Dah menjadi kebiasaan buat pasangan suami isteri memberi kejutan atau meluahkan bait-bait indah buat yang tersayang terutamanya ketika pada hari-hari penting seperti ulangtahun perkahwinan atau hari lahir.
Tidak terkecuali, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuliskan nukilan khas buat isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sempena hari jadi beliau hari ini.
Nukilan itu dikongsikan di laman Instagram miliknya yang memaparkan gambar yang diambil ketika sidang media pertama beliau sebagai Perdana Menteri yang ke-10 pada 24 November lepas.
Dalam perkongsian tersebut, Anwar menyifatkan Wan Azizah sebagai seorang insan, wanita dan isteri yang tabah, penyayang serta ibu yang tak pernah jemu mencurahkan kasih sayang.
“Seorang insan, wanita, isteri yang tabah, penyayang dan berbakti. Seorang ibu yang tidak pernah jemu mencurahkan kasih sayang..
“Saya sentiasa bersyukur. Saya berdoa agar Azizah sentiasa di bawah lindungan-Nya. Happy birthday.
“Tanpa Azizah di sisi, tidak mungkin saya mampu menggalas amanah yang cukup berat saat ini,” kongsi beliau.
Wan Azizah yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri menyambut ulang tahun hari kelahiran yang ke-70 hari ini. Wan Azizah dan Anwar mendirikan rumah tangga pada 28 Feb 1980 dan dikurniakan enam cahaya mata.
Sumber : Instagram Anwar Ibrahim