sebagai tanda penghargaan.
Swee Bee berhasrat untuk menawarkan lebih daripada sekadar produk bakeri. Kini, Swee Bee menanam impian untuk menjadi cenderamata nombor satu di Malaysia, yang boleh dinikmati dan dikongsi sesama rakyat Malaysia serta dengan masyarakat sedunia. Dengan keunikan budaya, Tart Nanas Swee Bee memiliki potensi sebagai buah tangan yang wajib dibawa pulang oleh pelancong yang melawat Malaysia, sekaligus memartabatkan kepelbagaian warisan dan tradisi budaya di negara ini.
Sebagai bukti komitmen Swee Bee untuk kekal cemerlang, Swee Bee telah merangkul Anugerah Emas dalam kategori Kek 3D Gaya Bebas Moden di Malaysia Culinary World Cup 2023. Reka bentuk kek Swee Bee bertemakan “Etnik Malaysia” yang menonjolkan budaya Peranakan, Cina, Melayu, India dan Iban begitu mengagumkan, sudah tentulah tart nanas menjadi bahan utama!
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Sebagai umat Islam, terdapat banyak perkara yang kita perlu tahu supaya tiada keraguan semasa melakukan ibadah. Salah satunya adalah mengetahui tentang berkaitan pembahagian daging korban.
Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan pada setiap tahun. Namun masih terdapat mereka yang tidak tahu tentang pembahagian daging yang betul.
Menyentuh tentang agihan daging korban dan memberi lebih kesedaran dan penerangan tepat, mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin ada berkongsi info di akaun fbnya.
AWAS! PENCURIAN DAGING KORBAN
Antara dosa yang sering berlaku semasa pengurusan korban ialah mencuri daging korban ataupun bahagian korban. Ini berlaku apabila ada pihak yang mengambil daging korban atau bahagian dari binatang korban tanpa terlebih dahulu meminta izin dari empunya korban.
Biasanya hal ini dilakukan oleh penyembelih, pelapah dan mereka yang terlibat dengan proses pengurusan penyembelihan. Tanpa terlebih dahulu meminta izin dari individu yang melakukan ibadah korban itu, mereka mengambil bahagian korban tersebut. Kadang-kala mereka merasa mereka berhak kerana menolong atau kerana AJK masjid. Sedangkan daging korban tidak boleh dijadikan upah.
Biasanya, mereka akan meletakkan bahagian yang mereka sukai itu berasingan untuk mereka ambil apabila selesai urusan pelapahan haiwan korban. Jika seekor lembu yang dibahagikan tujuh, maka ketika pembahagian dibuat, anggota atau bahagian tertentu telah pun dicuri terlebih dahulu. Walaupun mungkin tuan empunya tidak membuat bantahan, namun itu bukan bererti dia bersetuju memberikan. Mungkin dia malas bergaduh ataupun tidak tahu. Namun perbuatan mengambil daging korban tanpa terlebih dahulu diizinkan oleh empunya, merupakan perbuatan yang haram.
(maksudnya) “Wahai mereka yang beriman, jangan kamu makan harta kamu antara kamu dengan cara yang batil (salah)” (Surah al-Nisa: 29).
Ingatlah, dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, seorang yang menyertai misi jihad bersama Rasulullah s.a.w telah dibunuh. Orang ramai mengucapkan tahniah kerana beliau telah mati syahid (martyrdom). Namun Nabi s.a.w menyebut:
كلا، الذي نَفْسِي بيَدِهِ، إنَّ الشَّمْلَةَ الَّتي أخَذَها يَومَ خَيْبَرَ مِنَ المَغانِمِ، لَمْ تُصِبْها المَقاسِمُ، لَتَشْتَعِلُ عليه نارًا فَلَمّا سَمِعَ ذلكَ النّاسُ جاءَ رَجُلٌ بشِراكٍ – أوْ شِراكَيْنِ – إلى النبيِّ ﷺ، فَقالَ: شِراكٌ مِن نارٍ – أوْ: شِراكانِ مِن نارٍ -.
“Tidak! Sesungguhnya selendang dari harta rampasan perang yang dia ambil pada hari Peperangan Khaibar tanpa pembahagian (yang betul) sedang menyalakan api neraka ke atasnya”. Apabila orang ramai mendengar kenyataan tersebut, maka seorang lelaki datang membawa seutas atau dua utas tali (yang diambil tanpa pembahagian yang diizin) kepada Nabi s. a. w . Baginda bersama: Seutas atau dua utas tali juga (menyebabkan masuk) dalam neraka.
Bayangkan, jika mengambil seutas tali atau sehelai selendang tanpa pembahagian yang diizinkan, masuk neraka. Walaupun individu itu menyertai jihad bersama Nabi s.a.w. Bagaimanakah jika seketul atau satu kilo atau lebih daging?
Tak ramai anak-anak remaja kita hari ini yang pandai memasak,apa lagi tidak kekok selok belok di dapur. Jika ada pun, samada mengambil kelas pengajian bidang masakan atau terpaksa berdikari sendiri bila mana ketika belajar.
Pasti susah pada permulaannya. Mencuba kemahiran memasak ini di waktu sudah dewasa tidaklah menjadi masalah, namun jika anak lelaki sudah dilatih sejak kecil pasti bonus buat ibu-ibu.
Senang bila mana anak minta untuk sediakan makan malam. Hebat! Ibu boleh senang hati dan dapatlah rehatkan diri lebih awal. Hal ini mungkin boleh berlaku jika anak sudah cukup kemahiran dan handal di dapur. Ajar anak sejak kecil, itu yang sepatutnya diajarkan.
Dr Norzila Zakaria turut berkongsi kisahnya yang mengajar anak lelakinya sejak kecil. Baginya anak lelaki mesti cekap di dapur. Ada kebaikannya dikemudian hari.
Anak lelaki mesti cekap di dapur
Kebiasannya anak lelaki kurang ditekankan untuk membantu kita di dapur.
Ini satu kesilapan yang perlu dibetulkan dari mula lagi jika mempunyai anak lelaki. Jadikan mereka cekap di dapur agar bila mereka berkahwin nanti tugasan dapur boleh mereka lakukan dengan baik, lagipun itu memang tugas seorang suami kan menyediakan keperluan keluarga. Cuma budaya kita ni menonjolkan perempuanlah pengurus dapur.
Justeru itulah saya sentiasa menggalakkan anak-anak lelaki saya ke dapur. Hafiz memang dah biasa ke dapur. Hujung minggu lepas saya upgrade kemahirannya dengan mengajar bagaimana memotong daging agar mudah lembut jika di masak.
Dia dah pandai melihat jaluran daging dan memotong melintang jaluran. Alhamdulillah hasilnya saya tunjukkan bila daging sudah di masak, walaupun daging itu bukan daging muda, namun proses memasaknya tidaklah lama kerana ianya dipotong melintang dan nipis.
Tanyalah resepi masak kicap atau di kampung saya di Selangor dipanggil masak semur, pasti Hafiz sudah boleh ingat sebab dia melakukan praktikal terus.
Ini masakan kegemaran anak-anak saya apatah lagi ditambah kentang dan suhun, berebut-rebut mencari suhun. Alhamdulillah satu keluarga dapat merasa masakan Hafiz.
Sejak mereka kecil lagi bila masuk dapur saya akan beri apa sahaja yang saya pegang. Contohnya sayur biarlah dia potong dan ambil apa yang mereka potong walaupun tidak cantik potongannya. Ini akan menyebabkan mereka rasa seronok untuk menolong kita pada masa akan datang.
Perlahan-lahan saya upgrade kepada menggunakan pisau, siang ikan dsb.
Cuma rumah saya ni guna dapur induksi yang tak panas jadi saya tidak berapa bimbang tentang api dan gas. Namun semua pun perlukan pemantauan.
Ganjaran buat anak-anak jika melakukan satu-satu perkara, pada saya jika maksud memberi hadiah itu jelas kepadanya maka tidak menjadi masalah. Namun jangan sampai dia menjadikan hadiah itu suatu yang wajib bila dia melakukan sesuatu kerja.
Perlahan-lahan kita ajarkan agar mereka melakukan suatu tugasan itu dengan ikhlas dan sebagai khidmat kepada ibu bapa yang besar pahalanya. Maksud saya di sini biar anak faham bahawa hadiah terbaik adalah pahala dari Allah swt.
Kredit: Dr Norzila Zakaria
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Sebelum ini pernah tular kisah cinta pelakon, Azah Aziz dan suami, Daud Leroy Abdullah menyemai kasih sayang selama lebih 31 tahun dan menjadi inspirasi ramai, kali ini Azah berkongsi pula fotonya bersama anak-anak tercinta.
Foto yang dimuat naik di laman instagramnya memaparkan Azah bersama tiga anak lelaki iaitu Aaron, Ryan dan Justin yang menginjak dewasa.
“Married at 22, have my first born at 24, happily married for 28 years. Here my picture with my older son and last picture with all my 3 sons. I’m the queen in the house,” tulisnya menerusi ruangan kapsyen.
Gelagat anak-anak yang sedang membesar sememangnya cukup menghiburkan dalam apa jua perkara. Malah ketika di dalam solat pun, gelagat anak-anak memang menghiburkan.