Tanpa Suruh Anak Terus Ambil Wuduk, Begini Cara Wanita Ni Doakan Anaknya Solat, Hebat!

Share

Mendidik anak untuk solat menjadi satu kepayahan buat ibu ayah. Ada anak yang terpaksa disuruh berkali-kali, diambil rotan dan sebagainya tapi masih tidak bangun untuk bersolat.

Sudahnya ibu ayah jadi buntu dan berdoa siang malam untuk buka pintu hati anak untuk bersolat. Cara wanita ini, Wan Rohani Wan Ismail atau lebih dikenali Wan Anie di facebooknya berkongsi cara paling mustajab, iaitu dengan doa dan caranya sendiri untuk mendidik anaknya bersolat.

Paling menarik, doanya sangat berkesan dan anak lari berdesup untuk ambil wuduk. Hebat!


Berdoa Secara Terbuka Mendorong Anak Solat

Apabila anak semakin membesar, cabaran mendidik bertambah besar.

Pelbagai strategi dan teknik dipelbagaikan untuk mendorong anak-anak solat tanpa perlu menyuruh atau mempengaruhi mereka dengan ganjaran luar.

Solat memerlukan dorongan intrinsik yang kuat (Dorongan Intrinsik adalah dorongan atau tindakan yang tidak dipengaruhi oleh akibat atau ganjaran luar. Melakukan sesuatu kerana mengikut gerak hati.

Malam itu selepas berkumandang azan Maghrib, ibu mengajak anak-anak solat bersama. Namun anak-anak tidak mengendahkan, masing-masing ralit membina menara menggunakan kad.

Seusai ibu solat, anak-anak masih dengan aktiviti mereka. Bagaimana mahu mendorong anak-anak ini solat tanpa perlu memberikan arahan. Kita tidak mahu menyuruh-nyuruh anak solat setiap kali masuknya waktu solat.

Bagaimana mahu menanam kesedaran tentang solat di dalam diri anak-anak? Bagaimana mendorong anak menjadikan solat itu satu tanggungjawab yang perlu dilunaskan tanpa perlu disuruh-suruh?

Kali ini skrip yang digunakan sedikit berbeza. Saya pujuk anak yang lebih besar dahulu untuk solat. Saya katakan kepada kakak, “Aiesyah, Aiesyah sudah besar. Ibu sudah tidak perlu lagi mengingatkan Aiesyah untuk solat setiap kali masuk waktu.” Aiesyah diam.

Saya menyambung, “Boleh Aiesyah solat Maghrib sekarang, sekejap lagi nak mula kelas mengaji.”

Kemudian, Aiesyah mula bersuara,”Ya Aiesyah solat.”

Apabila mendengar Aiesyah berkata begitu, saya diam dan hanya menunggu. Tidak mahu menyuruh lagi. Beberapa minit kemudian, Aiesyah bangun melangkah ke bilik air mengambil wudhuk. Kemudian menunaikan solat di ruangan tamu berhampiran tempat mereka bermain tadi.

Alhamdulillah kakak sudah solat, saya sudah merancang untuk berdoa secara terbuka memandangkan kakak solat berhampiran dengan dengan tempat adik bermain.

Selesai sahaja kakak Aiesyah solat, saya terus berdoa dengan kuat.

“Ya Allah berilah kebaikan kepada anak-anak ibu yang solat. Jadikan anak-anak ini anak yang soleh dan solehah”

Aiesyah memandang saya dengan senyuman. Umar (adik) juga memandang saya. Lagaknya seperti tidak berpuashati dengan doa tadi. Umar pun berkata, “Alaa.. Umar pun nak jugak!”

Lantas Umar bangun dan melunaskan tanggungjawab menunaikan solat. Seperti biasa, sebelum solat Umar akan bertanya solat apa dan berapa rakaat.

Usai Umar solat, saya mengulangi doa tadi seperti di atas. Kemudian mereka berdua mengemas mainan dan mengambil Quran memulakan kelas mengaji.

Nota:

Berdoa adalah salah satu bentuk ganjaran sosial positif.

Kredit: Wan Rohani Wan Ismail