Tanam Sawi Super Duper Gemuk, Begini Tips Suami Ni Kongsikan. Boleh Follow!

Share

Bercucuk tanam di laman rumah jika dijadikan hobi bukan sahaja untuk mengisi masa lapang malah cukup bermanfaat.

Memberi lebih info pada anda yang ingin  menanam sawi, bolehlah jadikan rujukan  daripada perkongsian seorang suami ini.

Menariknya, bukan sahaja dikongsikan tip cara menanam malah tidak lokek dedahkan rahsia untuk dapatkan tanaman sawi yang subur dan gemuo-gemuk bila dituai.

Nak tahu lanjut, ini perkongsiannya.


9 Tips Tanam Sawi Super Duper Gemok!

Lepas Jumaat semalam, biras ajak makan nasi ulam budu kat rumah dia. Tak tahu nak bawa apa sebagai buah tangan, saya pun cabut la 2 pokok sawi dibelakang rumah.

Bila timbang 2 pokok sawi tu, bacaan pada penimbang adalah 1231 gram. Ya sahabat, 1.2 kg untuk 2 pokok sawi.

Dia punya rasa teruja dan seronok tu tak boleh nak luah macam mana. Mereka yang ada jiwa kebun sahaja boleh tafsir perasaan tu.

Baik, saya kongsi tips macam mana saya tanam sawi yang super duper gemok tu.

1. Pilih kawasan yang sesuai. Pastikan tapak yang kita pilih tu dapat cahaya matahari yang optimum. Eloknya dapat sinaran matahari dari pukul 7.30 pagi hingga 5 petang.

2. Tanam dalam petak tanaman yang dibuat khas. Saya buat petak tanaman daripada batu bata.

Saiz yang sesuai adalah 3 kaki lebar dan 8 inci tinggi. Panjang ikut kesesuaian kawasan. Nak tanam dalam tayar pun boleh.

3. Guna tanah campuran sebagai media tanaman. Saya buat sendiri tanah campuran dengan nisbah 70% pasir + 20% tanah + 10% organic.

4. Pilih benih sawi yang berkualiti. Saya guna sawi giant. Semai dulu benih dalam tray semaian. Bila usia 15 hari, baru pindah dalam petak tanaman.

5. Tanam dengan jarak yang sesuai supaya pokok dapat berkembang dengan baik. Saya tanam dengan jarak 8 -12 inci.

6. Tanam pada waktu petang supaya pokok tak jadi stress akibat kena cahaya yang berlebihan. Jika pokok layu, ia boleh merencatkan tumbesaran pokok. Lepas tanam terus siram hingga media basah.

7. Guna 3 kaedah pembajaan supaya pokok dapat bekalan nutrient yang cukup dan seimbang.

a) Kaedah alur

Baja ditabur di dalam alur yang dibuat antara pokok. Saya guna baja organic. Nak guna baja NPK 15.15.15 pun boleh.

Cuma, baja organic ni boleh buat pokok kita rasa lebih manis dan crunchy.

Kekerapannya 2 kali sahaja, pada minggu pertama dan minggu ketiga. Anggaran kuantiti lebih kurang 15 – 20 gram sepokok.

b) Kaedah siraman

Saya guna baja NPK 18.18.18 + mikro sebagai baja siraman. Nak guna baja AB pun boleh. Anggaran air baja adalah antara 500 – 1000 ml sepokok setiap kali siraman.

Saya siram 2 kali seminggu bermula pada usia 3 hari lepas tanam. Kepekatan siraman bermula pada 1.5 mS dan di naikkan 0.2 mS setiap minggu hingga maksimun 2.0 mS.

c) Foliar

Foliar ni saya buat semburan 2 kali seminggu bersama sama dengan kawalan perosak dan penyakit. Jenis foliar yang saya gunakan adalah larutan baja NPK larut air 18.18.18 + mikro, plant booster dan fish amino asid.

Jadual kekeparan boleh rujuk tip nombor 9.

8. Saya siram secara manual guna hos paip je. Buat macam ni sebab nak jimat kos, tak perlu pasang system pengairan.

Siram 2 – 3 kali seminggu bergantung pada kelembapan media dan cuaca. Masa siram, pastikan media tanaman betul betul basah.

Ini salah satu sebab saya suka tanam dalam petak tanaman, media boleh pegang air dalam tempoh yang agak lama.

9. Kawalan perosak dan penyakit dibuat secara serentak dengan semburan foliar. Semburan dibuat pada awal pagi. Kekerapannya 2 kali seminggu sebagaimana kombinasi di bawah,

Kombinasi A : Kawalan organic perosak & kulat + kawalan organic kulat & bakteria + cuka kayu + larutan baja NPK 18.18.18 + mikro ( ec 1.5)

Kombinasi B : Kawalan organic perosak & kulat + kawalan organic kulat & bakteria + plant booster + fish amino asid.

Alhamdulillah.

Ramai sahabat yang dah berjaya dapat hasil yang ohsem asbab follow tips ni.

Ada juga yang lebih “power” dari saya. Siap dapat 400 gram 1 pokok sawi dalam masa 23 hari lepas tanam. Amazing!

Sahabat,

Berkebun dapur ni sangat seronok dan ia boleh jadi terapi minda. Boleh hilangkan stress dan kekusutan yang ada dalam jiwa kita.

Dengan berkebun dapur, kita akan dapat kepuasan dan ketenangan yang tidak boleh dibeli di mana-mana.

Cubalah! Sahabat akan rasainya sendiri nanti.

Tolong kongsikan tips ni pada yang lain SEBAB mungkin ianya akan sangat berguna untuk mereka juga.

Sumber : Azuan Abdullah